PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN KEWANGAN
Bab 1 - Am




Perkara 105. Ketua Audit Negara.

(1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Audit Negara, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

(2) Seseorang yang telah memegang jawatan Ketua Audit Negara layak dilantik semula tetapi tidaklah layak dilantik bagi apa-apa pelantikan lain dalam perkhidmatan Persekutuan atau bagi apa-apa pelantikan dalam perkhidmatan sesuatu Negeri.

(3) Ketua Audit Negara boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya tetapi tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

(4) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Ketua Audit Negara, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

(5) Saraan dan terma-terma lain jawatan (termasuk hak pencen) bagi Ketua Audit Negara tidaklah boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya.

(6) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan Ketua Audit Negara hendaklah ditentukan melalui undang-undang persekutuan dan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan, oleh Yang di-Pertuan Agong.

____________________________________________
CATATAN

Per. 105:

Fasal (3): Perkataan "Mahkamah Besar" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Kemudiannya pula, subseksyen 18(2) Akta A566, berkkuat kuasa dari 1-1-1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsiekan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

Akta A885, seksyen 11, berkuat kuasa dari 24-6-1994, menggantikan perkataan "Agung" dengan perkataan "Persekutuan".

Fasal (4) dan (6): Lihat Akta Audit 1957 [Akta 62].

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas