Jadual Ketiga-Pemilihan Yang di-pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong
JADUAL
KETIGA
[Perkara 32 dan
33]
Pemilihan
Yang di-Pertuan Agong dan
Timbalan
Yang di-Pertuan Agong
BAHAGIAN I
PEMILIHAN YANG
DI-PERTUAN AGONG
1. (1)
Seseorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong melainkan jika-
(a) Raja itu belum dewasa: atau
(b) Raja itu telah memberitahu
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Raja itu tidak berhasrat dipilih; atau
(c) Majlis Raja-Raja mengambil
ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan
fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau
kerana apa-apa sebab lain.
(2) Sesuatu
ketetapan di bawah seksyen ini tidak boleh diluluskan melainkan jika sekurang-kurangnya
lima orang anggota Majlis itu telah mengundi menyokongnya.
2. Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang
di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang Negerinya ialah yang
pertama dalam senarai pemilihan yang diperihalkan dalam seksyen 4 dan, jika
Raja itu tidak menerima jawatan itu, menawarkan jawatan itu kepada Raja yang
Negerinya ialah yang berikut selepas Negeri yang pertama dalam senarai itu, dan
demikianlah seterusnya sehingga seorang Raja menerima jawatan itu.
3. Apabila Raja
yang telah ditawarkan kepadanya jawatan Yang di-Pertuan Agong mengikut seksyen
2 menerima jawatan itu, Majlis Raja-Raja hendaklah mengisytiharkan Raja itu
sebagai dipilih dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memberitahu
keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada kedua-dua Majlis Parlimen.
4. (1). Senarai
pemilihan itu-
(a) bagi maksud pemilihan pertama hendaklah suatu senarai yang
memasukkan Negeri semua Raja mengikut susunan Duli-Duli Yang Maha Mulia
Raja-Raja mengiktiraf keutamaan antara mereka sendiri ketika itu;
(b) bagi maksud pemilihan yang
kemudiannya hendaklah senarai sebagaimana yang diubah mengikut subseksyen (2)
sehingga senarai itu disusun semula di bawah subseksyen (3), dan kemudiannya
senarai pemilihan itu hendaklah senarai yang disusun semula sedemikian, tetapi
diubah, bagi maksud pemilihan seterusnya, megikut subseksyen (4).
(2) Senarai
yang berkuat kuasa pada pemilihan pertama hendaklah diubah seperti yang
berikut:
(a) selepas setiap pemilihan,
mana-mana Negeri dalam senarai itu yang mendahului Negeri yang Rajanya telah
dipilih hendaklah dipindahkan (mengikut susunan Negeri-Negeri yang ada dalam
senarai ketika itu) ke hujung senarai tu, dan Negeri yang Rajanya telah dipilih
itu hendaklah ditinggalkan;
(b) apabila ada sesuatu
perubahan Raja sesuatu Negeri yang ada dalam senarai ketika itu, Negeri itu
hendaklah dipindahkan ke hujung senarai itu (dan jika pada hari yang sama ada
perubahan Raja bagi lebih daripada satu negeri yang sedemikian, Negeri-Negeri
itu hendaklah dipindahkan sedemikian mengikut susunan yang ada dalam senarai
ketika itu).
(3) Apabila
tiada Negeri lagi berada dalam senarai itu sebagaimana yang diubah mengikut
subseksyen (2), atau jika pada sesuatu pemilihan tiada Raja sesuatu Negeri
dalam senarai itu layak dipilih atau menerima jawatan, senarai pemilihan itu
hendaklah disusun semula supaya dimasukkan sekali lagi Negeri-Negeri bagi semua
Raja, tetapi mengikut susunan yang berikut, iaitu, Negeri-Negeri yang Rajanya
telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong mengikut susunan Raja-Rajanya
telah memegang jawatan itu, dan yang lain-lain (jika ada) selepas Negeri-Negeri
itu mengikut susunannya dalam senarai itu sebelum senarai itu disusun semula.
(4) Selepas
setiap pemilihan yang diadakan mengikut senarai yang disusun semula itu,
senarai itu hendaklah diubah seperti yang berikut:
(a) mana-mana Negeri dalam senarai itu yang mendahului Negeri
yang Rajanya telah dipilih, hendaklah dipindahkan (mengikut susunan
Negeri-Negeri itu dalam senarai ketika itu) ke hujung senarai itu; dan
(b) Negeri yang rajanya telah
dipilih hendaklah kemudiannya diletakkan kemudian sekali.
BAHAGIAN II
PEMILIHAN
TIMBALAN YANG DI-PERTUAN AGONG
5. Seseorang
Raja layak dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong melainkan jika-
(a) Raja itu tidak layak dipilih
menjadi Yang di-Pertuan Agong; atau
(b) Raja itu telah memberitahu
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Raja itu tidak berhasrat untuk dipilih.
6. Majlis Raja-Raja tidak boleh memilih seorang
Timbalan Yang di-Pertuan Agong semasa jawatan Yang di-Pertuan agong kosong.
7. Majlis
Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong kepada
Raja yang layak dipilih, iaitu Raja yang pertama sekali berhak ditawarkan
jawatan Yang di-Pertuan Agong apabila mangkat Yang di-Pertuan Agong yang akhir
sekali dipilih dan, jika Raja itu tidak menerima jawatan itu, menawarkan
jawatan itu kepada Raja yang kemudian selepasnya dan demikianlah seterusnya
sehingga seorang Raja menerima jawatan itu.
BAHAGIAN III
PEMECATAN YANG
DI-PERTUAN AGONG
8. Sesuatu
ketetapan Majlis Raja-Raja untuk memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan
tidak boleh diluluskan melainkan jika sekurang-kurangnya lima orang anggota
Majlis itu telah mengundi menyokongnya.
BAHAGIAN IV
AM
9. (Dimansuhkan)
10. Dalam
seksyen 4(3), ungkapan "Raja" termasuklah seseorang bekas Raja.
____________________________________________
CATATAN
Jadual
Ketiga:
Lihat Per. 160(2) takrif
"Raja".
Tajuk: Perkataan "Timbalan
Kepala Umum Negara" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan
Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.
BAHAGIAN I
Seksyen 2: Lihat seksyen 3.
Jadual
Ketiga, Bahagian II
Tajuk:
Perkataan
"TIMBALAN KEPALA UTAMA NEGARA" digantikan dengan "TIMBALAN YANG
DI-PERTUAN AGONG" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari
27-8-1976.
Seksyen 5, 6
dan 7: Perkataan
"Timbalan Kepala Utama Negara" digantikan dengan "Timbalan Yang
di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari
27-8-1976.
Jadual Ketiga, Bahagian IV
Seksyen
9:
Seksyen ini
yang berbunyi seperti berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat
kuasa dari 29-8-1963:
"9. Suatu pilihan raya yang diadakan mengikut Jadual ini sebelum Hari Merdeka adalah sah dan hendaklah berkuat kuasa pada hari itu.".