PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VIII - PILIHAN RAYA




Perkara 119. Kelayakan pemilih.

(1) Tiap-tiap warganegara yang--

(a) telah mencapai umur dua puluh satu tahun pada tarikh kelayakan;

(b) bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan yang sedemikian atau, jika tidak bermastautin sedemikian, ialah seorang pengundi tidak hadir; dan

(c) didaftarkan, di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya, dalam daftar pemilih sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempat dia bermastautin pada tarikh kelayakan,

berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan melainkan jika dia hilang kelayakan di bawah Fasal (3) atau di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pilihan raya; tetapi tiada seorang pun boleh mengundi dalam pilihan raya yang sama di dalam lebih daripada satu bahagian pilihan raya.

(2) Jika seseorang berada di dalam sesuatu bahagian pilihan raya semata-mata oleh sebab dia ialah seorang pesakit di suatu institusi yang disenggarakan keseluruhannya atau terutamanya untuk menerima dan merawat orang yang mengidap penyakit mental atau kecacatan mental atau semata-mata oleh sebab dia ditahan dalam jagaan, maka dia hendaklah bagi maksud Fasal (1) disifatkan tidak bermastautin di dalam bahagian pilihan raya itu.

(3) Seseorang hilang kelayakan untuk menjadi pemilih dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan jika--

(a) pada tarikh kelayakan dia ditahan sebagai orang yang tidak sempurna akal atau sedang menjalani hukuman pemenjaraan; atau

(b) sebelum tarikh kelayakan dia telah disabitkan atas suatu kesalahan di dalam mana-mana bahagian Komanwel dan dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh melebihi dua belas bulan dan pada tarikh kelayakan itu dia masih kena menjalani apa-apa hukuman bagi kesalahan itu.

(4) Dalam perkara ini--

(a) "pengundi tidak hadir" ertinya, berhubung dengan mana-mana bahagian pilihan raya, mana-mana warganegara yang berdaftar sebagai pengundi tidak hadir berkenaan dengan bahagian pilihan raya itu;

(b) "tarikh kelayakan" ertinya tarikh seseorang memohon supaya didaftarkan sebagai pemilih dalam sesuatu bahagian pilihan raya, atau tarikh dia memohon untuk menukar pendaftarannya sebagai pemilih dalam suatu bahagian pilihan raya yang lain,

mengikut peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya.

_____________________________________________
CATATAN

Per. 119(1):

1. Fasal ini dimasukkan oleh Akta 10/1960, perenggan 14(a), berkuat kuasa dari 31-5-1960, dan menggantikan Fasal asal yang berbunyi seperti yang berikut:

"(1) Tiap-tiap warganegara yang telah mencapai umur dua puluh satu tahun pada tarikh kelayakan dan telah

bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya selama sekurang-kurangnya enam bulan sebaik sebelum tarikh kelayakan berhak untuk mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan melainkan jika dia hilang kelayakan di bawah Fasal (3) atau di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pilihan raya, tetapi tiada seorang pun boleh mengundi dalam pilihan raya yang sama di dalam lebih daripada satu bahagian pilihan raya.".

2. Fasal ini dipinda oleh Akta A1130, seksyen 9, berkuat kuasa dari 28-9-2001 seperti yang berikut:

(a) dalam perenggan (a), perkataan "dan" di akhir perenggan itu dipotong;

(b) dalam perenggan (b), dengan menggantikan koma di akhir perenggan itu dengan perkataan ",dan";

(c) perenggan baru (c) dimasukkan, seperti yang berikut:

"(c) didaftarkan di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya, dalam daftar pemilih sebagai pemilih dalam bahagian pilihan raya tempat di bermastautin pada tarikh kelayakan,".


3. Lihat Per. 120(c).

Per. 119(4):

Perkataan ', dan "pengundi tidak hadir", berhubungan dengan mana-mana bahagian pilihan raya ertinya mana-mana warganegara yang didaftarkan sebagai seorang pengundi tidak hadir berkenaan dengan bahagian pilihan raya itu di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya' yang terdapat di hujung Fasal ditambahkan oleh Akta 10/1960, perenggan 14(b), berkuat kuasa dari 31-5-1960. Kemudiannya pula, Fasal ini digantikan oleh Akta A1130, perenggan 9(b), berkuat kuasa dari 28-9-2001. Fasal asal berbunyi seperti yang berikut:

"(4) Dalam Perkara ini "tarikh kelayakan" ertinya tarikh yang menurutnya daftar-daftar pemilih disediakan atau disemak, dan "pengundi tak hadir", berhubungan dengan mana-mana bahagian pilihan raya, ertinya mana-mana warganegara yang didaftarkan sebagai pengundi tak hadir berkenaan dengan bahagian pilihan raya itu di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pilihan raya.".

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas