PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IX - BADAN KEHAKIMAN




Perkara 123. Kelayakan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Seseorang layak dilantik di bawah Perkara 122B sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, sebagai hakim Mahkamah Rayuan atau sebagai hakim mana-mana Mahkamah Tinggi jika--


(a) dia seorang warganegara; dan

(b) bagi tempoh sepuluh tahun sebelum pelantikannya dia telah menjadi peguam bela bagi mahkamah-mahkamah itu atau mana-mana satu daripada mahkamah itu atau menjadi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu Negeri, atau pada suatu masa menjadi peguam bela dan pada suatu masa lain berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu Negeri.

____________________________________________
CATATAN

Per. 123:

1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 19, berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan menggantikan Perkara yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

"123. Seseorang layak dilantik sebagai hakim Mahkamah Besar jika-


(a) dia seorang warganegara; dan

(b) dia telah menjadi peguam bela bagi Mahkamah Besar atau menjadi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan selama tempoh tidak kurang daripada sepuluh tahun, atau menjadi peguam bela bagi sebahagian tempoh itu dan anggota berkenaan bagi sebahagian tempoph itu dan peguam bela bagi baki tempoh itu.".

2. Perkataan "Persekutuan" digantikan dengan "Agung" oleh Akta A566, subseksyen 16(1), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

3. Perkataan "MahkamaH Agung dan" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan" dan perkataan "Mahkamah Agung" dengan perkataan "Mahkamah Persekutuan, sebagai hakim Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 19, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas