PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN KEWANGAN
Bab 1 - Am




Perkara 111. Sekatan untuk meminjam.

(1) Persekutuan tidak boleh meminjam kecuali di bawah kuasa undang-undang persekutuan.

(2) Sesuatu Negeri tidak boleh meminjam kecuali di bawah kuasa undang-undang Negeri, dan undang-undang Negeri tidak boleh memberi kuasa sesuatu Negeri untuk meminjam kecuali daripada Persekutuan atau, bagi suatu tempoh yang tidak melebihi lima tahun, daripada suatu bank atau sumber kewangan lain yang diluluskan bagi maksud itu oleh Kerajaan Persekutuan, dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.

(3) Sesuatu Negeri tidak boleh memberikan apa-apa jaminan kecuali di bawah kuasa undang-undang Negeri, dan jaminan itu tidak boleh diberikan kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditentukan olehnya.

____________________________________________
CATATAN

Per. 111:

Fasal (2): Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta A354, seksyen 23, berkuat kuasa dari 27-8-1976, bagi menggantikan Fasal dahulu yang berbunyi seperti berikut:

"(2) Sesuatu Negeri tidak boleh meminjam kecuali di bawah kuasa undang-undang Negeri, dan undang-undang

Negeri tidak boleh memberi kuasa sesuatu Negeri untuk meminjam kecuali daripada Persekutuan atau, bagi suatu tempoh yang tidak melebihi dua belas bulan, daripada suatu bank atau sumber kewangan lain yang diluluskan bagi maksud itu oleh Kerajaan Persekutuan.".


Lihat Per. 112B.

Fasal (3): Ditambahkan oleh Akta A354, seksyen 23, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas