PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN KEWANGAN
Bab 2 - Pemakaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak




Perkara 112A. Pengauditan Negeri di Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Ketua Audit Negera hendaklah mengemukakan laporannya yang berhubungan dengan akaun bagi tiap-tiap satu daripada Negeri Sabah dan Sarawak, atau yang berhubungan dengan akaun mana-mana pihak berkuasa awam yang menjalankan kuasa yang terletak hak padanya oleh undang-undang Negeri di dalam salah satu Negeri itu, kepada Yang di-Pertuan Agong (yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat) dan kepada Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu; dan dengan demikian Fasal (2) Perkara 107 tidaklah terpakai bagi laporan itu.

(2) Yang di-Pertua Negeri hendaklah menyebabkan supaya mana-mana laporan yang dikemukakan kepadanya dibentangkan di hadapan Dewan Undangan.

(3) Kuasa dan tugas Ketua Audit Negara berhubung dengan akaun yang disebut dalam Fasal (1) bagi mana-mana tempoh yang berakhir sebelum tahun 1969 hendaklah, di Negeri Sabah atau Sarawak, dijalankan dan ditunaikan bagi pihaknya oleh pegawai kanan pejabatnya yang pada masa itu ditempatkan di Negeri yang berkenaan:

Dengan syarat bahawa semasa pegawai kanan itu tidak ada atau tidak berupaya, atau semasa jawatannya kosong, kuasa dan tugas itu hendaklah dijalankan dan ditunaikan oleh Ketua Audit Negara atau mana-mana pegawai jabatannya yang ditetapkan olehnya.

____________________________________________
CATATAN

Bahagian VII:

Tajuk Bab 2 "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Per. 112A:

Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 50, berkuat kuasa 16-9-1963.

Fasal (1): (a) Perkataan "sesuatu Negeri Borneo atau Singapura" digantikan dengan "setiap Negeri Borneo" dan perkataan "mana-mana Negeri itu" digantikan dengan salah satu Negeri itu" oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965.

(b) Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976 dan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh akta A354 seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (2): Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh akta A354 seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (3): Perkataan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas