PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 137. Majlis Angkatan Tentera.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Angkatan Tentera yang hendaklah bertanggungjawab di bawah kuasa am Yang di-Pertuan Agong bagi pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera, dan segala perkara lain yang berhubungan dengannya selain perkara yang berhubungan dengan penggunaan angkatan tentera bagi maksud operasi.

(2) Fasal (1) berkuat kuasa tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan, dan mana-mana undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi peletakhakan apa-apa fungsi mengenai angkatan tentera pada Majlis Angkatan Tentera.

(3) Majlis Angkatan Tentera hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut, iaitu:

(a)

Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pertahanan, yang hendaklah menjadi Pengerusi;

(b)

seorang anggota yang mewakili Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, yang hendaklah dilantik oleh Majlis Raja-Raja;

(c)

Panglima Angkatan Tentera yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;

(d)

seorang anggota preman, iaitu orang yang melaksanakan tugas jawatan Ketua Setiausaha Pertahanan, yang hendaklah bertindak sebagai Setiausaha Majlis Angkatan Tentera;

(e)

dua orang pegawai turus kanan Angkatan Tentera Persekutuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;

(f)

seorang pegawai kanan Tentera Laut Persekutuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;

(g)

seorang pegawai kanan Tentera Udara Persekutuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;

(h)

dua orang anggota tambahan, jika ada, sama ada anggota tentera atau preman, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.


(4) Majlis Angkatan Tentera boleh bertindak walaupun ada kekosongan dalam keanggotaannya dan, tertakluk kepada Perlembagaan ini dan kepada undang-undang persekutuan, boleh membuat peruntukan bagi semua atau mana-mana perkara yang berikut:

(a)

penyusunan kerjanya dan cara bagaimana fungsinya akan dilaksanakan, dan penyimpanan rekod dan minit;

(b)

tugas dan tanggungjawab anggota Majlis itu masing-masing, termasuk pewakilan mana-mana kuasa atau tugasnya kepada mana-mana anggota Majlis itu;

(c)

rundingan yang diadakan oleh Majlis itu dengan orang selain anggotanya;

(d)

tatacara yang akan diikuti oleh Majlis itu pada menjalankan urusannya (termasuk menetapkan kuorum), melantik, mengikut pilihannya, seorang naib pengerusi daripada kalangan anggotanya, dan fungsi naib pengerusi;

(e)

apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Majlis itu perlu atau suai manfaat dibuat peruntukan mengenainya untuk melaksanakan fungsinya dengan lebih baik.




__________________
CATATAN

Per. 137(3):

1. Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 10/1960, seksyen 19, berkuat kuasa dari 31-5-1960. Perkataan "Tentera Laut Diraja Malaya" dalam perenggan (f) dan "Tentera Udara DIraja Malaya" dalam perenggan (g) masing-masing digantikan dengan "Tentera Laut Persekutuan" dan "Tentera Udara Persekutuan" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkataan "Duli-Duli Yang Maha Mulia" dalam perenggan (b) digantikan dengan "Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja" oleh Akta A31, seksyen 2, berkuat kuasa dari 24-3-1971. Fasal yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:

 

"(3)

Majlis Angkatan Tentera hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut, iaitu-

(a)

Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pertahanan, yang hendaklah menjadi pengerusi;

(b)

seorang anggota mewakili Duli-Duli Yang Maha Mulia, yang hendaklah dilantik oleh Majlis Raja-Raja;

(c)

Pegawai Pemerintah Agung Angkatan Tentera Persekutuan, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan hendaklah menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Persekutuan;

(d)

pegawai turus kanan Tentera Persekutuan yang bertanggungjawab bagi kakitangan dan pegawai turus kanan Tentera Persekutuan yang bertanggungjawab bagi barang stor, kelengkapan dan rumah Kerajaan;

(e)

mana-mana pegawai yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memerintah Tentera Laut Persekutuan atau Tentera Udara Persekutuan;

(f)

seorang anggota preman, iaitu orang yang melaksanakan tugas-tugas jawatan Setiausaha Pertahanan, yang hendaklah bertindak sebagai setiausaha kepada Majlis;

(g)

seorang anggota tambahan, jika ada, sama ada anggota tentera atau preman, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.".

 

2. Lihat Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77].

3. Perkataan "Ketua Turus Angkatan Tentera" digantikan dengan perkataan "Panglima Angkatan Tentera" oleh Akta A1130, seksyen 10, berkuat kuasa dari 28-9-2001.



Catatan:

1. Apabila Akta A1130 mula berkuat kuasa, tiap-tiap sebutan tentang "Ketua Turus Angkatan Tentera" dalam semua undang-undang bertulis hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan tentang "Panglima Angkatan Tentera".

2. Apa-apa tindakan yang diambil oleh, atas nama atau terhadap "Panglima Angkatan Tentera" sebelum Akta A1130 mula berkuat kuasa hendaklah disifatkan telah diambil dengan sah dan menurut undang-undang jika tindakan itu boleh diambil dengan sah dan menurut undang-undang oleh, atas nama atau terhadap Ketua Turus Angkatan Tentera.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas