PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN KEWANGAN
Bab 1 - Am




Perkara 110. Penyerahhakan cukai dan fi kepada Negeri.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), setiap Negeri hendaklah menerima segala hasil daripada cukai, fi dan sumber hasil lain yang dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Kesepuluh setakat yang dipungut, dilevikan atau diperdapatkan di dalam Negeri itu.

(2) Parlimen boleh dari semasa ke semasa melalui undang-undang menggantikan mana-mana sumber hasil yang dinyatakan dalam seksyen 1, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 12 atau 14 Bahagian III Jadual Kesepuluh atau mana-mana sumber hasil yang digantikan sedemikian dengan suatu sumber hasil lain yang pada hakikatnya sama nilainya.

(3) Setiap Negeri hendaklah menerima, atas apa-apa terma dan syarat yang diperuntukkan melalui atau di bawah undang-undang persekutuan, sepuluh peratus atau apa-apa amaun yang lebih besar yang diperuntukkan sedemikian daripada duti eksport atas timah yang dikeluarkan di dalam Negeri itu.

(3A) Parlimen boleh melalui undang-undang memperuntukkan bahawa setiap Negeri hendaklah menerima, atas apa-apa terma dan syarat yang ditetapkan melalui atau di bawah undang-undang persekutuan, apa-apa perkadaran yang ditetapkan sedemikian daripada duti eksport atas mineral (selain timah) yang dikeluarkan di dalam Negeri itu.

Dalam Perkara ini "mineral" ertinya bijih mineral, logam dan minyak mineral.

(3B) Tanpa menjejaskan kuasa untuk mengenakan syarat yang diberikan oleh Fasal (3) atau (3A), Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi melarang atau menyekat dalam apa-apa hal, atau kecuali dalam apa-apa hal, sebagaimana yang diperuntukkan melalui atau di bawah undang-undang itu, pelevian royalti ke atas mineral atau caj-caj yang seumpamanya berkenaan dengan mineral (sama ada di bawah suatu pajakan atau surat cara lain atau di bawah mana-mana enakmen Negeri, dan sama ada surat cara itu telah dibuat atau enakmen itu diluluskan sebelum atau selepas permulaan kuat kuasa Fasal ini).

(4) Tanpa menjejaskan peruntukan Fasal (1) hingga (3A), Parlimen boleh melalui undang-undang--

(a) menyerahhakkan kepada Negeri-Negeri keseluruhan atau apa-apa bahagian daripada hasil apa-apa cukai atau fi yang diperdapatkan atau dilevikan oleh Persekutuan; dan

(b) menyerahhakkan kepada Negeri-Negeri tanggungjawab bagi memungut, bagi maksud Negeri, apa-apa cukai atau fi yang dibenarkan oleh undang-undang persekutuan.

(5) Amaun yang boleh diterima oleh Negeri di bawah Fasal (1), (2) atau (4) tidaklah boleh dibayar ke dalam Kumpulan Wang Disatukan; dan amaun yang boleh diterima oleh Negeri di bawah Fasal (3) dan (3A) hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

____________________________________________
CATATAN

Per. 110:

Lihat Per. 161C(3).

Fasal (3):

1. Perkataan "Parlimen boleh melalui undang-undang memperuntukkan" digantikan dengan "yang diperuntukkan melalui atau di bawah undang-undang persekutuan" dan "yang diperuntukan sedemikian" oleh Akta 14/1962, Jadual seksyen 5, berkuat kuasa dari 21-6-1962.

2. Lihat Per. 108(4)(g).

Fasal (3A):

1. Ditambahkan oleh Akta 14/1962, seksyen 19, berkuat kuasa dari 21-6-1962.

2. Lihat Per. 108(4)(g), 112C(3).

3. Lihat Akta Penyerahhakan Hasil (Duti eksport atas Bijih Timah) 1962 [Akta 395] dan Akta Penyerahhakan Duti Eksport (Bijih Mineral) 1964 [Akta 296]/

Fasal (3B):

1. ditambahkan oleh Akta 14/1962, seksyen 19, berkuat kuasa dari 21-6-1962.

2. Lihat Per. 122C(4).

Fasal (4):

1. Perkataan "hingga (3)" dalam baris dua digantikan dengan "hingga (3A)" oleh Akta 14/1962, Jadual seksyen 5, berkuat kuasa dari 21-6-1962.

2. Lihat Per. 122C(3).

Fasal (5) : Perkataan "Fasal (3)" digantikan dengan "Fasal (3) dan (3A)" oleh Akta 14/1962, Jadual seksyen 5, berkuat kuasa dari 21-6-1962.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas