Jadual Ketujuh-Pemilihan Ahli-Ahli Dewan Negara.


JADUAL KETUJUH

[Perkara 45]

Pemilihan Ahli-Ahli Dewan Negara

 

1.

(1) (Dimansuhkan).

 

(2) Setiap kali berlaku kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara yang dipilh oleh Negeri, Yang di-Pertuan Agong

hendaklah memberikan notis kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu bahawa ahli Dewan Negara dikehendaki dipilih, dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri itu hendaklah menghendaki Dewan Undangan memilih seorang ahli Dewan Negara dengan seberapa segera yang boleh.

2.

(1) Nama calon untuk dipilih hendaklah dicadangkan dan disokong oleh ahli-ahli Dewan Undangan dan ahli yang

mencadangkan atau ahli yang menyokong itu hendaklah mengemukakan suatu pernyataan secara bertulis, ditandatangani oleh
orang yang dinamakan itu bahawa dia bersetuju untuk berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara jika dipilih.

(2) Apabila semua penamaan telah diterima, pegawai pengerusi hendaklah mengumumkan nama orang yang dinamakan

itu mengikut susunan abjad dan kemudiannya hendaklah mengemukakan nama mereka mengikut susunan itu untuk diundi.

(3) Setiap ahli yang hadir berhak mengundi sebanyak bilangan calon yang ada mengikut bilangan kekosongan yang akan

diisi, dan nama ahli yang mengundi setiap calon hendaklah direkodkan; dan jika mana-mana ahli membuang undi sebagai tambahan kepada undi yang dibenarkan oleh subseksyen ini, maka undi itu adalah tidak sah.

(4) Pegawai pengerusi hendaklah mengisytiharkan sebagai terpilih calon atau calon-calon yang mendapat bilangan undi

yang terbanyak, tetapi jika dua orang calon atau lebih mendapat bilangan undi yang sama banyak dan bilangan calon itu lebih besar daripada bilangan kekosongan yang akan diisi, maka pemilihan calon itu hendaklah ditentukan dengan cara cabut undi.

3.

Walau apa pun apa-apa jua dalam seksyen 2, jika suatu kekosongan yang disebabkan oleh habis tempoh jawatan ahli

Dewan Negara akan diisi pada mesyuarat yang sama dengan sesuatu kekosongan yang berlaku dengan apa-apa cara lain, maka pemilihan hendaklah pertama-tamanya diadakan untuk mengisi kekosongan yang disebabkan oleh habis tempoh jawatan itu dan kemudiannya suatu pemilihan yang berasingan untuk mengisi kekosongan yang lain itu.

4.

Pegawai pengerusi hendaklah memperakui kepada Setiausaha Dewan Negara, melalui surat yang ditandatangani sendiri

oehnya, nama orang yang dipilih sebagai ahli Dewan Negara mengikut peruntukan Jadual ini.

5.

Jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli Dewan Negara telah diplih dengan sewajarnya mengikut peruntukan

Jadual ini, maka Dewan Negara hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad, tetapi kegagalan mengadakan sesuatu pemilihan di bawah seksyen 1(2) dengan seberapa segera yang boleh tidaklah dengan sendirinya menidaksahkan pemilihan mana-mana ahli Dewan Negara.


_____________________________________________
CATATAN

Jadual Ketujuh:

1. BAHAGIAN I

Lihat Per. 54(3), 159(4)(a).

Seksyen 1(1):

Subseksyen ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963:

"1. (1) Dengan seberapa segera yang boleh selepas pembubaran Majlis undangan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memberikan notis kepada Raja atau Gabenor setiap Negeri bahawa ahli-ahli Dewan Negara dikehendaki dipilih dan Raja atau Gabenor hendaklah menghendaki Dewan Undangan memilih ahli-ahli Dewan Negara dengan seberapa segera yang boleh.".

Seksyen 1(2):

1. Lihat seksyen 5.

2. Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Seksyen 2(1): Lihat seksyen 3.

Seksyen 5:

Perkataan ", tetapi kegagalan mengadakan suatu pemilihan di bawah seksyen 1(2) dengan seberapa segera yang boleh tidaklah dengan sendirinya menidaksahkan pemilihan mana-mana ahli Dewan Negara" ditambahkan oleh Akta 31/1965, subseksyen 2(2), berkuat kuasa dari 1-7-1965.

BAHAGIAN II

Seksyen 6 dan 7:

Seksyen-seksyen ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963:

"6. Tempoh jawatan bagi seorang daripada dua orang ahli Dewan Negara yang dipilih pada pemilihan pertama yang diadakan mengikut peruntukan Jadual ini ialah tiga tahun, dan ahli Dewan Negara yang tempoh jawatannya ialah enam tahun hendaklah, jika kedua-duanya mendapat bilangan undi yang sama banyak, ditetapkan dengan cara cabut undi dan kalau tidak begitu halnya orang yang menerima bilangan undi yang lebih banyak.

7. Daripada bilangan orang yang dilantik pertama kalinya untuk menjadi ahli Dewan Negara, lapan hendaklah dilantik bagi tempoh tiga tahun.".

2. (a) Tajuk "Pemilihan dan Persaraan Ahli-Ahli Dean Negara" dan "BAHAGIAN I" dipotong oleh Akta A1130, perenggan 13(a) dan (c), berkuat kuasa dari 18-9-2001;

(b) Tajuk "PEMILIHAN AHLI-AHLI DEWAN NEGARA" digantikan dengan tajuk "Pemilihan Ahli-Ahli Dewan Negara" oleh Akta A1130, perenggan 13(b), berkuat kuasa dari 28-9-2001.

(c) Bahagian II dipotong oleh Akta A1130, perenggan 13(c), berkuat kuasa dari 28-9-2001.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas