PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 147. Perlindungan hak pencen.

(1) Undang-undang yang terpakai bagi apa-apa pencen, ganjaran atau elaun lain yang sepertinya (dalam Perkara ini disebut "imbuhan") yang diberikan kepada seseorang anggota mana-mana perkhidmatan awam, atau kepada balunya, anaknya, orang tanggungannya atau wakil dirinya, hendaklah undang-undang yang berkuat kuasa pada hari yang berkaitan atau apa-apa undang-undang kemudiannya yang tidak kurang baiknya kepada orang yang diberi imbuhan itu.

(2) Bagi maksud Perkara ini hari yang berkaitan-

 

(a)

berhubung dengan sesuatu imbuhan yang diberikan sebelum Hari Merdeka, ialah tarikh imbuhan itu diberikan;

(b)

berhubung dengan sesuatu imbuhan yang diberikan selepas Hari Merdeka kepada atau berkenaan dengan mana-mana orang yang menjadi anggota mana-mana perkhidmatan awam sebelum Hari Merdeka, ialah tiga puluh hari bulan Ogos tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh;

(c)

berhubung dengan sesuatu imbuhan yang diberikan kepada atau berkenaan dengan mana-mana orang yang menjadi anggota mana-mana perkhidmatan awam bagi pertama kali pada atau selepas Hari Merdeka, ialah tarikh dia pertama kali menjadi anggota sedemikian.



(3) Bagi maksud Perkara ini, jika undang-undang yang terpakai bagi sesuatu imbuhan bergantung pada pilihan orang yang diberi imbuhan itu, undang-undang yang dipilih olehnya itu hendaklah dikira lebih baik bagi dirinya daripada mana-mana undang-undang lain yang mungkin dipilih olehnya.


______________________________________
CATATAN

Per. 147:

Lihat Per. 132(4), 180(2).

Fasal (2): Lihat Per. 180(3).

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas