PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VIII - PILIHAN RAYA




Perkara 113. Penjalanan pilihan raya.

(1) Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang hendaklah ditubuhkan mengikut Perkara 114, yang, tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan, hendaklah menjalankan pilihan raya ke Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri dan menyediakan dan menyemak daftar-daftar pemilih bagi pilihan raya itu.

(2) (i) Tertakluk kepada perenggan (ii), Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah, dari semasa ke semasa, sebagaimana yang difikirkannya perlu, mengkaji semula pembahagian Persekutuan dan Negeri-Negeri kepada bahagian-bahagian pilihan raya dan mengesyorkan apa-apa perubahan mengenainya yang difikirkannya perlu supaya dipatuhi peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas; dan kajian-kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan-Dewan Undangan hendaklah dijalankan pada masa yang sama dengan kajian-kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan Rakyat.

(ii) Maka hendaklah ada lat tempoh tidak kurang daripada lapan tahun antara tarikh siapnya satu-satu kajian semula, dengan tarikh bermulanya kajian semula yang kemudiannya, di bawah Fasal ini.

(iii) Kajian semula di bawah perenggan (i) hendaklah disiapkan dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh bermulanya kajian semula itu.

(3) Jika Suruhanjaya Pilihan Raya berpendapat bahawa berikutan dengan suatu undang-undang yang dibuat di bawah Perkara 2 kajian-kajian semula yang disebut dalam Fasal (2) perlu dijalankan, maka Suruhanjaya itu hendaklah berbuat sedemikian sama ada atau tidak lapan tahun telah berlalu semenjak kajian semula yang terakhir dijalankan di bawah Fasal itu.

(3A) (i) Jika bilangan ahli dipilih bagi Dewan Rakyat diubah berikutan dengan apa-apa pindaan kepada Perkara 46, atau bilangan ahli dipilih bagi Dewan Undangan sesuatu Negeri diubah berikutan dengan suatu undang-undang yang diperbuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah, tertakluk kepada Fasal (3B), menjalankan kajian semula pembahagian kawasan yang tersentuh dengan pengubahan itu kepada bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan atau Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan kajian semula itu hendaklah disiapkan dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh permulaan kuat kuasa undang-undang yang membuat pengubahan itu.

(ii) Kajian semula di bawah perenggan (i) tidaklah menyentuh lat tempoh yang diperuntukkan di bawah perenggan (ii) Fasal (2) berkenaan dengan kajian semula di bawah perenggan (i) Fasal itu.

(iii) Peruntukan Jadual Ketiga Belas hendaklah terpakai bagi kajian semula di bawah Fasal ini, tetapi tertakluk kepada apa-apa ubah suaian yang difikirkan perlu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

(3B) Jika sesuatu pindaan kepada Perkara 46 atau suatu undang-undang yang diperbuat oleh Dewan Undangan sesuatu Negeri yang disebut dalam perenggan (i) Fasal (3A) mula berkuat kuasa selepas lapan tahun berlalu dari tarikh siapnya kajian semula yang terakhir di bawah Fasal (2) dan Suruhanjaya Pilihan Raya berpendapat bahawa perlu dijalankan suatu kajian semula di bawah Fasal (2), maka Suruhanjaya Pilihan Raya tidak boleh menjalankan kajian semula di bawah perenggan (i) Fasal (3A) tetapi sebaliknya hendaklah menjalankan kajian semula di bawah Fasal (2) dan dalam mengendalikan kajian semula sedemikian hendaklah mengambil kira mana-mana kawasan yang tersentuh berikutan dengan pindaan atau undang-undang yang disebut dalam perenggan (i) Fasal 3A.

(4) Undang-Undang persekutuan atau Negeri boleh memberi kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjalankan pilihan raya selain pilihan raya yang disebut dalam Fasal (1).

(5) Setakat yang perlu bagi maksud fungsinya di bawah Perkara ini, Suruhanjaya Pilihan Raya boleh membuat kaedah-kaedah, tetapi mana-mana kaedah yang sedemikian hendaklah berkuat kuasa tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan.

(6) Kajian semula yang berasingan di bawah Fasal (2) hendaklah dijalankan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan bagi tiap-tiap satu daripada Negeri Sabah dan Sarawak, dan bagi maksud Bahagian ini ungkapan "unit kajian semula" ertinya, bagi bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan, kawasan yang sedang dikaji semula dan, bagi bahagian-bahagian pilihan raya Negeri, ertinya Negeri itu, dan ungkapan "Negeri-Negeri Tanah Melayu" termasuklah Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

(7) Tertakluk kepada Fasal (3), tempoh bagi kajian-kajian semula kali pertama di bawah Fasal (2) bagi mana-mana unit kajian semula hendaklah dihitung mulai dari penyempadanan kali pertama bahagian-bahagian pilihan raya bagi unit itu di bawah Perlembagaan ini atau di bawah Akta Malaysia [Akta 26 tahun 1963].

(8) Walau apa pun Fasal (7) Perkara ini tempoh bagi kajian-kajian semula di bawah Fasal (2) bagi unit kajian semula bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu yang dijalankan selepas lulusnya Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 hendaklah dihitung mulai dari penyempadanan kali pertama bahagian-bahagian pilihan raya bagi unit itu sebaik selepas lulusnya Akta itu.

(9) Tarikh bermulanya sesuatu kajian semula di bawah Fasal (2) atau Fasal (3A), mengikut mana-mana yang berkenaan, ialah tarikh tersiarnya notis yang disebut dalam seksyen 4 Jadual Ketiga Belas dalam Warta.

(10) Tarikh siapnya sesuatu kajian semula di bawah Fasal (2) atau Fasal (3A), mengikut mana-mana yang berkenaan, ialah tarikh laporan dikemukakan kepada Perdana Menteri di bawah seksyen 8 Jadual Ketiga Belas, dan notis mengenai tarikh itu hendaklah disiarkan dalam Warta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

_____________________________________________
CATATAN

Per. 113(1):

1. Perkataan "dan menyempadankan bahagian pilihan raya" yang terdapat selepas Dewan-Dewan Undangan Negeri" dipotong oleh Akta 14/1962, perenggan 20(a)m berkuat kuasa dari 21-6-1962.

2. Lihat Per. 115(2).

3. Lihat Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19]/

Per.113(2):

1. Fasal ini sebagaimana yang berkuat kuasa pada asalnya bermula seperti yang berikut:

"Selepas menyempadankan bahagian-bahagian pilihna raya yang pertama mengikut Perkara 116 dan 117

Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah..."

Akta 14/1962, perenggan 20(b), berkuat kuasa dari 21-6-1962, menggantikan perkataan "Perkara 116 dan 117" dengan "Perkara171" dan perenggan 20(c) menggantikan perkataan "dan membuat apa-apa perubahan mengenainya sebagaimana yang difkirkannya perlu supaya dipatuhi peruntukan Perkara itu" dengan "dan mengesyorkan apa-apa perubahan mengenainya sebagaimana yang difikirkannya perlu supaya dipatuhi peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas". Akta 26/1963, subseksyen 10(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963, memotong perkataan "Selepas menyempadankan bahagian-bahagian pilihan raya yang pertama mengikut Perkara 171" yang ketika itu terdapat di permulaan Fasal.

2. Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta A585, perenggan 25(a), berkuat kuasa dari 14-4-1984, dan menggantikan Fasal yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

'(2) Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah, pada lat tempoh yang tidak melebihi sepuluh tahun dan juga, tertakluk

kepada Fasal (3), tidak kurang daripada lapan tahun, mengkaji semula pembahagian Persekutuan dan Negeri-Negeri kepada bahagian-bahagian pilihan raya dan mengesyorkan apa-apa perubahan mengenainya yang difikirkannya perlu supaya dipatuhi peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas; dan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan-Dewan Undangan hendaklah dijalankan pada masa yang sama dengan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan Rakyat.".

3. Lihat Jadual ke-13 seksyen 4.

Per. 113(3):

Perkataan "atau 46" yang terdapat selepas "Perkara 2" dipotong oleh Akta 14/1962, Jadual seksyen 6, berkuat kuasa 21-6-1962.

Per. 113(3A):

1. Ditambahkan oleh Akta A585, perenggan 25(b), berkuat kuasa dari 14-4-1984.

2. Perkataan ", tertakluk kepada Fasal (3B)," dimasukkan selepas perkataan "Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah" dalam perenggan (i) Fasal (3A), oleh Akta A849, seksyen 2, berkuat kuasa dari 20-11-1992.

Per. 113(3B):

Ditambahkan oleh Akta A849, seksyen 2, berkuat kuasa dari 20-11-1992.

Per. 113(4):

1. Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 14/1962, Jadual seksyen 6, berkuat kuasa dari 21-6-1962 dan menggantikan Fasal asal yang berbunyi seperti yang berikut:

"(4) Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah juga menjalankan permilihan bagi majlis perbandaran ibu kota

persekutuan, dan undang-undang Negeri boleh memberi kuasa Suruhanjaya untuk menjalankan apa-apa pilihan ray yang lain.".

2. Lihat Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 [Akta 473].

Per. 113(5):

Lihat Kaedah-Kaedah Perlembagaan (Suruhanjaya Pilihan Raya) 1960-P.U. 110/1960.

Per. 113(6):

1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 10(2). berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkataan "dan" yang terdapat selepas "Negeri-Negeri Tanah Melayu" dimasukkan dan perkataan "dan bagi Negeri Singapura" yang terdapat selepas "Negeri-negeri Borneo" dipotong oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965.

2. Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1965.

3. Perkataan ', dan ungakapan "Negeri-Negeri Tanah Melayu" hendaklah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan' dimasukkan selepas perkataan "Negeri itu" oleh Akta A585, seksyen 15, berkuat kuasa dari 16-4-1984.

4. Kemudiaanya pula, perkataan "Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan" digantikan dengan "Wilayah -Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya" oleh Akta A1095, seksyen 19, berkuat kuasa dari 1-2-2001.

Catatan:

1. Apabila Akta ini mula berkuat kuasa, kawasan yang menjadi Wilayah Persekutuan Putrajaya tidak lagi menjadi sebahagian daripada bahagian pilihan raya Negeri, tetapi sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor yang berikutnya selepas permulaan kuat kuasa Akta ini, ahli Dewan Undangan itu yang dilantik dari bahagian pilihan raya itu hendaklah, walaupun kawasan itu telah dikeluarkan dari bahagian pilihan raya itu, terus menjadi ahli Dewan Undangan itu.

2. Sehingga pembubaran Parlimen yang berikutnya selepas permulaan kuat kuasa Akta ini, bahagian pilihan raya persekutuan yang di dalamnya termasuk kawasan yang menjadi Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah terus wujud dan ahli yang dipilih dari bahagian pilihan raya itu hendaklah terus menjadi ahli Parlimen.

Per. 113(7):

Ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 10(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Per. 113(8):

Ditambahkan oleh Akta A206, seksyen 13, berkuat kuasa dari 23-8-1973.

Per. 113(9) & (10):

Ditambahkan oleh Akta A585, perenggan 25(c), berkuat kuasa 14-4-1984.

Catatan:

1. Sebaik sahaja mula berkuat kuasa Akta A585 (iaitu pada 16-4-1984) kawasan yang menjadi Wilayah Persekutuan Labuan terhenti menjadi sebahagian daripada suatu bahagian pilihan raya Negeri.

2. Sehingga terbubarnya Dewan Undangan Negeri Sabah, yang berikutan selepas mula berkuat kuasanya Akta A585, ahli Dewan tersebut yang dipilih dari bahagian pilihan raya itu hendaklah, walaupun kawasan tersebut tidak termasuk di dalam bahagian pilihan raya tersebut hendaklah terus menjadi ahli Parlimen.

Berkenaan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah lihat P.w Sabah No. 141/1985.

3. Sehingga terbubarnya Parlimen yang berikutan selepas mula berkuat kuasanya Akta itu, bahagian pilihan raya persektuan yang termsuk kawasan yang menjadi Wilayah Persekutuan Labuan itu hendaklah terus wujud dan ahli yang dipilih dari bahagian pilihan raya tersebut hendaklah terus menjadi ahli Parlimen.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas