PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 144. Fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan.

(1) Tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedia ada dan kepada peruntukan Perlembagaan ini, menjadi tugas sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai untuk melantik, mengesahkan, memasukkan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, menaikkan pangkat, menukarkan dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota-anggota perkhidmatan atau perkhidmatan-perkhidmatan yang diliputi oleh bidang kuasanya.

(2) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi mana-mana Suruhanjaya itu menjalankan fungsi lain.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan sebagai jawatan khas apa-apa jawatan yang dipegang oleh ketua atau timbalan ketua sesuatu jabatan atau oleh seseorang pegawai yang pada pendapatnya adalah serupa tarafnya; dan pelantikan bagi menyandang mana-mana jawatan yang ditetapkan sedemikian tidak boleh dibuat mengikut Fasal (1) tetapi hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Suruhanjaya yang bidang kuasanya meliputi perkhidmatan yang dalamnya jawatan itu dipegang.

(4) Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri boleh menetapkan sebagai jawatan khas apa-apa jawatan dalam perkhidmatan awam Negerinya yang dipegang oleh ketua atau timbalan ketua sesuatu jabatan atau oleh seseorang pegawai yang pada pendapatnya adalah serupa tarafnya; dan pelantikan bagi menyandang mana-mana jawatan yang ditetapkan sedemikian tidak boleh dibuat mengikut Fasal (1) tetapi hendaklah dibuat oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (atau, jika di dalam Negeri itu ada suatu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, atas syor Suruhanjaya itu).

(5) Sebelum bertindak, mengikut Fasal (3) atau (4), atas syor Suruhanjaya yang disebut dalam Fasal itu-

(a)

Yang di-Pertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat Perdana Menteri; dan

(b)

Raja atau Yang di-Pertua Negeri hendaklah menimbangkan nasihat Ketua Menteri Negerinya,



dan boleh merujukkan syor itu balik satu kali kepada Suruhanjaya itu untuk ditimbangkan semula.

(5A) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal (5B), undang-undang persekutuan dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang itu, peraturan-peraturan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong boleh, walau apa pun peruntukan Fasal (1) Perkara 135, membuat peruntukan bagi mana-mana pegawai dalam sesuatu perkhidmatan yang diliputi oleh bidang kuasa Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai, atau bagi mana-mana lembaga pegawai itu, menjalankan mana-mana fungsi Suruhanjaya itu di bawah Fasal (1):

Dengan syarat bahawa-

(a)

tiada undang-undang atau peraturan sedemikian boleh membuat peruntukan bagi mana-mana pegawai atau lembaga pegawai itu menjalankan apa-apa kuasa membuat pelantikan pertama kepada perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, atau apa-apa kuasa kenaikan pangkat (selain kenaikan pangkat bagi menyandang jawatan memangku); dan

(b)

mana-mana orang yang terkilan dengan penjalanan mana-mana kuasa kawalan tatatertib oleh mana-mana pegawai atau lembaga pegawai itu boleh merayu kepada Suruhanjaya dalam masa dan mengikut cara yang ditetapkan oleh mana-mana undang-undang atau peraturan-peraturan, dan Suruhanjaya boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya adil mengenainya.



(5B) (i) Walau apa pun peruntukan Fasal (1) Perkara 135 dan Perkara 139 dan Perkara 141A, semua kuasa dan fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan yang ditubuhkan di bawah Perkara 139 dan Perkara 141A, selain kuasa membuat pelantikan pertama kepada perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, boleh dijalankan oleh suatu lembaga yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(ii) Mana-mana orang yang terkilan dengan penjalanan mana-mana kuasa atau fungsi yang disebut terdahulu itu oleh lembaga itu boleh merayu kepada suatu Lembaga Rayuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(iii) Yang di-Pertuan Agong boleh melalui peraturan-peraturan membuat peruntukan bagi perkara-perkara yang berhubungan dengan pelantikan anggota-anggota lembaga atau Lembaga Rayuan itu, dan tatacara yang hendaklah diikuti olehnya di bawah Fasal ini.

(iv) Jika Yang di-Pertuan Agong telah melantik lembaga di bawah perenggan (i) Fasal ini bagi maksud menjalankan mana-mana kuasa atau fungsi yang disebut di bawah perenggan itu, maka kuasa atau fungsi itu hendaklah terhenti daripada dijalankan oleh Suruhanjaya tersebut selagi kuasa atau fungsi itu masih menjadi kuasa atau fungsi yang hendaklah dijalankan oleh lembaga itu.

(6) Sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai boleh mewakilkan mana-mana fungsinya di bawah Fasal (1) berkenaan dengan apa-apa gred perkhidmatan kepada mana-mana pegawai dalam sesuatu perkhidmatan yang diliputi oleh bidang kuasanya, atau kepada mana-mana lembaga pegawai itu yang dilantik olehnya, dan pegawai atau lembaga itu hendaklah menjalankan fungsi itu di bawah arahan dan kawalan Suruhanjaya itu.

(6A) Berkenaan dengan anggota-anggota perkhidmatan awam am Persekutuan yang diambil kerja dalam jawatan-jawatan tambahan kepada angkatan tentera atau mana-mana daripadanya atau jawatan tambahan kepada pasukan polis, atau berkenaan dengan mana-mana gred anggota-anggota perkhidmatan itu yang diambil kerja sedemikian, fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam boleh, di bawah Fasal (5A) atau (6), dijadikan boleh dijalankan oleh seorang pegawai atau suatu lembaga pegawai daripada angkatan tentera atau pasukan polis, mengikut mana-mana yang berkenaan, seolah-olah pegawai atau lembaga pegawai itu ialah anggota pekhidmatan awam am Persekutuan.

(7) Dalam Perkara ini "pertukaran" tidak termasuk pertukaran tanpa perubahan pangkat dalam sesuatu jabatan Kerajaan.

(8) Sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian ini terpakai boleh, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan, membuat kaedah-kaedah mengawal selia tatacaranya dan menentukan bilangan anggotanya untuk membentuk kuorum.


________________________________
CATATAN

Per. 144:

Lihat Per. 139, 144(1).

Fasal (3):

1. Perkataan "selain jawatan-jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan" yang terdapat selepas "serupa tarafnya" dipotong oleh Akta 10/1960, perenggan 25(a), berkuat kuasa dari 31-5-1960, tetapi dimasukkan semula oleh Akta 26/1963, subseksyen 53(3), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkataan "selain jawatan-jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan" itu dipotong oleh Akta A354, seksyen 34, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

2. Berkenaan dengan senarai jawatan-jawatan ditetapkan lihat P.U.(S.B.) 119/1957, 397/1958.

Fasal (4): Perkataan "mana-mana Raja suatu Suruhanjaya yang bersamaan taraf dan bidang kuasa" digantikan dengan "suatu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (5)(b): Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (5A): Ditambahkan oleh Akta 10/1960, perenggan 25(b), berkuat kuasa dari 31-5-1960. Perkataan "Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal (5B)," di permulaan Fasal dimasukkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 19-9-1966. Dalam proviso kepada perenggan (a), perkataan "atau untuk apa-apa kuasa menaikkan pangkat" digantikan dengan "atau apa-apa kuasa menaikkan pangkat" oleh Akta A31, seksyen 6, berkuat kuasa dari 24-3-1971.

Lihat-

(a)

Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam 1967, dalam P.U. 291/1967, seperti yang dipinda oleh P.U. 180/1968, 249/1968, P.U.(A) 285/1969.

(b)

Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam 1967, dalam P.U. 292/1967, seperti yang dipinda oleh P.U. 181/1968, 249/1968, P.U.(A) 284/1969.

(c)

Kaedah-Kaedah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Kenaikan Pangkat) (Lembaga Rayuan) 1968, dalam P.U. 386/1968.


Fasal (5B): Ditambahkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 19-9-1966. Perenggan (i) digantikan oleh Akta A193, seksyen 5, berkuat kuasa dari 1-1-1974. Perenggan yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:

"(i)

Walau apa pun peruntukan Fasal (1) Perkara 135 dan Perkara 139, segala kuasa dan fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan di bawah Perkara 139, selain kuasa membuat pelantikan pertama kepada perjawatan tetap atau berpencen, boleh dijalankan oleh suatu lembaga yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.".


Fasal (6A): Ditambahkan oleh Akta 25/1963, seksyen 4, berkuat kuasa dari 29-8-1963.

Fasal (8): Lihat Per. 146C(3).

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas