PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 132. Perkhidmatan-perkhidmatan awam.

(1) Bagi maksud Perlembagaan ini, perkhidmatan-perkhidmatan awam ialah-

(a) angkatan tentera;

(b) perkhidmatan kehakiman dan perundangan;

(c) perkhidmatan awam am Persekutuan;

(d) pasukan polis;

(e) (dimansuhkan);

(f) perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133;

(g) perkhidmatan awam setiap Negeri; dan

(h) perkhidmatan pendidikan.



(2) Kecuali sebagaimana yang diperuntukan dengan nyata selainnya oleh Perlembagaan ini, kelayakan bagi pelantikan dan syarat-syarat perkhidmatan orang dalam perkhidmatan-perkhidmatan awam, selain orang dalam perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (g) Fasal (1), boleh dikawal selia melalui undang-undang persekutuan dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedemikian, oleh Yang di-Pertuan Agong; dan kelayakan bagi pelantikan dan syarat-syarat perkhidmatan orang dalam perkhidmatan awam mana-mana Negeri boleh dikawal selia melalui undang-undang Negeri dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedemikian, oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu.

(2A) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tiap-tiap orang yang menjadi anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (a), (b), (c), (d), (f) dan (h) Fasal (1) memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan Negeri itu, tiap-tiap orang yang menjadi anggota perkhidmatan awam sesuatu Negeri memegang jawatan selama diperkenankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

(3) Perkhidmatan awam tidaklah dikira sebagai termasuk-

(a)

jawatan mana-mana anggota pentadbiran di dalam Persekutuan atau sesuatu Negeri; atau

(b)

jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri atau ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri; atau

(c)

jawatan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi; atau

(d)

jawatan anggota mana-mana Suruhanjaya atau Majlis yang ditubuhkan oleh Perlembagaan ini atau mana-mana Suruhanjaya atau Majlis yang bersamaan yang ditubuhkan oleh Perlembagaan sesuatu Negeri; atau

(e)

apa-apa jawatan diplomatik yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah, iaitu jawatan yang, jika tidak kerana perintah itu, akan menjadi jawatan dalam perkhidmatan awam am Persekutuan.



(4) Sebutan dalam Bahagian ini, kecuali dalam Perkara 136 dan 147, mengenai orang dalam perkhidmatan awam atau anggota mana-mana perkhidmatan awam tidaklah terpakai bagi-

(a)

(dimansuhkan);

(b)

Peguam Negara atau, jika peruntukan bagi cara pelantikan dan pemecatannya daripada jawatan dimasukkan dengan khususnya dalam Perlembagaan Negeri itu, atau jika dia dilantik bukan daripada kalangan anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan atau perkhidmatan awam Negeri, penasihat undang-undang mana-mana Negeri; atau

(c)

seseorang anggota kakitangan peribadi Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri; atau

(d)

dalam hal Melaka dan Pulau Pinang, jika peruntukan dibuat melalui undang-undang Negeri bagi pelantikan mereka-

 

(i)

Yang di-Pertua Jabatan Hal Ehwal Agama;

(ii)

Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Agama;

(iii)

Mufti;

(iv)

Kadi Besar; atau

(v)

Kadi.



______________________________________
CATATAN

Bahagian X: Lihat Per. 153(3), 160(2) takrif "Jawatan berpendapatan".

Per. 132(1):

1. Perkataan "perkhidmatan polis" dalam perenggan (d) digantikan dengan "pasukan polis" oleh Akta 10/1960, perenggan 17(a), berkuat kuasa dari 31-5-1960.

2. Lihat Per. 134(1), 135(1), (3), 139(1).

3. Fasal (1): Perkataan "dan" di hujung perenggan (f) dipotong dan perenggan baru (h) dimasukkan oleh Akta A193, seksyen 2, berkuat kuasa dari 1-1-1974.



Per. 132(2):

1. Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

2. Lihat Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993- P.U.(A) 395/93.



Per. 132(2A):

1. Ditambahkan oleh Akta 10/1960, perenggan 17(b), berkuat kuasa dari 31-5-1960.

2. Perkataan "(e) dan (f)" digantikan dengan "(e), (f) dan (h)" oleh Akta A193, seksyen 2, berkuat kuasa dari 1-1-1974. Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 132(3):

1. Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 58, berkuat kuasa dari 16-9-1963 dan menggantikan Fasal yang dahulu yang peruntukannya adalah seperti yang berikut pada tarikh pemansuhan:

 

"(3) Tertakluk kepada Fasal (4), sebutan mengenai orang dalam perkhidmatan awam atau anggota mana-mana perkhidmatan awam itu tidaklah termasuk sebutan mengenai yang berikut, iaitu:

 

(a)

mana-mana Menteri atau Menteri Muda bagi Persekutuan dan Ketua Menteri atau mana-mana anggota lain Majlis Mesyuarat Kerajaan sesuatu Negeri;

(b)

ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dewan Undangan sesuatu Negeri;

(c)

Setiausaha mana-mana Majlis Parlimen dan mana-mana anggota kakitangan Parlimen;

(d)

melainkan jika dia dilantik daripada kalangan anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan atau perkhidmatan awam Negerinya itu, penasihat undang-undang mana-mana Negeri;

(e)

seseorang anggota kakitangan peribadi Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri;

(f)

orang yang memegang jawatan diplomatik dalam perkhidmatan awam am Persekutuan sebagaimana yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah;

 

mahupun anggota mana-mana Suruhanjaya atau Majlis yang ditubuhkan oleh Perlembagaan ini, kecuali jika dia ialah anggota mana-mana perkhidmatan awam atas sesuatu sifat yang lain, sebutan tersebut termasuklah sebutan mengenai dirinya atas sifat itu.".



Per. 132(4):

1. Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 58, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perenggan (d) ditambahkan oleh Akta 31/1965, seksyen 2, berkuat kuasa setakat yang Fasal itu berhubung dengan Melaka dari 1-5-1960 dan setakat yang Fasal itu berhubung dengan Pulau Pinang dari 1-11-1959. Dalam perenggan (c), perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

2. Fasal yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:

 

"(4) Fasal (3) tidak menyekat pemakaian Perkara 136 dan 147.".

 

3. Perenggan (a) dalam Fasal (4) dimansuhkan oleh Akta A837, seksyen 6, berkuat kuasa dari 20-11-1992.



Per. 132(1), (2A) & (3):

1. Dalam Fasal (1), perenggan (e) dipotong oleh Akta A885, seksyen 28, berkuat kuasa dari 24-6-1994. Perenggan (e) yang asal berbunyi seperti yang berikut:

 

"(e) perkhidmatan kereta api;".

 

2. Dalam Fasal (2A), huruf dan tanda baca "(e)," dipotong oleh Akta A885, seksyen 28, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

3. Dalam Fasal (3), perkataan "Mahkamah Agung" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 28, berkuat kuasa dari 24-6-1994.



Per. 133:

Lihat Per. 132(1)(f).

Fasa (2): Lihat Per. 179.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas