PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VIII - PILIHAN RAYA




Perkara 114. Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya.

(1) Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi,seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.

(2) Pada melantik anggota-anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.

(3) Seseorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya terhenti daripada memegang jawatan apabila mencapai umur enam puluh lima tahun atau apabila hilang kelayakan di bawah Fasal (4) dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

(4) Walau apa pun apa-apa jua dalam Fasal (3), Yang di-Pertuan Agong hendaklah melalui perintah memecat daripada jawatan mana-mana anggota Suruhanjaya Pilihan Raya jika anggota itu--

(a) seorang bankrap belum lepas; atau

(b) melibatkan diri dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan berbayar di luar tugas jawatannya; atau

(c) ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dewan Undangan sesuatu Negeri.

(4A) Sebagai tambahan kepada apa-apa kehilangan kelayakan yang diperuntukkan di bawah Fasal (4), pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan pelantikannya ke jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersial, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan anggota itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

(5) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan anggota-anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan kepada Kumpulan Wang Disatukan.

(5A) Tertakluk kepada Peruntukan perkara ini, Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi terma-terma jawatan anggota-anggota Suruhanjaya Pilihan Raya selain saraan mereka.

(6) Saraan dan terma-terma lain jawatan bagi seseorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya tidaklah boleh, selepas pelantikannnya, diubah menjadi kurang baik baginya.

(7) Jika, dalam apa-apa tempoh, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya telah diberi kebenaran bercuti oleh Yang di-Pertuan Agong atau tidak dapat menunaikan fungsinya kerana dia tidak ada di dalam Persekutuan, sakit atau apa-apa sebab lain, maka timbalan pengerusi hendaklah menunaikan fungsi pengerusi selama tempoh itu, dan jika timbalan pengerusi juga tidak ada atau tidak dapat menunaikan fungsi itu, maka seorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menunaikan fungsi pengerusi selama tempoh itu.

__________________________________________________
CATATAN

Per. 114(1):

1. Perkataan "tiga orang anggota lain" yang terdapat di hujung Fasal menggantikan "dua orang anggota lain" oleh Akta 26/1963, subseksyen 10(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963 dan kemudiannya pula, perkataan "lima menggantikan "tiga" oleh Akta A1130, seksyen 8, berkuat kuasa dari 28-9-2001.

2. Perkataan ",seorang timbalan pengerusi" dimasukkan selepas perkataan "pengerusi" oleh Akta A514, seksyen 8, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

Per. 114(3):

Perkataan "Mahkamah Persekutuan" yang terdapat di hujung Fasal menggantikan "Mahkamah Besar" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Kemudiaanya pula, subseksyen 18(2) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1-1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

Akta A885, seksyen 12, berkuat kuasa dari 24-6-1994, menggantikan perkataan "Agung" dengan perkataan "Persekutuan".


Per. 114(4):

1. Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 10/1960, seksyen 13, berkuat kuasa dari 31-8-1957, dan menggantikan Fasal asal yang berbunyi seperti yang berikut:

"(4) Seseorang ahli hilang kelayakan untuk dilantik sebagai seorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya jika dia

memegang apa-apa jawatan berpendapatan yang lain atau ialah seorang ahli mana-mana Majlis Parlimen atau Dewan Undangan mana-mana Negeri.".

2. Pindaan kepada Perkara ini berkuat kuasa walau apa pun apa-apa jua dalam Fasal (6) Perkara itu-lihat Akata 14/1962, subseksyen 21(2).

3. Perkataan "boleh" digantikan dengan "hendaklah" oleh Akta A514, seksyen 8, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

Per. 114(4)(b):

1. Akta A514, seksyen 8, berkuat kuasa dari 15-5-1981 menggantikan perenggan yang dahulu yang berbunyi seperti berikut:

"(a) terlibat dalam apa-apa jawatan atau pekerjaaan begaji di luat jawatannya; atau"

dengan yang berikut:

"(b) adalah atau menjadi ahli mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, sesuatu pertubuhan atau badan, sama ada diperbadankan atau sebaliknya, atau sesuatu pengusahaan perdagangan, perindustrian atau lain-lain pengusahaan, sama ada ia menerima atau mendapat atau tidak apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya; atau".

2. Perenggan ini digantikan dengan sekali lagi dengan perenggan yang ada sekarang menurut kuasa Akta A566, perenggan 14(1)(a), berkuat kuasa dari 16-12-1983.

Per. 114(4A):

1. Fasal yang ada sekarang digantikan oleh Akta A566, perenggan 14(1)(b), berkuat kuasa dari 16-2-1983. Fasal yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut ditambahkan oleh Akta A514, perenggan 8(d), berkuat kuasa dari 15-5-1981:

"(4A) Hilang kelayakan dalam perenggan (b) tidak boleh dipakai jika pertubuhan atau badan itu menjalankan

apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang berupa khairat atau sosial, dan ahli itu tidak menerima atau mendapat apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah.".

2. Lihat Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957 [Akta 31].

Per. 114(5):

Lihat Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957 [Akta 31].

Per. 114(5A):

1. Ditambahkan oleh Akta 14/1962, subseksyen 21(1), berkuat kuasa dari 21-6-1962.

2. Lihat Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957 [Akta 31].

Per. 114(7):

1. Ditambahkan oleh Akta A354, seksyen 25, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

2. Perkataan "maka timbalan pengerusi hendaklah menunaikan fungsi pengerusi selama tempoh itu, dan jika timbalan pengerusi juga tidak ada atau tidak dapat menunaikan fungsi itu" dimadukkan selepas "apa-apa sebab lain," oleh Akta A514, seksyen 8, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

Catatan:

Pindaan yang dibuat kepada perkara 114 oleh Akta A566 terpakai hanya bagi seseorang yang dilantik menjadi anggota Suruhanjaya Pilihan Raya pada atau selepas 16-12-1983.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas