PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IX - BADAN KEHAKIMAN




Perkara 125. Tempoh jawatan dan saraan hakim Mahkamah Persekutuan.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur enam puluh lima tahun atau sehingga suatu masa kemudiannya yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi masa itu tidak boleh kemudian daripada enam bulan selepas dia mencapai umur enam puluh lima tahun.

(2) Seseorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali mengikut peruntukan yang berikut dalam Perkara ini.

(3) Jika Perdana Menteri, atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri, membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menyatakan bahawa seseorang hakim Mahkamah Persekutuan patut dipecat atas alasan apa-apa pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3A) atau atas alasan tidak berdaya, oleh sebab kelemahan tubuh atau akal atau apa-apa sebab lain, untuk menunaikan fungsi jawatannya dengan sepatutnya, maka Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu tribunal mengikut Fasal (4) dan merujukkan representasi itu kepadanya; dan boleh atas syor tribunal itu memecat hakim itu daripada jawatan.

(3A) Yang di-Pertuan Agong atas syor Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi, boleh, selepas berunding dengan Perdana Menteri, menetapkan secara bertulis suatu kod etika yang hendaklah dipatuhi oleh tiap-tiap hakim Mahkamah Persekutuan.

(4) Tribunal tersebut hendaklah terdiri daripada tidak kurang daripada lima orang yang memegang atau pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau, jika ternyata kepada Yang di-Pertuan Agong suai manfaat pelantikan sedemikian dibuat, orang yang memegang atau pernah memegang jawatan yang setaraf dengannya di mana-mana bahagian lain di dalam Komanwel, dan tribunal itu hendaklah diketuai oleh anggota yang terkanan mengikut susunan yang berikut, iaitu, Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden dan Hakim-Hakim Besar mengikut keutamaan mereka sesama mereka sendiri, dan anggota-anggota lain mengikut tarikh pelantikan mereka memegang jawatan yang melayakkan mereka menjadi anggota (antara dua orang anggota, dengan yang lebih tua mendahului yang lebih muda jika tarikh pelantikan mereka itu sama).

(5) Sementara menanti apa-apa rujukan dan laporan di bawah Fasal (3) Yang di-Pertuan Agong boleh atas syor Perdana Menteri dan, dalam hal mana-mana hakim lain selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara, menggantung seseorang hakim Mahkamah Persekutuan daripada menjalankan fungsinya.

(6) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan hakim Mahkamah Persekutuan, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.

(6A) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi terma-terma jawatan hakim Mahkamah Persekutuan selain saraan mereka.

(7) Saraan dan terma-terma lain jawatan (termasuk hak pencen) bagi seseorang hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya.

(8) Walau apa pun Fasal (1), kesahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa dia telah mencapai umur yang dia kehendaki bersara.

(9) Perkara ini hendaklah terpakai bagi seseorang hakim Mahkamah Rayuan dan bagi seseorang hakim Mahkamah Tinggi sebagaimana Perkara ini terpakai bagi seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, kecuali bahawa sebelum menggantung seseorang hakim Mahkamah Rayuan atau hakim Mahkamah Tinggi selain Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi di bawah Fasal (5), Yang di-Pertuan Agong hendaklah berunding dengan Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi itu dan bukan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

(10) Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakin Besar Mahkamah Tinggi bertanggungjawab kepada Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

____________________________________________
CATATAN

Per. 125:

Fasal (1): Akta 14/1962, Jadual seksyen 9, berkuat kuasa dari 21-6-1962, menggantikan perkataan "peruntukan yang berikut dalam Perkara ini" dengan "peruntukan Fasal (2) hingga (5)" dan Akta 26/1963, perenggan 22(2)(a), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan perkataan "Mahkamah Besar" dengan "Mahkamah Persektuan". Kemudiannya pula, subseksyen 16(1) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1-1985, menggantikan perkataan "Persekutuan" dengan "Agung".

Fasal (2): Perkataan "Mahkamah Besar" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, perenggan
22(2)(a), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Kemudiannya pula, subseksyen 16(1) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1-1985, menggantikan perkataan "Persekutuan" dengan "Agung".

Fasal (3):

1. Perkataan "Hakim Besar" dan "Mahkamah Besar" masing-masing digantikan dengan "Ketua Hakim Negara" dan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963,perenggan 22(2)(a), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Kemudiannya pula, subseksyen 16(1) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1-1985, menggantikan perkataan ""Persekutuan" dengan "Agung".

2. Lihat Per. 65(3).

Fasal (4): Perkataan "yang dilantik mengikut syor Suruhanjaya Kehakiman dan Perundangan iaitu orang" yang terdapat selepas "tidak kurang daripada lima orang" dipotong dan perkataan "Suruhanjaya mustahak mengesyorkan sedemikian" digantikan dengan "Yang di-Pertuan Agong suaimanfaat membuat perlantikan sedemikian" oleh Akta 10/1960, perenggan 16(a) dan (b), berkuat kuasa dari 31-5-1960. Perkataan "dan hendaklah diketuai oleh Hakim Besar, jika dia seorang anggota dan dalam apa-apa hal lain, oleh orang yang pertama dilantik memegang jawatan tersebut" di hujung Fasal ini digantikan dengan "dan tribunal itu hendaklah diketuai oleh anggota yang terkanan mengikut susunan yang berikut, iaitu, Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Hakim-Hakim Besar mengikut kekananan mereka antara mereka sendiri, dan anggota-anggota lain mengikut tarikh pelantikan mereka ke jawatan yang melayakkan mereka menjadi anggota (antara dua anggota, yang tua mendahului yang muda jika tarikh perlantikan mereka itu sama)" oleh Akta 26/1963, perenggan
22(2)(b), berkuat kuasa dari 16-9-1963 yang juga memasukkan perkataan "Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi, atau sebelum Hari Malaysia, telah memegang jawatan sebagai hakim" yang terdapat selepas "atau telah memegang jawatan sebagai hakim". Perkataan ", atau sebelum Hari Malaysia, telah memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Besar" dipotong oleh Akta A566, subseksyen 16(3), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

Fasal (5): Perkataan "Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan" digantikan dengan "Perdana Menteri, atau Perdana Menteri selepas berunding dengan Hakim Besar" oleh Akta 10/1960, perenggan 16(c), berkuat kuasa dari 31-5-1960. Akta 26/1963, perenggan 22(a), berkuat kuasa dari 16-9-1963, menggantikan perkataan "Hakim Besar" dan "Mahkamah Besar" masing-masing dengan "Ketua Hakim Negara" dan "Mahkamah Persekutuan", dan perenggan 22(c) pula menggantikan perkataan ", atau Perdana Menteri" yang ditunjukkan dalam huruf condong di atas dengan "dan, dalam hal mana-mana hakim lain". Kemudiannya pula, perkataan "Persekutuan" digantikan dengan "Agung" oleh Akta A566, subseksyen 16(1), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

Fasal (6):

1. Perkataan "Mahkamah Besar" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, perenggan 22(2)(a), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Kemudiaanya pula, perkataan "Persekutuan digantikan dengan "Agung" oleh Akta A566, subseksyen 16(1), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

2. Lihat Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].

Fasal (6A): Ditambahkan oleh Akta 14/1962, seksyen 23, berkuat kuasa dari 21-6-1962. Perkataan "Mahkamah Besar" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, perenggan 22(2)(a), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Kemudiaanya pula, perkataan "Persekutuan digantikan dengan "Agung" oleh Akta A566, subseksyen 16(1), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

Fasal (7) dan (8): Perkataan "Mahkamah Besar" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, perenggan 22(2)(a), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Kemudiaanya pula, perkataan "Persekutuan digantikan dengan "Agung" oleh Akta A566, subseksyen 16(1), berkuat kuasa dari 1-1-1985.

Fasal (9): Ditambahkan oleh Akta 26/1962, seksyen 22(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Fasal (10): Ditambahkan oleh Akta 59/1966,seksyen 2, berkuat kuasa dari 19-9-1966 dan dipotong oleh Akta A31, seksyen 4, berkuat kuasa dari 19-19-1966 dan berbunyi seperti yang berikut:

"(10) Seseorang hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah terhenti

menjadi hakim Mahkamah Tinggi tersebut:

Dengan syarat bahawa mana-mana hakim sesuatu Mahkamah Tinggi yang dilantik sedemikian hendaklah terus

menjadi hakim Mahkamah Tinggi tersebut bagi maksud hanya untuk memberikan penghakiman dalam apa-apa kes yang dibicarakan olehnya sebelum perlantikannya sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.".

Fasal (1), (2), (3), (4), (5), (6), (6A), (7) dan (8): Perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 21, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Fasal (3): Berperangai buruk atau" digantikan dengan "apa-apa pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3A) atau atas alasan" oleh Akta A885, seksyen 21, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Fasal (3A): Ditambahkan oleh Akta A885, seksyen 21, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Fasal (4): Perkataan "Mahkamah Agung" digantikan dengan perkataan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan" dan perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung" digantikan dengan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden " oleh Akta A885, seksyen 21, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Fasal (9): Digantikan oleh Akta A885, seksyen 21, berkuat kuasa dari 24-6-1994. Fasal asal berbunyi seperti yang berikut:

"(9) Perkara ini hendaklah terpakai bagi seorang hakim Mahkamah Tinggi sebagaimana Perkara ini terpakai bagi

seorang hakim Mahkamah Tinggi selain Hakim Besar di bawah Fasal (5), Yang di-Pertuan Agong hendaklah berunding dengan Hakim Besar Mahkamah itu dan bukan Ketua Hakim Negera Mahkamah Agung.".

Fasal (10): Ditambahkan oleh Akta A885, seksyen 21, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas