PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 142. Peruntukan am yang berhubungan dengan Suruhanjaya.

(1) Tertakluk kepada perenggan (a) Fasal (3) Perkara 140, seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dewan Undangan sesuatu Negeri tidak boleh menjadi atau dilantik menjadi anggota sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai.

(2) Tertakluk kepada Fasal (3), seseorang tidaklah boleh dilantik menjadi anggota mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai jika dia ialah, dan hendaklah dipecat melalui perintah Yang di-Pertuan Agong jika dia menjadi-

(a)

anggota mana-mana perkhidmatan awam;

(b)

pegawai atau pekerja mana-mana pihak berkuasa tempatan, atau mana-mana badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana badan atau pihak berkuasa yang ditubuhkan oleh undang-undang bagi maksud awam;

(c)

anggota sesuatu kesatuan sekerja atau sesuatu badan atau persatuan yang bergabung dengan sesuatu kesatuan sekerja.



(2A) Sebagai tambahan kepada apa-apa kehilangan kelayakan yang diperuntukkan di bawah Fasal (2), Pengerusi atau Timbalan Pengerusi mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan dari pelantikannya ke jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersial, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan anggota itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

(3) Fasal (2) tidak terpakai bagi anggota ex officio; dan seorang anggota mana-mana perkhidmatan awam boleh dilantik untuk menjadi dan boleh terus menjadi Pengerusi atau Timbalan Pengerusi bagi mana-mana Suruhanjaya tersebut dan jika dia bercuti sebelum bersara, dia boleh dilantik menjadi anggota lain bagi mana-mana Suruhanjaya tersebut.

(3A) Jika, dalam apa-apa tempoh, Pengerusi mana-mana Suruhanjaya tersebut telah diberi kebenaran bercuti oleh Yang di-Pertuan Agong atau tidak dapat menunaikan fungsinya kerana dia tidak ada di dalam Persekutuan, sakit atau apa-apa sebab lain, maka Timbalan Pengerusi Suruhanjaya itu hendaklah menunaikan fungsi Pengerusi selama tempoh itu, dan jika Timbalan Pengerusi juga tidak ada atau tidak dapat menunaikan fungsi itu, maka seorang anggota Suruhanjaya itu boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menunaikan fungsi Pengerusi selama tempoh itu.

(4) Jika, dalam apa-apa tempoh, seseorang anggota mana-mana Suruhanjaya tersebut telah diberi kebenaran bercuti oleh Yang di-Pertuan Agong atau tidak dapat menunaikan fungsinya sebagai seorang anggota kerana dia tidak ada di dalam Persekutuan, sakit atau apa-apa sebab lain, maka-

(a)

sekiranya dia seorang anggota dilantik, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana orang yang layak dilantik untuk mengambil tempatnya bagi menjalankan fungsinya selama tempoh itu, dan pelantikan orang itu hendaklah dibuat mengikut cara yang sama sebagaimana pelantikan anggota yang fungsinya hendaklah dijalankan olehnya itu;

(b)

sekiranya dia seorang anggota ex officio, mana-mana orang yang diberi kuasa di bawah undang-undang persekutuan untuk melaksanakan fungsi jawatannnya boleh selama tempoh itu melaksanakan juga fungsinya sebagai seorang anggota Suruhanjaya itu.



(5) Sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai boleh bertindak walaupun ada sesuatu kekosongan dalam keanggotaannya, dan tiada prosiding sesuatu Suruhanjaya itu boleh menjadi tidak sah semata-mata oleh sebab seseorang yang tidak berhak hadir telah mengambil bahagian dalam prosiding itu.

(6) Sebelum menjalankan fungsinya sebagai seorang anggota mana-mana Suruhanjaya tersebut atau di bawah Fasal (4) mana-mana orang selain seorang anggota ex officio hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam di hadapan seorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi.


_________________________________________
CATATAN

Per. 142(1):

1. Perkataan "Tertakluk kepada perenggan (a) Fasal (3) Perkara 140," dimasukkan oleh Akta 10/1960, seksyen 24, berkuat kuasa dari 1-4-1961.

2. Perkataan "tidaklah boleh dilantik menjadi" digantikan dengan "tidaklah boleh menjadi atau dilantik menjadi" oleh Akta A885, seksyen 32, berkuat kuasa dari 24-6-1994.



Per. 142(2):

Perkataan "dan tidak boleh terus menjadi seorang anggota" digantikan dengan "dan hendaklah dipecat melalui perintah Yang di-Pertuan Agong" oleh Akta A514, seksyen 11, berkuat kuasa dari 15-5-1981. Perenggan (b) yang berbunyi seperti yang berikut digantikan oleh Akta A514, seksyen 11, berkuat kuasa dari 15-5-1981:

 

"(b)

seseorang pegawai atau pekerja mana-mana pihak berkuasa tempatan atau pertubuhan perbadanan atau pihak berkuasa yang ditubuhkan oleh undang-undang bagi maksud awam;".



Per. 142(2)(b):

Perenggan (b) yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta A566, perenggan 19(1)(a), berkuat kuasa dari 16-12-1983, dan menggantikan perenggan yang dahulu yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"(b)

seorang anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau seorang pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau perniagaan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersial, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya;".



Per. 142(2A):

1. Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta A566, perenggan 19(1)(a), berkuat kuasa dari 16-12-1983, dan menggantikan Fasal yang dahulu yang dimasukkan oleh Akta A514, seksyen 11, berkuat kuasa dari 15-5-1981, yang berbunyi seperti yang berikut:

 

"(2A) Kehilangan kelayakan dalam perenggan (b) Fasal (2) tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan anggota itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.".

 

2. Perkataan "atau timbalan pengerusi" dimasukkan sebaik selepas perkataan "pengerusi" oleh Akta A704, seksyen 9, berkuat kuasa dari 10-6-1988.



Per. 142(3A):

Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 11, berkuat kuasa dari 15-5-1981.



Catatan:

Pindaan yang dibuat dalam Perkara 142(2)(b) dan (2A) oleh Akta A566 hendaklah terpakai hanya bagi orang yang dilantik menjadi anggota mana-mana Suruhanjaya pada atau selepas 16-12-1983.

Per. 142(4)(b):

Lihat Per. 146C(2).



Per. 142(6):

1. Perkataan "Mahkamah Besar" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan atau hakim Mahkamah Tinggi" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Kemudiannya pula, subseksyen 18(2) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1--1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

2. Perkataan "Mahkamah Agung" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 32, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas