Jadual Ketiga Belas - Peruntukan yang berhubungan dengan Penyempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya.


JADUAL KETIGA BELAS

[Perkara 113, 116, 117]

Peruntukan yang berhubungan dengan Penyempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya


BAHAGIAN I

PENETAPAN DAN PRINSIP YANG BERHUBUNGAN
DENGAN PENYEMPADANAN BAHAGIAN-BAHAGIAN
PILIHAN RAYA



1. Sehingga diubah mengikut peruntukan jadual ini, bahagian-bahagian pilihan raya bagi memilih ahli-ahli ke Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri hendaklah bahagian-bahagian pilihan raya yang mula-mula digunakakn bagi pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan, mengikut mana-mana yang berkenaan, menurut Perlembagaan ini atau Akta Malaysia.

2. Prinsip yang berikut hendaklah seboleh-bolehnya diambil kira dalam membahagikan mana-mana unit kajian semula kepada bahagian-bahagian pilihan raya menurut peruntukan Perkara 116 dan 117-

(a)

di samping mengambil perhatian tentang wajarnya semua pemilih diberi peluang yang semunasabahnya mudah untuk pergi mengundi, bahagian-bahagian pilihan raya patutlah disempadankan supaya tidak merentasi sempadan Negeri dan patutlah juga diberikan perhatian kepada kesulitan bahagian pilihan raya Negeri merentasi sempadan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan;

(b)

perhatian patutlah diberikan kepada kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam bahagian pilihan raya itu bagi mengadakan jentera pendaftaran dan pengundian yang perlu;

(c)

bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya;

(d)

perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.



3. bagi maksud Bahagian ini, bilangan pemilih hendaklah dikira sebagai bilangan yang ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa.

3A. Bagi maksud Bahagian ini, dalam apa-apa kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan Rakyat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah setiap satunya dikira sebagai suatu Negeri.

BAHAGIAN II

TATACARA BAGI MENYEMPADANKAN
BAHAGIAN-BAHAGIAN PILIHAN RAYA



4. Jika Suruhanjaya Pilihan Raya telah memutuskan buat sementara untuk membuat syor di bawah Fasal (2) Perkara 113 yang menyentuh mana-mana bahagian pilihan raya, Suruhanjaya hendaklah memberitahu Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri dengan sewajarnya, dan hendaklah menyiarkan dalam Warta dan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar yang diedarkan di dalam bahagian pilihan raya itu suatu notis yang menyatakan-

(a)

kesan syor yang dicadangkan olehnya, dan (kecuali dalam hal jika Suruhanjaya bercadang untuk mengesyorkan bahawa tiada perubahan dibuat berkenaan dengan bahagian pilihan raya itu) bahawa suatu salinan syornya terbuka untuk diperiksa di suatu tempat tertentu di dalam bahagian pilihan raya itu; dan

(b)

bahawa representasi mengenai syor yang dicadangkan itu boleh dibuat kepada Suruhanjaya dalam masa satu bulan selepas penyiaran notis itu,



dan Suruhanjaya hendaklah mempertimbangkan apa-apa representasi yang dibuat dengan sewajarnya mengikut mana-mana notis itu.

5. Jika, apabila tersiarnya notis di bawah seksyen 4 mengenai sesuatu syor yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengubah mana-mana bahagian pilihan raya, Suruhanjaya menerima apa-apa representasi membantah syor yang dicadangkan itu daripada-

(a)

Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan atau sebahagian kawasannya termasuk di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang tersentuh oleh syor itu; atau

(b)

sekumpulan orang seramai satu ratus orang atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan,



maka Suruhanjaya hendaklah menyebabkan suatu siasatan tempatan diadakan berkenaan dengan bahagian-bahagian pilihan raya itu.

6. Berhubung dengan apa-apa siasatan yang diadakan di bawah seksyen 5 Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah mempunyai segala kuasa yang diberikan kepada Pesuruhjaya oleh Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

7. Jika Suruhanjaya Pilihan Raya menyemak apa-apa syor yang dicadangkan selepas menyiarkan suatu notis mengenainya di bawah seksyen 4, maka Suruhanjaya hendaklah sekali lagi mematuhi seksyen itu berhubung dengan syor yang disemak itu, seolah-olah tiada notis dahulunya telah disiarkan:

Dengan syarat bahawa tidaklah perlu diadakan lebih daripada dua siasatan tempatan berkenaan dengan mana-mana syor itu.

8. Setelah selesai menjalankan tatacara yang ditetapkan oleh Bahagian ini, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah mengemukakan kepada Perdana Menteri suatu laporan mengenai bahagian-bahagian pilihan raya yang menunjukkan-

(a)

bahagian-bahagian pilihan raya yang kepadanya disyorkan olehnya supaya setiap unit kajian semula patut dibahagikan untuk melaksanakan prinsip yang dinyatakan dalam seksyen 2; dan

(b)

nama-nama yang dengannya disyorkan olehnya bahagian-bahagian pilihan raya itu hendaklah dikenali,



atau menyatakan bahawa pada pendapatnya tiada perubahan dikehendaki dibuat untuk melaksanakan prinsip tersebut.

9. Dengan seberapa segera yang boleh selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengemukakan laporannya kepada Perdana Menteri di bawah seksyen 8, Perdana Menteri hendaklah membentangkan laporan itu di hadapan Dewan Rakyat, bersama dengan (kecuali dalam hal jika laporan itu menyatakan bahawa tiada perubahan dikehendaki dibuat) draf suatu Perintah yang akan dibuat di bawah seksyen 12 bagi melaksanakan, dengan atau tanpa ubah suaian, syor yang terkandung dalam laporan itu.

10. Jika mana-mana draf Perintah yang disebut dalam seksyen 9 diluluskan oleh Dewan Rakyat melalui ketetapan yang disokong dengan undi sebanyak tidak kurang daripada setengah daripada jumlah bilangan ahli Dewan itu, maka Perdana Menteri hendaklah mengemukakan draf Perintah itu kepada Yang di Pertuan Agong.

11. Jika usul bagi meluluskan mana-mana draf Perintah yang disebut dalam seksyen 9 ditolak oleh Dewan Rakyat, atau ditarik balik dengan kebenaran Dewan itu, atau tidak disokong dengan undi sebanyak tidak kurang daripada setengah daripada jumlah jumlah bilangan ahli Dewan itu, maka Perdana Menteri boleh, selepas mengadakan apa-apa rundingan yang difikirkannya perlu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, meminda draf itu dan membentangkan draf yang dipinda itu di hadapan Dewan Rakyat; dan jika draf sebagaimana yang dipinda sedemikian diluluskan oleh Dewan itu melalui suatu ketetapan yang disokong dengan undi sebanyak tidak kurang daripada setengah daripada jumlah bilangan ahli Dewan itu,maka Perdana Menteri hendaklah mengemukakan draf yang dipinda itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

12. Jika draf sesuatu Perintah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Bahagian ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah membuat suatu Perintah mengikut kehendak draf yang dikemukakan kepadanya itu, dan Perintah itu hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang dinyatakan dalamnya:

Dengan syarat bahawa permulaan kuat kuasa mana-mana Perintah sedemikian tidaklah menyentuh mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan sehingga pembubaran yang berikutnya Parlimen atau Dewan Undangan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berlaku pada atau selepas tarikh itu.

____________________________________________
CATATAN

Jadual Ketiga Belas:

Jadual ini ditambahkan oleh Akta 14/1962, seksyen 31, berkuat kuasa dari 12-6-1962-Lihat P.U. 277/68.

Seksyen 3A: Perkataan "atau Wilayah Persekutuan Labuan, mengikut mana-mana yang berkenaan," digantikan dengan ",Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persukutuan Putrajaya" oleh Akta A1095, seksyen 21, berkuat kuasa dari 1-2-2001.

Seksyen 6: Perkataan "Ordinan" digantikan dengan "Akta" oleh Akta 1, subseksyen 14(2).

Seksyen 8: Lihat seksyen 9.

Perenggan (a): Perkataan "Persekutuan dan setiap Negeri" digantikan dengan "setiap unit kajian semula" yang terdapat di baris dua oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Seksyen 9: Lihat seksyen 10,17.

Seksyen 10 dan 11: Lihat Per. 62(3).

Seksyen 12:

1. Perkataan "sehingga suatu prolamasi dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 55 memanggil suatu Parlimen baru" digantikan dengan "ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan sehingga pembubaran yang berikutnya akan Prlimen atau Dewan undangan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berlaku pada atau selepas tarikh itu" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat seksyen 9.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas