PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

PART XI - KUASA KHAS MENENTANG PERBUATAN SUBVERSIF, KEGANASAN TERANCANG, DAN PERBUATAN DAN JENAYAH YANG MEMUDARATKAN ORANG AWAM DAN KUASA DARURAT




Perkara 151. Sekatan ke atas tahanan pencegahan.

(1) Jika mana-mana undang-undang atau ordinan yang dibuat atau dimasyhurkan menurut Bahagian ini membuat peruntukan bagi tahanan pencegahan-

(a)

pihak berkuasa yang atas perintahnya mana-mana orang ditahan di bawah undang-undang atau ordinan itu hendaklah, dengan seberapa segera yang boleh, memberitahu orang itu alasan dia ditahan dan, tertakluk kepada Fasal (3), pengataan fakta yang berasaskannya perintah itu dibuat, dan hendaklah memberikan peluang kepadanya untuk membuat representasi terhadap perintah itu dengan seberapa segera yang boleh;

(b)

tiada warganegara boleh ditahan seterusnya di bawah undang-undang atau ordinan itu melainkan jika suatu lembaga penasihat yang ditubuhkan sebagaimana yang disebut dalam Fasal (2) telah menimbangkan apa-apa representasi yang dibuat oleh warganegara itu di bawah perenggan (a) dan membuat syor mengenainya kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan setelah menerima representasi itu, atau dalam tempoh yang lebih lama yang dibenarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.



(2) Sesuatu lembaga penasihat yang ditubuhkan bagi maksud Perkara ini hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan yang menjadi atau pernah menjadi atau yang layak menjadi, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau yang pernah menjadi seorang hakim Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia, dan dua orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(3) Perkara ini tidak menghendaki mana-mana pihak berkuasa mendedahkan fakta yang pendedahannya pada pendapat pihak berkuasa itu akan bertentangan dengan kepentingan negara.


_____________________________
CATATAN

Per. 151

Fasal (1)(b):

1. Perenggan yang asal yang berbunyi seperti yang berikut, digantikan oleh Akta 10/1960, seksyen 30, berkuat kuasa dari 31-5-1960:

"(b)

tiada warganegara boleh ditahan di bawah undang-undang atau ordinan itu selama tempoh melebihi tiga bulan melainkan jika suatu lembaga penasihat yang ditubuhkan sebagaimana yang disebut dalam Fasal (2) telah menimbangkan apa-apa representasi yang dibuat oleh warganegara itu di bawah perenggan (a) dan membuat laporan, sebelum habisnya tempoh itu, bahawa pada pendapatnya ada sebab-sebab yang mencukupi mengenai penahanan itu.".


2. Akta 10/1960, seksyen 30, berkuat kuasa dari 31-5-1960, menggantikan perenggan (b) yang asal dengan yang berikut:

"(b)

tiada warganegara boleh ditahan di bawah undang-undang atau ordinan itu selama tempoh melebihi 3 bulan melainkan jika suatu lembaga penasihat yang ditubuhkan sebagaimana yang disebut dalam Fasal (2) telah menimbangkan apa-apa representasi yang dibuat oleh warganegara itu di bawah perenggan (a) dan telah membuat syor-syor mengenainya kepada Yang di-Pertuan Agong.".


3. Perenggan yang ada sekarang sebagaimana yang terdapat kini digantikan oleh Akta A354, seksyen 40, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 151(2):

1. Perkataan "daripada kalangan orang yang menjadi atau pernah menjadi hakim Mahkamah Agung atau yang layak menjadi hakim Mahkamah Agung, dan" digantikan dengan " dan yang menjadi atau pernah menjadi, atau yang layak menjadi, hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi, atau yang pernah menjadi hakim Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia, dan" dan perkataan "Hakim Besar atau, jika pada masa itu hakim Mahkamah Agung yang lain memangku jawatan Hakim Besar, selepas berunding dengan hakim itu" digantikan dengan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Kemudiannya pula, subseksyen 18(2) Akta A566 memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

3. Fasal ini yang digantikan oleh Akta A767, seksyen 5, berkuat kuasa dari 11-5-1990, berbunyi seperti yang berikut:

 

"(2) Sesuatu lembaga penasihat yang ditubuhkan bagi maksud-maksud Perkara ini hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan yang menjadi atau pernah menjadi, atau yang layak menjadi, hakim Mahkamah Agung atau Mahkamah Tinggi, atau yang pernah menjadi seorang hakim Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia, dan dua orang anggota lain, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung.".

 

4. Perkataan "Mahkamah Agung' digantikan dengan perkataan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 36, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas