PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN KEWANGAN
Bab 2 - Pemakaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak




Perkara 112D. Kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Pemberian yang dinyatakan dalam seksyen 1 dan subseksyen (1) seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh, dan apa-apa pemberian gantian atau tambahan yang dibuat menurut kuasa Fasal ini, hendaklah dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri atau Negeri yang berkenaan itu mengikut lat tempoh yang disebut dalam Fasal (4), dan jika Kerajaan-Kerajaan itu bersetuju mana-mana pemberian itu diubah atau dihapuskan, atau suatu pemberian yang lain dibuat sebagai menggantikan atau bersekali dengan pemberian itu atau mana-mana daripadanya, maka Bahagian IV dan Fasal (2) Perkara 112C tersebut hendaklah diubahsuaikan melalui perintah Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang perlu untuk melaksanakan persetujuan itu:

Dengan syarat bahawa dalam kajian semula kali pertama pemberian yang dinyatakan dalam subseksyen (2) seksyen 1 Bahagian IV tersebut tidaklah boleh dipersoalkan kecuali bagi maksud menetapkan amaun bagi lima tahun yang berikutnya.

(2) Apa-apa kajian semula di bawah Perkara ini hendaklah mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan, serta juga keperluan bagi Negeri-Negeri atau Negeri yang berkenaan itu, tetapi (tertakluk kepada itu) hendaklah berusaha memastikan bahawa hasil Negeri cukup untuk membayar kos perkhidmatan Negeri yang ada pada masa kajian semula itu, dengan apa-apa peruntukan yang ternyata munasabah bagi pembesaran perkhidmatan itu.

(3) Tempoh yang baginya peruntukan dikehendaki dibuat dalam sesuatu kajian semula ialah suatu tempoh lima tahun atau (kecuali dalam hal kajian semula kali pertama) suatu tempoh yang lebih lama yang dipersetujui antara Persekutuan dengan Negeri-Negeri atau Negeri yang berkenaan itu; tetapi apa-apa perintah di bawah Fasal (1) yang melaksanakan keputusan sesuatu kajian semula hendaklah terus berkuat kuasa selepas berakhirnya tempoh itu, kecuali setakat yang perintah itu digantikan dengan suatu perintah selanjutnya di bawah Fasal itu.

(4) Suatu kajian semula di bawah Perkara ini tidaklah boleh dijalankan lebih awal daripada yang semunasabahnya perlu untuk memastikan bahawa keputusan kajian semula itu dapat dilaksanakan mulai dari akhir tahun 1968 atau, dalam hal kajian semula kali kedua atau kali kemudiannya, mulai dari akhir tempoh yang diperuntukkan oleh kajian semula yang sebelum itu; tetapi tertakluk kepada itu, kajian semula hendaklah diadakan berkenaan dengan Negeri Sabah dan Sarawak kedua-duanya bagi tempoh yang bermula dengan tahun 1969 dan dengan tahun 1974, dan selepas itu berkenaan dengan mana-mana satu Negeri itu pada bila-bila masa (dalam masa atau selepas tempoh yang diperuntukkan dalam kajian semula yang sebelum itu) sebagaimana yang dikehendaki oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri itu).

(5) Jika dalam apa-apa kajian semula di bawah Perkara ini Kerajaan Persekutuan memberikan notis kepada Negeri-Negeri atau Negeri yang berkenaan mengenai niatnya hendak mengubah mana-mana penyerahhakan hasil di bawah Bahagian V Jadual Kesepuluh (termasuk apa-apa penyerahhakan gantian atau tambahan yang dibuat menurut kuasa Fasal ini), atau hendak mengubah Fasal (4) Perkara 112C, maka kajian semula itu hendaklah mengambil kira perubahan itu, dan peruntukan hendaklah dibuat melalui perintah Yang di-Pertuan Agong supaya perubahan itu dilaksanakan mulai dari permulaan tempoh yang diperuntukkan dalam kajian semula itu:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi penyerahhakan di bawah seksyen 4, 7 dan 8, dan tidaklah terpakai bagi penyerahhakan di bawah seksyen 5 atau 6 sehingga kajian semula kali kedua.

(6) Jika dalam apa-apa kajian semula Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan sesuatu Negeri tidak dapat mencapai persetujuan atas apa-apa perkara, maka perkara itu hendaklah dirujukkan kepada penaksir bebas, dan syor penaksir bebas mengenai perkara itu hendaklah mengikat kerajaan-kerajaan yang berkenaan itu dan hendaklah dilaksanakan seolah-olah syor itu ialah persetujuan antara kerajaan-kerajaan itu.

(7) Fasal (4) Perkara 108 tidaklah terpakai bagi menghendaki Kerajaan Persekutuan berunding dengan Majlis Kewangan Negara berkenaan dengan perkara yang berbangkit di bawah Perkara ini.

(8) Apa-apa perintah Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara ini hendaklah dibentangkan di hadapan setiap Majlis Parlimen.

____________________________________________
CATATAN

Per. 112D:

1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 47, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat Per. 112C, Jadual Kesepuluh Bahagian IV, seksyen 1(2).

Fasal (4): Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (5): Lihat Per: 112C(4).

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas