PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN XII - AM DAN PELBAGAI




Perkara 155. Persalingan Komanwel.

(1) Jika undang-undang yang berkuat kuasa di mana-mana bahagian lain Komanwel memberikan apa-apa hak atau keistimewaan kepada warganegara Persekutuan maka adalah sah bagi Parlimen memberikan hak atau keistimewaan yang seumpamanya kepada warganegara dari bahagian Komanwel itu yang bukan warganegara Persekutuan, walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini.

(2) Sebutan dalam Fasal (1) mengenai warganegara sesuatu bahagian Komanwel, berhubung dengan United Kingdom atau mana-mana bahagian Komanwel yang lain yang bukan suatu negara Komanwel atau bukan suatu wilayah yang ditadbirkan oleh Kerajaan sesuatu negara Komanwel selain United Kingdom, hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai warganegara United Kingdom dan Tanah-Tanah Jajahan.

(3) Perkara ini terpakai berhubung dengan Republik Ireland sebagaimana Perkara ini terpakai berhubung dengan sesuatu negara komanwel.


_________________________________________
CATATAN

Per. 155(2):

Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 14/1962, Jadual seksyen 12(1), berkuat kuasa dari 1-10-1962, dan menggantikan Fasal yang asal yang berbunyi seperti yang berikut:

 

'(2) Dalam Perkara ini "bahagian Komanwel" ertinya mana-mana negara Komanwel, mana-mana tanah jajahan, tanah protektorat atau negara naungan dan mana-mana wilayah lain yang ditadbirkan oleh Kerajaan mana-mana negara Komanwel; dan berhubung dengan United Kingdom dan mana-mana bahagian Komanwel yang lain (yang bukan negara Komanwel atau wilayah yang ditadbirkan oleh Kerajaan sesuatu negara Komanwel selain United Kingdom) sebutan mengenai warganegara bahagian Komanwel itu hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai warganegara United Kingdom dan Tanah-Tanah Jajahan.".

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas