Jadual Kelima-Majlis RajaRaja.


JADUAL KELIMA

[Perkara 38(1)]

Majlis Raja-Raja



1. Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Jadual ini, Majlis Raja-Raja hendaklah terdiri daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua bagi Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja.

2. Tempat Duli Yang Maha Mulia Raja mana-mana Negeri atau tempat Yang di-Pertua Negeri mana-mana Negeri sebagai anggota Majlis Raja-Raja boleh dalam apa-apa hal yang dalamnya Perlembagaan Negeri itu memperuntukkan sedemikian diambil oleh mana-mana orang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan itu.

3. Majlis Raja-Raja hendaklah mempunayi suatu Mohor Besar Raja-Raja, yang hendaklah disimpan dalam jagaan seseorang yang dilantik oleh Majlis itu.

4. Orang yang dilantik di bawah seksyen 3 hendaklah dikenali sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, hendaklah bertindak sebagai setiausaha Majlis Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatannya selama diperkenankan oleh Majlis itu.

5. Majoriti anggota Majlis Raja-Raja hendaklah membentuk kuorum dan, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, Majlis itu boleh menentukan tatacaranya sendiri.

6. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong atau tidak kurang daripda tiga orang anggota Majlis itu dan, dengan tidak dikehendaki berbuat demikian, tidak lewat daripada empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong dan apabila berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau dalam jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

7. Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja tidaklah boleh menjadi anggota Majlis Raja-raja bagi maksud apa-apa prosiding yang berhubungan dengan pemilihan atau pemecatan Yang di-Pertuan Agong atau pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau yang berhubungan semata-mata dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja atau dengan perbuatan, amalan atau upacara agama.

8. Dalam apa-apa hal jika Majlis Raja-Raja tidak sebulat suara, Majlis Raja-Raja hendaklah mengambil keputusannya mengikut majoriti anggota yang mengundi, tertakluk bagaimanapun kepada peruntukan Jadual Ketiga.

9. Apa-apa persetujuan, perlantikan atau nasihat Majlis Raja-Raja yang dikehendaki di bawah Perlembagaan ini hendaklah ditandai dengan Mohor Besar Raja-Raja; dan jika, dalam hal apa-apa perlantikan yang dicadangkan, majoriti anggota Majlis itu telah menunjukkan, melalui surat yang ditunjukan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, bahawa mereka menyokong perlantikan itu, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah menandai sedemikian nasihat Majlis itu dengan tidak memanggilnya bermesyuarat.

_____________________________________________
CATATAN

Jadual Kelima:

Lihat Per. 160(2) takrif "Raja".

Seksyen 1 dan 7:

Perkataan "Melaka dan Pulau Pinang" digantikan dengan "Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja" oleh Akta 26/1963, seksyen 6, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Seksyen 1:

Perkataan "Duli-Duli Yang Maha Mulia" digantikan dengan "Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja" oleh Akta 31, seksyen 2, berkuat kuasa dari 24-3-1971, dan "Gabenor-Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Seksyen 2:

Perkataan "Duli Yang Maha Mulia" digantikan dengan "Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja" oleh Akta 31, seksyen 2, berkuat kuasa dari 24-3-1971, dan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Seksyen 3: Lihat seksyen 4.

Seksyen 6:

Perkataan "Timbalan Kepala Utama Persekutuan" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Seksyen 7:

Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" dan "Timbalan Kepala Utama Persekutuan" digantikan dengan "Timbalan Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A354, seksyen 42, 11, berkuat kuasa dari 27-8-1976, dan "Duli-Duli Yang Maha Mulia" digantikan dengan "Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja" oleh Akta A31, seksyen 2, berkuat kuasa dari 24-3-1971.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas