PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IX - BADAN KEHAKIMAN




Perkara 121. Kuasa kehakiman Persekutuan.

(1) Maka hendaklah ada dua Mahkamah Tinggi yang setara bidang kuasa dan tarafnya, iaitu--

(a) satu di Negeri-Negeri Tanah Melayu, yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi di Malaya dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di Kuala Lumpur; dan

(b) satu di Negeri Sabah dan Sarawak, yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat di Negeri Sabah dan Sarawak yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong;

(c) (Dimansuhkan),

dan mana-mana mahkamah bawahan yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan dan Mahkamah-Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah bawahan itu hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.

(1A) Mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.

(1B) Maka hendaklah ada suatu Mahkamah yang dikenali sebagai Mahkamah Rayuan dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di Kuala Lumpur, dan Mahkamah Rayuan hendaklah mempunyai bidang kuasa yang berikut, iaitu--

(a) bidang kuasa untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya (kecuali keputusan Mahkamah Tinggi yang diberikan oleh pendaftar atau pegawai lain Mahkamah itu dan yang boleh dirayukan kepada seorang hakim Mahkamah itu di bawah undang-undang persekutuan); dan

(b) apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.

(2) Maka hendaklah ada suatu mahkamah yang dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di Kuala Lumpur, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mempunyai bidang kuasa yang berikut, iaitu--

(a) bidang kuasa untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya;

(b) apa-apa bidang kuasa asal atau runding yang dinyatakan dalam Perkara 128 dan 130; dan

(c) apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.

(3) Tertakluk kepada apa-apa batasan yang dikenakan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan, apa-apa perintah, dekri, penghakiman atau proses mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) atau mana-mana hakimnya hendaklah (setakat yang dibenarkan oleh keadaannya) berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya mengikut maksudnya di seluruh Persekutuan, dan boleh dilaksanakan atau dikuatkuasakan di mana-mana bahagian Persekutuan dengan sewajarnya; dan undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan supaya mahkamah-mahkamah di satu bahagian Persekutuan atau pegawai-pegawainya bertindak membantu mahkamah-mahkamah di suatu bahagian lain.

(4) Pada menentukan tempat pejabat pendaftaran utama bagi Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri yang hendaklah berunding dengan Ketua-Ketua Menteri bagi Negeri Sabah dan Sarawak dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi itu.

_____________________________________________
CATATAN

Per. 121:

1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 13, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, menggantikan perkataan "tiga Mahkamah Tinggi" dengan "dua Mahkamah Tinggi" dalam baris dua dan memansuhkan perenggan (c) Fasal (1) yang berbunyi seperti yang berikut:

"(c) satu di Negeri Singapura, yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi di Singapura".

Fasal (1)(b): Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A354, seksyen 43, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (1):

(a)

Perkataan "Tertakluk kepada Fasal (2) kuasa kehakiman bagi Persekutuan adalah terletak pada" digantikan dengan perkataan "Maka hendaklah ada" oleh Akta A704, seksyen 8, berkuat kuasa dari 10-6-1988.

(b)

Perkataan "dan juga pada mana-mana mahkamah bawahan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan" digantikan dengan perkataan "dan mana-mana mahkamah bawahan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan; dan Mahkamah-Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah bawahan hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa sebagaimana yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan" oleh Akta A704, seksyen 8, berkuat kuasa dari 10-6-1988.

(c)

Perkataan "Bidang kuasa yang berikut adalah terletak hak pada" digantikan dengan perkataan "Maka hendaklah ada" oleh Akta A704, seksyen 8, berkuat kuasa dari 10-6-1988.

(d)

Perkataan "dan Mahkamah Agung hendaklah mempunyai bidang kuasa yang berikut" dimasukkan selepas perkataan "Kuala Lumpur" oleh Akta A704, seksyen 8, berkuat kuasa 10-6-1988.

(e)

Perkataan "Borneo" digantikan dengan "Sabah dan Sarawak" oleh Akta A885, seksyen 13, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Fasal (1A):

Ditambahkan oleh Akta A704, seksyen 8, berkuat kuasa 10-6-1988.

Fasal (1B):

Ditambahkan oleh Akta A885, seksyen 13, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Fasal (2):

(a)

Perkataan "Mahkamah Persekutuan" digantikan dengan "Mahkamah Agung (Supreme Court)" oleh Akta A566, seksyen 15, berkuat kuasa dari 1-1-1985.

(b)

Perenggan (c) dimansuhkan oleh Akta A566, seksyen 15, berkuat kuasa dari 1-1-1985.


Catatan:

Sebaik sahaja seksyen 15, 16 dan 17 Akta A566 mula berkuat kuasa pada 1-1-1985, semua sebutan dalam atau di bawah Perlembagaan atau dalam atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain mengenai Mahkamah Persekutuan dan hakim serta pegawai Mahkamah Persekutuan itu hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung dan hakim serta pegawainya masing-masing.

Mahkamah Tinggi di Borneo yang ditubuhkan di bawah Fasal (1)(b) Perkara 121 Perlembagaan hendaklah, sehingga suatu masa yang diperuntukkan oleh Yang di-Pertuan Agong selainnya melalui perintah, mempunyai bidang kuasa di Wilayah Persekutuan Labuan. (Lihat seksyen 16 Akta A585).


(c)

Perkataan "Mahkamah Agung" digantikan dengan perkataan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 13, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

(d)

Perenggan (a) Fasal (2) digantikan oleh Akta A885, seksyen 13, berkuat kuasa dari24-6-1994. Perenggan (a) yang asal berbunyiseperti berikut:

"(a)

bidang kuasa eksklusif untuk memutuskan rayuan terhadapa keputusan Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya (kecuali keputusan Mahkamah Tinggi yang diberikan oleh pendaftar atau pegawai lain mahkamah itu dan yang boleh dirayukan di bawah undang-undang persekutuan kepada seorang hakim Mahkamah itu);".

Fasal (4):

(a)

Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

(b)

Perkataan "Borneo" digantikan dengan perkataan "Sabah dan Sarawak" oleh Akta A885, seksyen 13, berkuat kuasa dari 24-6-1994.


Perkara asal berbunyi seperti yang berikut:

"121. Kuasa kehakiman bagi Persekutuan hendaklah terletak hak pada Mahkamah Besar dan mana-mana mahkamah bawahan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan.".

2. Lihat Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91], Akta Mahkamah Rendah [Akta 92].

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas