PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IX - BADAN KEHAKIMAN




Perkara 122B. Pelantikan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

(1) Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan (tertakluk kepada Perkara 122C) hakim-hakim yang lain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah-Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

(2) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan seseorang hakim, selain Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara.

(3) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Hakim Besar setiap Mahkamah Tinggi dan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Menteri bagi setiap Negeri Sabah dan Sarawak.

(4) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan seseorang hakim selain Ketua Hakim Negara, Presiden atau seseorang Hakim Besar, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke Mahkamah Persekutuan, dengan Presiden Mahkamah Rayuan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke Mahkamah Rayuan dan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke mana-mana satu Mahkamah Tinggi, dengan Hakim Besar Mahkamah itu.

(5) Perkara ini hendaklah terpakai bagi penetapan seseorang untuk bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi di bawah Fasal (2) Perkara 122AA sebagaimana Perkara ini terpakai bagi pelantikan seseorang hakim mahkamah itu, selain Hakim Besar.

(6) Walau apa pun tarikh pelantikan mereka masing-masing sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri yang diberikan selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara, boleh menentukan susunan keutamaan hakim-hakim sesama mereka sendiri.

_____________________________________________
CATATAN

Per' 122B:

1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 17, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, meminda-

(a)

Fasal (3), dengan memotong perkataan "atau di Singapura" yang terdapat selepas "Mahkamah Tinggi Borneo" dan perkataan "atau Singapura" mengikut mana-mana yang berkenaan" yang terdapat di hujung Fasal. Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

(b)

Fasal (4), dengan menggantikan perkataan "Hakim Besar semua Mahkamah Tinggi" dengan "Hakim Besar setiap Mahkamah Tinggi".



2. Lihat Perkara 122A(2), 122C, 123.

3. Perkataan "Persekutuan" digantikan dengan "Agung" oleh Akta A566, subseksyen 16(1), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

4. Fasal (6): Dimasukkan oleh Akta A566, saubseksyen 16(2), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

5. Dalam nota bahu, perkataan "Mahkamah Agung dan" digantikan dengan perkataan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan " oleh Akta A885, seksyen 17, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

6. Fasal (1) dan (4): digantikan oleh Akta A885, seksyen 17, berkuat kuasa dari 24-6-1994. Fasal asal berbunyi seperti yang berikut:

"(1) Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan (tertakluk kepada Perkara

122C) hakim-hakim yang lain Mahkamah Agung, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

(4) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang perlantikan seseorang hakim, selain Ketau Hakim

Negara atau Hakim Besar, maka, jika perlantikan itu ialah perlantikan ke Mahkamah Agung, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Hakim Besar setiap Mahkamah Tinggi dan, jika perlantikan itu ialah perlantikan ke mana-mana satu Mahkamah Tinggi, dengan Hakim Besar mahkamah itu.".

7. Fasal (2): Perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 17, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

8. Fasal (3): Perkataan "Borneo" digantikan dengan perkataan "Sabah dan Sarawak" oleh Akta A885, seksyen 17, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

9. Fasal (5): Perkataan "Perkara 122A(2)" digantikan dengan "Perkara 122AA(2)" oleh Akta A885, seksyen 17, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

10. Fasal (6): Perkataan "Mahkamah Agung" digantikan dengan perkataan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 17, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas