PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN III - KEWARGANEGARAAN
Bab 1 - Pemerolehan Kewarganegaraan




Perkara 14. Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, orang yang berikut ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:

(a) tiap-tiap orang yang lahir sebelum Hari Malaysia yang menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa peruntukan yang terkandung dalam Bahagian I Jadual Kedua; dan

(b) tiap-tiap orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana kelayakan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kedua.

(c) (dimansuhkan)

(2) (Dimansuhkan)

(3) (Dimansuhkan)

____________________________________________
CATATAN:

Per. 14:

1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 23, berkuat kuasa dari 16-9-1963, tetapi Fasal (1)(c), (2) dan (3), yang diturunkan di bawah ini, dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965:

"(1) (c) tiap-tiap warganegara Singapura.


(2) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, peruntukan mengenai kewarganegaraan Singapura boleh dibuat oleh Perlembagaan Negeri itu, dan boleh dipinda melalui undang-undang yang diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri itu dan diluluskan melalui Akta Parlimen.

(3) Kewarganegaraan Singapura tidaklah boleh dipisahkan daripada kewarganegaraan Persekutuan, tetapi jika seseorang warganegara Singapura kehilangan salah satu kewarganegaraan itu maka hilanglah kewarganegaraannya yang satu lagi (tertakluk kepada peruntukan yang dibuat oleh Bahagian ini untuk pendaftaran seseorang warganegara Singapura sebagai seorang warganegara yang bukan warganegara Singapura)."

2. Perkara yang dahulu, seperti yang terdapat pada tarikh pemansuhan, berbunyi seperti yang berikut:

"14. (1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini, orang yang berikut ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:

(a) tiap-tiap orang yang, sebaik sebelum Hari Merdeka, menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa mana-mana peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948, sama ada melalui kuat kuasa undang-undang atau selainnya;

(b) tiap-tiap orang yang lahir di dalam Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka;

(c) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka yang bapanya pada masa kelahiran itu ialah seorang warganegara dan juga telah lahir di dalam Persekutuan atau pada masa kelahiran itu berada dalam perkhidmatan di bawah Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan sesuatu Negeri;

(d) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan pada atau selepas Hari Merdeka yang bapanya pada masa kelahiran itu ialah seorang warganegara jika kelahiran itu ialah seorang warganegara jika kelahiran itu didaftarkan di Konsulat Tanah Melayu atau, dalam hal mana-mana orang yang lahir di dalam mana-mana wilayah ditetapkan, dengan Kerajaan Persekutuan, dalam tempoh satu tahun berlakunya kejadian itu, atau dalam suatu tempoh yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mana-mana hal tertentu.


Bagi maksud perenggan (d) Fasal ini "wilayah ditetapkan" ertinya Singapura, Sarawak, Brunei atau Borneo Utara, atau mana-mana wilayah lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah bagi maksud itu.

(2) Seseorang bukanlah seorang warganegara menurut kuasa perenggan (b) Fasal (1) jika, pada masa dia lahir--

(a) bapanya, yang bukan seorang warganegara Persekutuan, mempunyai apa-apa kekebalan daripada guaman dan proses undang-undang sebagaimana yang diberikan kepada utusan sesuatu kuasa berdaulat yang diwatikahkan kepada Yang di-Pertuan Agong; atau

(b) dalam hal kelahiran yang berlaku di suatu tempat di bawah pendudukan musuh, bapanya ialah seorang orang asing musuh; atau

(c) kedua-dua ibu bapanya bukan warganegara Persekutuan dan kedua-duanya bukan pemastautin tetap di dalam Persekutuan:

Dengan syarat bahawa perenggan (c) Fasal ini tidak terpakai--

(i) bagi mana-mana orang yang lahir di dalam Persekutuan sebelum tarikh permulaan kuat kuasa seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1962;

(ii) bagi mana-mana orang jika, akibat daripada pemakaian perenggan itu, dia tidak akan menjadi warganegara mana-mana negara.

(3) Bagi maksud Perkara ini, seseorang yang lahir di dalam sesuatu kapal atau pesawat udara berdaftar hendaklah disifatkan telah lahir di tempat di mana kapal atau pesawat udara itu telah didaftarkan, dan seseorang yang lahir di dalam sesuatu kapal atau pesawat udara tidak berdaftar kepunyaan Kerajaan mana-mana negara hendaklah disifatkan telah lahir di negara itu.

(4) Bagi maksud perenggan (c) Fasal (2), seseorang hendaklah dikira telah bermastautin secara tetap pada bila-bila masa di Persekutuan jika, tetapi hanya jika, dia ketika itu bermastautin di Persekutuan dan sama ada--

(a) dia ketika itu mendapat kebenaran, yang diberikan tanpa had masa di bawah mana-mana undang-undang persekutuan, untuk bermastautin di Persekutuan; atau

(b) diperakui oleh Kerajaan Persekutuan bahawa dia akan dikira bagi maksud perenggan (c) tersebut sebagai seorang pemastautin tetap di Persekutuan.

(5) Suatu perakuan Kerajaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang itu disingkirkan atau telah disingkirkan daripada pemakaian perenggan (e) Fasal (2) oleh perenggan (ii) dalam proviso kepada Fasal itu hendaklah menjadi keterangan muktamad akan perkara yang diperakukan itu."

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas