PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IX - BADAN KEHAKIMAN




Perkara 122AB. Pelantikan pesuruhjaya kehakiman.

(1) Supaya segera diselesaikan urusan Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, boleh melalui perintah melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi pesuruhjaya kehakiman bagi apa-apa tempoh atau apa-apa maksud yang dinyatakan dalam perintah itu; dan orang yang dilantik sedemikian hendaklah mempunyai kuasa untuk melaksanakan apa-apa fungsi hakim Mahkamah Tinggi yang ternyata kepadanya dikehendaki dilaksanakan; dan apa-apa jua yang dilakukan olehnya apabila bertindak mengikut pelantikannya hendaklah mempunyai kesahan dan kesan yang sama seolah-olah dilakkukan oleh seorang hakim Mahkamah itu, dan berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan itu dia mempunyai kuasa yang sama dan menikmati kekebalan yang sama seolah-olah dia seorang hakim Mahkamah itu.

(2) Peruntukan Fasal (2) dan (5) Perkara 124 hendaklah terpakai bagi seseorang pesuruhjaya kehakiman sebagaimana peruntukan itu terpakai bagi hakim Mahkamah Tinggi.

____________________________________________
CATATAN

Per. 122AB:

Ditambahkan oleh Akta A885, sekseyn 16, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas