PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN III - KEWARGANEGARAAN
Bab 1 - Pemerolehan Kewarganegaraan




Perkara 15. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (isteri dan anak warganegara).

(1) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara, maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika perkahwinan itu masih wujud dan suaminya itu seorang warganegara pada permulaan bulan Oktober 1962, atau jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan--

(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan sepanjang tempoh dua tahun sebelum tarikh permohonan itu dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap; dan

(b) bahawa dia berkelakuan baik.


(2) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka Kerajaan Persekutuan boleh menyebabkan orang itu didaftarkan sebagai warganegara jika sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapanya adalah sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara.

(3) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga seseorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia dilahirkan sebelum permulaan bulan Oktober 1962 dan bapanya adalah sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara dan juga seorang warganegara pada permulaan bulan itu (jika hidup pada masa itu), dan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa orang itu biasanya bermastautin di Persekutuan dan berkelakuan baik.

(4) Bagi maksud Fasal (1), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.

(5) Sebutan dalam Fasal (1) mengenai perempuan bersuami ialah sebutan mengenai perempuan yang perkahwinannya telah didaftarkan mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Persekutuan, termasuklah mana-mana undang-undang sedemikian yang berkuat kuasa sebelum Hari Merdeka, atau mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak:

Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai jika perempuan itu memohon supaya didaftarkan sebagai warganegara sebelum permulaan bulan September 1965, atau apa-apa tarikh kemudiannya sebagaimana yang ditetapkan melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, dan jika pada tarikh permohonan itu dia biasanya bermastautin di Negeri Sabah dan Sarawak.

(6) (Dimansuhkan).

____________________________________________
CATATAN

Per. 15:

1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 25, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, memindanya--

(a) dengan memansuhkan Fasal (6) yang berbunyi seperti yang berikut:

"(6) Dalam Fasal (1) perkataan "di luar Singapura" tidaklah mempunyai kuat kuasa dalam hal seseorang perempuan yang suaminya ialah seorang warganegara melalui penaturalisasian di bawah Fasal (2) Perkara 19."


(b) dengan memotong sebutan mengenai Singapura dan warganegara Singapura dalam Fasal (1) hingga (5).


Fasal (1): Lihat Per. 24(4), 26(2). 28(1)(b), 28A(3).

Fasal (3): Lihat Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 18.

2. Perkara asal seperti yang terdapat pada Hari Merdeka berbunyi seperti yang berikut:

"15. (1) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada pihak berkuasa pendaftaran oleh mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara, maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai seorang warganegara.

(2) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada pihak berkuasa pendaftaran oleh ibu atau bapa ataupun penjaga seseorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun yang bapanya ialah seorang warganegara atau, jika telah mati, ialah seorang warganegara pada masa kematiannya maka orang itu berhak didaftarkan sebagai seorang warganegara jika pihak berkuasa itu berpuas hati bahawa orang itu biasanya bermastautin di Persekutuan dan berkelakuan baik.

(3) Sebutan dalam Perkara ini mengenai perempuan bersuami ialah sebutan mengenai perempuan yang perkahwinannya telah didaftarkan mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Persekutuan termasuk mana-mana undang-undang sedemikian itu yang berkuat kuasa sebelum Hari Merdeka.

Fasal (1) dan (2) dipinda oleh Akta 10/1960, seksyen 2, berkuat kuasa dari 1-12-1960, dengan menggantikan "pihak berkuasa pendaftaran" dan "pihak berkuasa itu" masing-masing dengan "Kerajaan Persekutuan". Kedua-dua Fasal ini sebagaimana yang digantikan oleh Akta 14/1962, seksyen 3, berkuat kuasa dari 1-10-1962, berbunyi seperti yang berikut:

"15. (1) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai seorang warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan--

(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan terus-menerus selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu;

(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan; dan

(c) bahawa dia berkelakuan baik.

(2) Tertakluk kepada Perkara 18, Kerajaan Persekutuan boleh menyebabkan supaya mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, yang ialah anak mana-mana warganegara, didaftarkan sebagai warganegara, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa ataupun penjaganya."

Per. 15(4) & (5):

Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (3) hingga (6): Lihat catatan di atas. 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas