Jadual Kedua-Bahagian III-Peruntukan tambahan berhubung dengan kewarganegaraan.


JADUAL KEDUA

BAHAGIAN III

[Perkara 31]

PERUNTUKAN TAMBAHAN BERHUBUNG
DENGAN KEWARGANEGARAAN


Menteri


1. Fungsi Kerajaan Persekutuan di baawah Bahagian III Perlembagaan ini hendaklah dijalankan oleh mana-mana Menteri Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang diarahkan dari semasa ke semasa oleh Tang di-Pertuan Agong, dan sebutan dalam Jadual ini mengenai Menteri hendaklah di tafsirkan dengan sewajarnya.

2. Sesuatu keputusan Kerajaan Persekutuan di bawah Bahagian III Perlembagaan ini tidaklah tertakluk kepada rayuan atau kajian semula di dalam mana-mana mahkamah.

3. (Dimansuhkan).

4. (1) Menteri boleh mewakilkan kepada mana-mana pegawai Kerajaan Persekutuan atau, dengan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri mana-mana Negeri, kepada mana-mana pegawai Kerajaan Negeri itu, mana-mana fungsinya di bawah Bahagian III Perlembagaan ini atau Jadual ini yang berhubungan dengan kewarganegaraan melalui pendaftaran dan penyimpanan daftar-daftar, dan, berhubung dengan perintah-perintah di bawah peranggan (c) Fasal (1) Perkara 25 atau di bawah Perkara 26, mana-mana fungsinya di bawah Perkara 27 sebelum memutuskan sama ada hendak membuat suatu perintah yang sedemikian; tetapi mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan seseorang yang kepadanya fungsi Menteri itu diwakilkan sedemikian boleh merayu kepada Menteri.

(2) Menteri boleh juga, dengan persetujuan Yang di-Pertau Negeri bagi Negeri yang berkenaan, mewakilkan kepada suatu

pihak berkuasa Negeri Sabah atau Sarawak (tertakluk atau tidak tertakluk kepada syarat-syarat yang membuat peruntukan bagi sesuatu rayuan daripada pihak berkuasa itu kepada Menteri) mana-mana fungsi Menteri di bawah Fasal (6) Perkara 28A yang tidak dikehendaki diwakilkan menurut Fasal (7) Perkara itu.

(3) Subseksyen (1) hendaklah terpakai bagi pendaftaran di bawah Fasal (2) Perkara 19A sebagaimana subseksyen itu

terpakai bagi kewarganegaraan melalui pendaftaran, dan bagi pembatalan di bawah Fasal (4) Perkara 19A sesuatu pendaftaran di bawah Perkara itu sebagaimana subseksyen itu terpakai bagi sesuatu perintah di bawah Perkara 26.

5. (Dimansuhkan).

Fungsi Menteri



6. Tertakluk kepada undang-undang persekutuan, Menteri boleh membuat kaedah-kaedah dan menetapkan borang-borang bagi maksud menjalankan fungsi-fungsinya di bawah Bahagian III Perlembagaan ini.

7. Apa-apa kuasa Kerajaan Persekutuan untuk melanjutkan, bagi maksud Bahagian III Perlembagaan ini, tempoh bagi mendaftarkan sesuatu kelahiran yang berlaku di luar Persekutuan boleh dijalankan sama ada sebelum atau selepas pendaftaran itu dibuat.

8. (Dimansuhkan).

9. Apa-apa notis yang hendaklah diberikan oleh Menteri kepada mana-mana orang di bawah Perkara 27 boleh dihantar kepada orang itu di alamatnya yang akhir diketahui, atau, dalam hal seseorang yang di bawah umur dua puluh ssatu tahun (yang bukan seorang perempuan bersuami), kepada ibu atau bapanya atau penjaganya di alamat ibu atau bapa atau penjaga itu yang akhir diketahui; dan jika sesuatu alamat yang ke situ notis boleh dihantar kepada mana-mana orang di bawah seksyen in tidak diketahui dan tidak dapat ditentukan selepas siasatan yang munasabah dibuat, maka notis itu boleh diberikan dengan menyiarkannya dalam Warta.

10. (1) Menjadi kewajipan Menteri untuk menyusun dan menyenggarakan-

(a) suatu daftar warganegara melalui pendaftaran;

(b) suatu daftar warganegara melalui penaturalisasian;

(c) suatu daftar orang yang kepada mereka perakuan telah dikeluarkan di bawah Fasal (1) Perkara 30;

(d) suatu daftar orang yang telah melepaskan atau telah dilucutkan kewarganegaraan di bawah mana-mana peruntukan Bahagian III Perlembagaan ini.

(e) (Dimansuhkan).

(f) suatu indeks mengikut abjad bagi semua orang yang disebut dalam perenggan (a) hingga (d).


(2) Sebutan dalam seksyen ini mengenai warganegara melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian hendaklah

ditafsirkan mengikut Perkara 28 seolah-olah seksyen in telah dimasukkan antara peruntukan yang baginya Perkara itu terpakai.


11. Jika Menteri mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa sesuatu kekhilafan terdapat dalam mana-mana daftar yang disusun di bawah seksyen 10, maka dia hendaklah, selepas memberikan notis kepada orang yang berkenaan itu dan selepas menimbangkan apa-apa representasi daripadanya yang dipilih olehnya untuk dibuat, membuat apa perubahan pada daftar itu sebagaimana yang didapati perlu oleh Menteri bagi membetulkan kekhilafan itu.

12. Tertakluk kepada seksyen 11, daftar tersebut hendaklah menjadi keterangan muktamad mengenai perkara yang terkandung dalamnya;

13-15. (Dimansuhkan).

Kesalahan-kesalahan


16. (1) Menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemejaraan selama dua tahun atau denda sebanyak seribu ringgit atau kedua-duanya jika mana-mana orang-

(a) dengan disedarinya membuat apa-apa pernyataan palsu dengan tujuan untuk mendorong Menteri membenarkan atau menolak mana-mana permohonan di bawah Bahagian III Perlembagaan ini, termasuk apa-apa permohonan untuk menentukan sama ada pemohon itu seorang warganegara melalui kuat kuasa undang-undang; atau

(b) memalsukan atau tanpa kuasa yang sah mengubah mana-mana perakuan, sama ada yang dikeluarkan atau diberikan di Persekutuan atau di mana-mana tempat lain, atau tanpa kuasa yang sah menggunakan atau ada dalam miliknya apa-apa perakuan yang telah dipalsukan atau diubah sedemikian; atau

(c) tidak mematuhi apa-apa kehendak yang dikenakan ke atasnya oleh mana-mana kaedah yang dibuat di bawah seksyen 6 mengenai penyerahan perakuan; atau

(d) menyamar atau dengan cara palsu mengemukan dirinya sebagai atau bukan sebagai seorang yang kepadanya suatu perakuan, sama ada yang dikeluarkan di Persekutuan atau di mana-mana tempat lain, telah dikeluarkan atau diberikan dengan sewajarnya.


(2) Dalam seksyen ini, "perakuan" ertinya apa-apa perakuan daripada perihalan yang berikut yang dikeluarkan di bawah

Bahagian III Perlembagaan ini, iaitu;

(a) apa-apa perakuan pendaftaran atau perakuan naturalisasi sebagai seorang warganegara; dan

(b) apa-apa perakuan pendaftaran yang dibuat di suatu konsulat Persekutuan atau di mana-mana tempat lain di luar Persekutuan; dan

(c) apa-apa perakuan seperti yang di sebut dalam Perkara 30.

Tafsiran


17. Berhubung dengan seseorang anak tidak sah taraf, sebutan mengenai bapa orang itu atau mengenai ibu atau bapanya, atau mengenai seorang daripada ibu bapanya adalah, bagi maksud Bahagian II Perlembagaan ini, ditafsirkan sebagai sebutan mengenai ibunya, dan dengan yang demikina itu seksyen 19 Jadual ini tidaklah terpakai bagi orang itu.

18. Berhubung dengan seseorang anak angkat yang pengangkatannya telah didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Persekutuan termasuk mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa sebelum Hari Merdeka, Fasal (3) Perkara 15 hendaklah berkuat kuasa seolah-olah sebutan mengenai bapanya telah digantikan dengan sebutan mengenai pengangkat itu, dan sebutan dalam Fasal itu dan seksyen 9 Bahagian ini dalam Jadual ini mengenai ibu atau bapanya hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.

19. Apa-apa sebutan dalam Bahagian III Perlembagaan ini mengenai taraf atau perihalan bapa seseorang pada masa kelhairan orang itu hendaklah, berhubung dengan seseorang yang lahir selepas kematian bapanya, ditafsirkan sebagai sebutan mengenai taraf atau perihalan bapa itu pada masa kematian bapa itu; dan jika kematian itu berlaku sebelum Hari Merdeka dan kelahiran itu berlaku pada atau selepas hari Merdeka, maka taraf atau perihalan yang akan terpakai bagi bapa itu sekiranya dia mati selepas Hari Merdeka hendaklah disifatkan sebagai taraf atau perihalan yang terpakai baginya pada masa kematiannya. Seksyen ini hendaklah berkuat kuasa berhubung dengan Hari Malaysia sebagaimana seksyen ini berkuat kuasa berhubung dengan Hari Merdeka.

19A. Bagi maksud Bahagian I dan II Jadual ini, seseorang yang lahir di atas sesuatu kapal atau pesawat udara berdaftar hendaklah disifatkan telah lahir di tempat di mana kapal atau pesawat udara itu telah didaftarkan, dan seseorang yang lahir di atas sesuatu kapal atau peasawat udara tidak berdaftar kepunyaan Kerajaan mana-mana negara hendaklah disifatkan telah lahir di dalam negara itu.

19B. Bagi maksud Bahagian I dan II Jadual ini, mana-mana kanak-kanak baru lahir yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan di mana-mana tempat hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, telah lahir di tempat itu dan ibunya bermastautin secara tetap di tempat itu; dan jika kanak-kanak itu dikira menurut kuasa seksyen ini telah lahir sedemikian, maka tarikh dia dijumpai hendaklah dikira sebagai tarikh lahirnya.

19C. Bagi maksud Bahagian I atau II Jadual ini, seseorang hendaklah dikira telah bermastautin secara tetap pada bila-bila masa di Persekutuan jika, tetapi hanya jika, dia ketika itu bermastautin di Persekutuan dan sama ada-


(a) dia ketika itu mendapat kebenaran yang diberikan tanpa had masa di bawah mana-mana undang-undang persekutuan untuk bermastautin di Persekutuan; atau

(b) diperakui oleh Kerajaan Persekutuan bahawa dia hendaklah dikira bagi maksud itu sebagai seorang pemastautin tetap di Persekutuan.

20. (1) Pada menghitung apa-apa kemastautinan di Persekutuan bagi maksud Bahagian II Perlembagaan ini-

(a) tempoh tidak ada dalam Persekutuan selama kurang daripada enam bulan:

(b) tempoh tidak ada di dalam Persekutuan bagi maksud apa-apa jenis pendidikan, di mana-mana negara dan selama apa-apa tempoh yang diluluskan dari semasa ke semasa sama ada secara am atau secara khas oleh Menteri;

(c) tempoh tidak ada di dalam Persekutuan kerana sebab-seba kesihatan;

(d) tempoh tidak ada di dalam Persekutuan kerana bertugas dalam perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan mana-mana Negeri, jika tempoh itu selaras dengan keberterusan yang diperlukan bagi kemastautinan itu; dan

(e) tempoh yang tidak ada di dalam Persekutuan kerana apa-apa sebab lain yang ditetapkan secara am atau secara khas oleh Menteri,

hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.

(2) Pada menghitung apa-apa kemastautinan di Persekutuan bagi maksud Bahagian III Perlembagaan ini-


(a) tempoh yang dalamnya seseorang telah tidak bermastautin dengan sah di Persekutuan;

(b) tempoh seseorang berada sebagai penghuni di dalam mana-mana penjara atau sebagai seseorang yang ditahan dalam jagaan yang sha di mana-mana tempat lain, selain hospital mental, di bawah peruntukan mana-mana undang-undang bertulis Persekutuan; dan

(c) tempoh yang dalamnya seseorang dibenarkan tinggal sementara di Persekutuan di bawah kuasa apa-apa pas yang dikeluarkan atau perintah pengecualian yang dibuat di bawah peruntukan mana-mana undang-undang bertulis Persekutuan yang berhubungan dengan imigresen.

tidak boleh, kecuali dalam hal apa-apa tempoh yang disebut dalam perenggan (c), dengan persetujuan Menteri, dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.

(3) Bagi maksud Bahagian III Perlembagaan ini, seseorang hendaklah disifatkan bermastautin di Persekutuan pada

sesuatu hari tertentu jika dia telah bermastautin di Persekutuan sebelum hari itu dan hari itu termasuk dalam apa-apa tempoh tidak ada di dalam Persekutuan yang disebut dalam subsejsyen (1).

(4) Seksyen ini hendaklah terpakai berhubung dengan mana-mana bahagian Persekutuan dan wilayah-wilayah yang

termasuk di dalam bahagian itu sebelum Hari Malaysia sebagaimana seksyen ini terpakai berhubung dengan Persekutuan pada kesekuruhannya, dan sebutan dalam subseksyen (1)(d) mengenai perkhidmatan sesuatu Negeri hendaklah termasuk, berhubung dengan wilayah-wilayah itu, perkhidmatan mana-mana Kerajaan yang mempunyai bidang kuasa di wilayah-wilayah itu sebelum Hari Malaysia; dan berhubung dengan Hari Malaysia atau mana-mana hari yang kemudiannya subseksyen (3) hendaklah terpakai seolah-olah wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak telah pada setiap masa menjadi sebahagian daripada persekutuan.


21. Bagi maksud Bahagian III Perlembagaan ini, "konsulat Persekutuan" termasuklah mana-mana pejabat yang menjalankan fungsi konsul bagi pihak Persekutuan.

22. Kecauli setakat yang konteksnya menghendaki makna yang lain, sebutan dalam Jadual ini mengenai Bahagian III Perlembagaan ini hendaklah dibaca sebagai termasuk sebutan mengenai Jadual ini.

____________________________________________
CATATAN

Jadual Kedua:

BAHAGIAN III

1. Dinomborkan sedemikian olej Akta 26/1963, perenggan 24(1)(a), berkuat kuasa dari 16-9-1963, yang juga memasukkan perkataan "Perlembagaan ini" selepas "Bahagian III" di mana-mana jua terdapat dalam Bahagian itu. Seksyen-seksyen yang terlibat ialah 1, 2, 4, 6, 10(1)(d), 16(1)(a), 19, 20(1), (2), (3), 21.

2. Lihat Per. 159(4)(a).

Seksyen 2: Lihat catatan halaman sebelum ini.

Seksyen 3: Seksyen ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 10/1960, perenggan 33(b), berkuat kuasa dari 1-12-1960:

"3. Bagi maksud Bahagian III dan Jadual ini Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah menjadi pihak berkuasa pendaftaran.".

Seksyen 4:

1. Seksyen yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 10/1960, perenggan 33(c), berkuat kuasa dari 1-12-1960. Seksyen ini dipinda seperti yang berikut:

(a) oleh Akta 14/1962, subseksyen 27(1), berkuat kuasa dari 1-10-1962, yang menggantikan perkataan "Jadual ini" dengan "atau Jadual ini yang berhubung dengan kewarganegaraan melalui pendaftaran dan penyimpanan daftar-daftr, dan berhubungan dengan perintah-perintah di bawah peranggan (c) Fasal (1) Perkara 25 atau di bawah Perkara 26, mana-mana fungsinya di bawah Perkara 27 sebelum memutuskan sama ada hendak membuat suatu perintah yang sedemikian;";

(b) oleh Akta 26/1963, subseksyen 33(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963, yang menomborkan semula seksyen ini sebagai "4. (1)" dan menambah subseksyen (2) dan (3);

(c) oleh Akta 59.1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, yang memotong perkataan "atau Singapura" yang terdapat selepas "Negeri Borneo" dalam subseksyen (2);

(d) subseksyen (1): Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976;

(e) subseksyen (2): Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354 seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976 dan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.


2. Seksyen 4 yang asal berbunyi seperti berikut:


"4. Pihak berkuasa pendaftaran boleh mewakilkan kepada mana-mana pegawainya, atau, dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Gabenor mana-mana Negeri, kepada mana-mana pegawai Kerajaan Persektuan atau Kerajaan Negeri itu, mana-mana fungsinya di bawah Bahagian III atau Jadual ini; tetapi mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan seseorang yang kepadanya fungsi pihak berkuasa itu diwakilkan sedemikian boleh merayu kepada pihak berkuasa itu.".

3. Perwakilan-perwakilan yang berikut telah dibuat:

(a) di bawah subseksyen (1):

P.U.)S.B.) 114/1957, 10-12/1958, 22-27/1958, 29/1958. 37-38/1958, 47-51/1958, 56/1958, 135-140/1958, 233-235/1958, 255-256/1958, 72/1959;

(b) di bawah subseksyen (2):

P.U. 39/1964.

Subseksyen (3): Per. 19A yang disebut dalam subseksyen ini dimansuhkan.

Seksyen 5: Seksyen ini yang dimansuhkan oleh Akta 10/1960, perenggan 33(d), berkuat kuasa dari 1-12-1960, berbunyi seperti berikut:

"5. Mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan pihak berkuasa pendaftaran boleh merayu kepada Mahkamah Besar atas perkara undang-undang, tetapi kecuali sebagaimana yang disebut terdahulu keputusan pihak berkuasa pendaftaran di bawah Bahagian III tidaklah tertakluk kepada rayuan atau kajian semula di dalam mana-mana mahkamah.".

Seksyen 6:

1. Seksyen yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 10/1960, perenggan 33(f), berkuat kuasa dari 1-12-1960. Akta 26/ 1963, subseksyen 33(3)-lihat Jadual 3 Bahagian IV, perenggan 10-memotong perkataan "dan Jadual ini" yang terdapat di hujungnya. Seksyen yang asal berbunyi seperti yang berikut:

"6. Tertakluk kepada undang-undang persekutuan, Menteri dan pihak berkuasa pendaftaran boleh membuat kaedah-kaedah dan menetapkan borang-borang bagi maksud menjalankan fungsi mereka masing-masing di bawah Bahagian III dan Jadual ini.".

2. Lihat seksyen 16(1)(c).

3. Lihat Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, dalam P.U. 82/1964 sebagaimana yang dipinda oleh P.U. 346/1964, 44/1965, 369/1966, 426/1966.

Seksyen 7: Seksyen yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, perenggan 33(3) berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan menggantikan sekyen yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

"7. Kuasa Kerajaan Persekutuan di bawah perenggan (d) Fasal (1) Perkara 14 untuk membenarkan tempoh yang lebih lama bagi pendaftaran sesuatu kelahiran boleh dijalankan sama ada sebelum atau selepas pendaftaran itu telah dilaksanakan.".

Seksyen 8: Seksyen ini yang dimansuhkan oleh Akta 10/1960, perenggan 33(g), berkuat kuasa dari 1-12-1960, berbunyi seperti yang berikut:


"8. Jika sesuatu perakuan naturalisasi diberikan di bawah Perkara 19 atau Perkara 20, Menteri hendaklah menghantar suatu salinan perakuan itu kepada pihak berkuasa pendaftaran.".

Seksyen 9: Lihat sekyen 18.

Seksyen 10:

1. Seksyen ini yang dimansuhkan oleh Akta 10/1960, perenggan 33(h), berkuat kuasa dari 1-12-1960. Seksyen ini dipinda seperti yang berikut:

(a) oleh Akta 26/1963, subseksyen 33(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963 yang-

(i) memasukkan perkataan "Fasal (1)" sebelum "Perkara 30" dalam perenggan (1)(c);

(ii) memasukkan perenggan (1)(e) dan (f) sebagai menggantikan perenggan (e) yang berbunyi seperti berikut:

"(e) sesuatu indeks megikut abjad bagi bagi semua orang yang disebut dalam perenggan (a), (b), (c), dan (d) dalam subseksyen ini.";

(iii) menggantikan subseksyen yang dahulu dengan subseksyen (2) yang berbunyi seperti yang berikut:

'(2) Bagi maksud seksyen ini-

"warganegara melalui pendaftran" termasuklah seseorang warganegara yang mana-mana

perenggan (selain perenggan (c)) Fasal (1) Perkara 28 terpakai baginya dan seorang warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 170;

"warganegara melalui penaturalisasian" termasuklah seseorang warganegara yang perenggan (c)

Fasal (1) Perkara 28 terpakai baginya.'"

(b) oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965 yang-

(i) memansuhkan perenggan (1)(e) yang berbunyi seperti berikut:

"(e) suatu daftar orang yang didaftarkan di bawah Perkara 19A sebagai warganegara yang bukan warganegara Singapura,",

dan menggantikan perkataan "(a) hingga (e)" dalam perenggan (1)(f) dengan "(a) hingga (d)";


(ii) menggantikan dalam subseksyen (2), perkataan "Perkara 28 dan 28A" dengan "Perkara 28" dan perkataan "baginya Perkara-Perkara itu terpakai, dikecualikan bahawa "warganegara melalui pendaftaran" tidak termasuk mana-mana warganegara Singapura' dengan "baginya Perkara itu terpakai.".

2. Lihat seksyen 11.

Subseksyen (1)(e) dan (2): Lihat catatan di halaman sebelum ini.

Seksyen 11:

1. Perkataan "pihak berkuasa pendaftaran" dan "pihak berkuasa" digantikan dengan "Menteri", dan perkataan "ia" yang terdapat selepas "seksyen 10, maka" digantikan dengan "dia" oleh Akta 14/1962, Jadual seksyen 14(b), berkuat kuasa dari 1-12-1960.

2. Lihat seksyen 12.

Seksyen 13 hingga 15: Seksyen-seksyen ini berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 10/1960, perenggan 33(i) berkuat kuasa dari 1-12-1960:

"13. Bagi maksud menetapkan apa-apa persoalan fakta yang bukti mengenainya diperlukan bagi mana-mana orang yang mendakwa menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, atau bagi pendaftaran sebagai seorang warganegara, pihak berkuasa pendaftaran berhak mengemukakan apa-apa soalan kepada orang itu, atau mana-mana orang lain, sebagaimana yang difikirkannya perlu; dan melainkan jika pihak berkuasa itu mempunyai sebab untuk meragui tentang betulnya jawapan kepada mana-mana soalan itu, jawapan itu hendaklah diterima sebagai betul.

14. Tanpa menjejaskan seksyen 13, jika mana-mana orang menyatakan bahawa dia telah mencapai umur yang tertentu maka pernyataan itu bolehlah, melainkan jika pihak berkuasa pendaftaran atau Menteri, mengikut mana-mana yang berkenaan, mempunyai sebab untuk meragui betulnya pernyataan itu, diterima sebagai betul walaupun orang itu tidak dapat menentukan tarikh lahirnya; dan mana-mana orang yang mendakwa dirinya dilahirkan sah taraf hendaklah dikira dilahirkan sedemikian melainkan jika pihak berkuasa pendaftaran atau Menteri, mengikut mana-mana yang berkenaan, mempunyai sebab untuk menyatakan bahawa di dilahirkan tidak sah taraf.

15. Jika pihak berkuasa pendaftaran berpuas hati dengan semua perkara yang dikehendaki oleh perkara 17 bagi maksud sesuatu permohonan pendaftaran di bawah Perkara itu, mereka hendaklah memberikan notis yang bermaksud sedemikian kepada Menteri, dan melainkan jika dalam suatu tempoh sebagaimana yang ditetapkan oleh kaedah-kaedah yang dibuat oleh Menteri bagi maksud seksyen ini Menteri mengarahkan selainnya, pihak berkuasa itu hendaklah mendaftarkan pemohon itu dengan sewajarnya.".

Seksyen 16: Seksyen yang asal yang berbunyi seperti yang berikut digantikan oleh Akta 10/1960, perenggan 33(j), berkuat kuasa dari 1-12-1960, dengan seksyen yang mempunyai dua subseksyen:

"16. Menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama dua tahun atau denda seribu ringgit atau kedua-duanya bagi seseorang yang dengan disedarinya membuat apa-apa pernyataan palsu dengan tujuan mendorong pihak berkuasa pendaftaran atau Menteri supaya meluluskan atau menolak mana-mana permohonan di bawah Bahagian III, termasuk apa-apa permohonan bagi menentukan sama ada permohonan itu ialah seorang warganegara melalui kuat kuasa undang-undang.".

Subseksyen (2) yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 33(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkataan "atau di bawah Perlembagaan Negeri Singapura atau mana-mana undang-undang terdahulu yang berhubungan denga kewarganegaraan Singapura" yang terdapat selepas "Perlembagaan ini" dipotong oleh Akta 59/1996, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965. Subseksyen (2) yang dimasukkan oleh Akta 10/1960 berbunyi seperti yang berikut:

"(2) Dalam seksyen ini "perakuan" ertinya-

(a) apa-apa perakuan pendaftran sebagai warganegara yang diberikan di bawah Perkara 15, 16, 17, atau 170;

(b) apa-apa perakuan pendaftaran sesuatu kelahiran di suatu Konsulat Malaya di bawah perenggan (d) Fasal (1) Perkara 14;

(c) apa-apa perakuan naturalisasi yang diberikan di bawah Perkara 19 atau 20;

(d) apa-apa perakuan kewarganegaraan yang dikeluarkan di bawah Perkara 30.".

Seksyen 17: Seksyen ini yang dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 33(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan seksyen yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

"17. Berhubung dengan seseorang yang tidak sah taraf, Perkara 14 dan 15 hendaklah berkuat kuasa seolah-olah sebutan mengenai bapanya, dan Fasal (2)(c) Perkara 14 seolah-olah sebutan mengenai ibu atau bapanya itu, telah digantikan dengan sebutan mengenai ibunya dan seolah-olah seksyen 19 Jadual ini telah ditinggalkan; dan sebutan dalam Perkara 15 dan Jadual ini mengenai ibu atau bapanya hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.".

Seksyen 18: Perkataan "Fasal (3)" yang terdapat sebelum "Perkara 15" dimasukkan oleh Akta 25/1963, subseksyen 33(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963, yang juga menggantikan perkataan "Perkara itu dan" dengan "Fasal itu dan seksyen 9 Bahagian ini".

Seksyen 19:

1. Ayat yang terakhir ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 33, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat seksyen 17.


Seksyen 19A hingga 19C:

Ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 24(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Seksyen 20: Seksyen yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 14/1962, subseksyen 27(2), berkuat kuasa dari 1-10-1962. Subseksyen (4) yang ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 33(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963, dipinda oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, dengan memotong perkataan "atau Singapura" yang terdapat selepas "Negeri-Negeri Borneo". Seksyen yang asal berbunyi seperti yang berikut:

"20. Pada menghitung tempoh kemastautinan di dalam Persekutuan bagi maksud Bahagian III-

(a) tempoh tidak berada di dalam Persekutuan selama kurang daripada enam bulan;

(b) tempoh tidak berada di dalam Persekutuan bagi maksud apa-apa jenis pendidikan, di mana-mana negeri dan selama apa-apa tempoh yang diluluskan dari semasa ke semasa sama ada secara am atau secara kahs oleh Menteri; dan

(c) tempoh tidak berada di dalam Persekutuan atas sebab-sebab kesihatan atau apa-apa sebab lain yang ditetapkan secara am atau secara khas oleh Menteri,

hendaklah dikira sebagai kemastautinan di dalam Persekutuan, dan bagi maksud Bahagian III seseorang hendaklah disifatkan bermastautin di dalam Persekutuan pada sesuatu hari tertentu jika dia telah bermastautin di dalam Persekutuan sebelum hari itu dan hari itu dimasukkan dalam apa-apa tempoh yang tidak berada di dalam Persekutuan seperti yang disebut terdahulu.".

Subseksyen (1)(d): Lihat seksyen 20(4).

Subseksyen (3): Lihat seksyen 20(4).

Seksyen 20(4): Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Seksyen 21: Perkataan "konsulat Malaya" digantikan dengan "konsulat Persekutuan" oleh Akta 26/1963, subseksyen 33(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Seksyen 22: ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 33(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas