PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN XII - AM DAN PELBAGAI




Perkara 160. Tafsiran.

(1) Ordinan Tafsiran dan Fasal-Fasal Am 1948 [M.U. 7 tahun 1948], sebagaimana yang berkuat kuasa sebaik sebelum Hari Merdeka, setakat yang dinyatakan dalam Jadual Kesebelas, hendaklah terpakai bagi pentafsiran Perlembagaan ini sebagaimana Ordinan itu terpakai bagi mentafsirkan mana-mana undang-undang bertulis mengikut pengertian Ordinan itu, tetapi dengan menggantikan sebutan mengenai Pesuruhjaya Tinggi dengan sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong.

(2) Dalam Perlembagaan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, ungkapan-ungkapan yang berikut mempunyai erti sebagaimana yang diberikan dengan ini kepadanya masing-masing, iaitu-

"Akta Parlimen" ertinya undang-undang yang dibuat oleh Parlimen;

"Anggota pentadbiran", berhubung dengan Persekutuan, ertinya seseorang yang memegang jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen atau Setiausaha Politik dan, berhubung dengan sesuatu Negeri, ertinya seseorang yang memegang sesuatu jawatan yang bersamaan di dalam Negeri itu atau yang memegang jawatan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (selain anggota kerana jawatan);

"Badan Perundangan", berhubung dengan sesuatu Negeri, ertinya pihak berkuasa yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Negeri itu untuk membuat undang-undang bagi Negeri itu;

"Cukai" termasuklah impos atau duti tetapi tidak termasuk kadar yang dilevikan bagi maksud tempatan atau fi bagi perkhidmatan yang diberikan;

"Dewan Undangan" ertinya dewan perwakilan, tidak kira bagaimana jua disebut, dalam Badan Perundangan sesuatu Negeri (dan khususnya termasuklah Majlis Negeri di Sarawak), tetapi kecuali dalam Jadual Kelapan termasuklah juga sesuatu Majlis Undangan, tidak kira bagaimana jua disebut;

"Enakmen", jika ungkapan itu terdapat dalam Jadual Kelapan, ertinya undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri;

"Gabenor" (Dimansuhkan);

"Hak pencen" termasuklah hak persaraan dan hak kumpulan wang simpanan;

"Hari Merdeka" ertinya tiga puluh satu hari bulan Ogos, tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh;

"Hutang" termasuklah apa-apa liabiliti berkenaan dengan apa-apa obligasi untuk membayar balik wang modal dengan cara anuiti dan apa-apa liabiliti di bawah apa-apa jaminan dan "caj hutang" hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya;

"Jawatan berpendapatan" ertinya apa-apa jawatan sepenuh masa dalam mana-mana perkhidmatan awam, dan termasuklah-

(a)

jawatan mana-mana hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi; dan

(b)

jawatan Ketua Audit Negara; dan

(c)

jawatan seseorang anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, jawatan seseorang anggota (selain anggota ex officio) sesuatu Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai, atau jawatan seseorang anggota (selain anggota ex officio) mana-mana Suruhanjaya yang bersamaan yang ditubuhkan oleh Perlembagaan sesuatu Negeri; dan

(d)

apa-apa jawatan lain yang tidak dinyatakan dalam Fasal (3) Perkara 132 yang boleh ditetapkan sebagai jawatan berpendapatan melalui Akta Parlimen;



"Jawatankuasa Kaedah" (Dimansuhkan);

"Kadar tempatan" (Dimansuhkan);

"Kekosongan luar jangka" ertinya kekosongan yang berlaku di dalam Dewan Rakyat atau di dalam sesuatu Dewan Undangan selain oleh sebab pembubaran Parlimen atau pembubaran Dewan Undangan itu;

"Ketua Menteri" dan "Menteri Besar" kedua-duanya bererti yang dipertua, tidak kira dengan gelaran apa jua dia dikenali, Majlis Mesyuarat Kerajaan di dalam sesuatu Negeri;

"Majlis Mesyuarat Kerajaan" ertiya Jemaah Menteri atau badan lain, tidak kira bagaimana jua disebut, yang di dalam Kerajaan sesuatu Negeri adalah bersamaan, sama ada anggota-anggotanya ialah Menteri atau bukan, dengan Jemaah Menteri di dalam Kerajaan Persekutuan (dan khususnya termasuklah Majlis Tertinggi di Sarawak);

"Majlis Undangan" (Dimansuhkan);

"Maksud negeri", berhubung dengan mana-mana Negeri, termasuklah maksud Negeri itu berkaitan dengan perkara-perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama dan dengan apa-apa perkara lain yang mengenainya Badan Perundangan Negeri itu mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang;

"Maksud persekutuan" termasuklah maksud Persekutuan berkaitan dengan perkara-perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama dan dengan apa-apa perkara lain yang mengenainya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, selain menurut kuasa Perkara 76;

"Meminjam" termasuklah memperdapatkan wang dengan pemberian anuiti atau dengan membuat apa-apa perkiraan yang menghendaki apa-apa cukai, kadar, royalti, fi atau apa-apa bayaran lain dibayar sebelum tarikh genap masanya atau dengan membuat apa-apa perjanjian yang menurutnya Kerajaan kena membayar balik atau memulangkan apa-apa faedah yang telah dinikmatinya di bawah perjanjian itu, dan "pinjaman" hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya;

"Negara asing" tidak termasuk mana-mana bahagian Komanwel atau Republik Ireland;

"Negara Komanwel" ertinya mana-mana negara yang diiktiraf oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai negara Komanwel; dan "bahagian Komanwel" ertinya mana-mana negara Komanwel, mana-mana tanah jajahan, protektorat atau negara naungan atau mana-mana wilayah lain yang ditadbirkan oleh Kerajaan mana-mana negara Komanwel;

"Negeri" ertinya suatu Negeri di dalam Persekutuan;

"Orang asli" ertinya orang asli Semenanjung Tanah Melayu;

"Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan-

(a)

yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau

(b)

ialah zuriat seseorang yang sedemikian;



"Peguam Negara" ertinya Peguam Negara bagi Persekutuan;

"Pemilih" ertinya seseorang yang berhak mengundi dalam pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan sesuatu Negeri;

"Persekutuan" ertinya Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957;

"Peruntukan Diraja" ertinya peruntukan yang dibuat daripada wang awam bagi penyaraan Yang di-Pertuan Agong, Isterinya, seseorang Raja atau Yang di-Pertua Negeri;

"Pihak berkuasa awam" ertinya Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan sesuatu Negeri, pihak berkuasa tempatan, pihak berkuasa berkanun yang menjalankan kuasa yang diletakhakkan padanya oleh undang-undang persekutuan atau Negeri, mana-mana mahkamah atau tribunal selain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa yang dilantik oleh atau yang bertindak bagi pihak mana-mana orang, mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa itu;

"Raja"-

(a)

berhubung dengan Negeri Sembilan, ertinya Yang di-Pertuan Besar yang bertindak bagi pihak dirinya sendiri dan Pembesar-Pembesar Memerintah mengikut Perlembagaan Negeri itu; dan

(b)

dalam hal mana-mana Negeri, kecuali dalam Fasal (2) Perkara 181 dan Jadual Ketiga dan Kelima, termasuklah mana-mana orang yang mengikut Perlembagaan Negeri itu menjalankan fungsi Raja Negeri itu;



"Saraan" termasuklah gaji atau upah, elaun, hak pencen, perumahan percuma atau bersubsidi, pengangkutan percuma atau bersubsidi, dan keistimewaan lain yang dapat dinilai dengan wang;

"Senarai Bersama" ertinya Senarai Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan;

"Senarai Negeri" ertinya Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan;

"Senarai Persekutuan" ertinya Senarai Pertama yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan;

"Undang-undang" termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya;

"Undang-undang bertulis' termasuklah Perlembagaan ini dan Perlembagaan mana-mana Negeri;

"Undang-undang Negeri" ertinya-

(a)

mana-mana undang-undang sedia ada yang berhubungan dengan sesuatu perkara yang mengenainya Badan Perundangan sesuatu Negeri mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, iaitu undang-undang yang diteruskan kuat kuasanya di bawah Bahagian XIII; dan

(b)

sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri;



"Undang-undang persekutuan" ertinya-

(a)

mana-mana undang-undang sedia ada yang berhubungan dengan sesuatu perkara yang mengenainya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, iaitu undang-undang yang diteruskan kuat kuasanya di bawah Bahagian XIII; dan

(b)

apa-apa Akta Parlimen;



"Undang-undang yang sedia ada" ertinya mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya sebaik sebelum Hari Merdeka;

"Warganegara" ertinya warganegara Persekutuan;

"Yang di-Pertua Negeri" ertinya Ketua Negeri di sesuatu Negeri yang tidak mempunyai Raja.

(3) Melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, apa-apa sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai sesuatu Bahagian, Perkara atau Jadual tertentu ialah sebutan mengenai Bahagian atau Perkara dalam Perlembagaan ini, atau Jadual kepada Perlembagaan ini, apa-apa sebutan mengenai sesuatu bab, fasal, seksyen atau perenggan tertentu ialah sebutan mengenai bab dalam Bahagian, fasal dalam Perkara, seksyen dalam Jadual, atau perenggan dalam fasal atau seksyen, yang dalamnya terdapat sebutan itu; dan apa-apa sebutan mengenai sesuatu kumpulan Perkara, seksyen atau penggal Perkara-Perkara atau seksyen-seksyen hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk yang pertama dan yang akhir kedua-duanya sekali dalam kumpulan yang disebut itu.

(4) Jika di bawah Perlembagaan ini seseorang dikehendaki mengangkat dan menandatangani suatu sumpah, maka dia hendaklah dibenarkan mematuhi kehendak itu dengan membuat dan menandatangani suatu ikrar jika dia berhasrat sedemikian.

(5) Sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai Persekutuan dan Negeri-Negeri Persekutuan dan mengenai wilayah-wilayah Persekutuan atau wilayah-wilayah mana-mana Negeri Persekutuan, dan mengenai mana-mana pegawai yang memegang jawatan di bawah Persekutuan atau mana-mana pihak berkuasa atau badan di dalam atau bagi Persekutuan hendaklah ditafsirkan-

(a)

berhubung dengan bila-bila masa selepas Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 mula berkuat kuasa, dan sebelum Hari Merdeka, sebagai sebutan mengenai Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian itu, dan Negeri-Negeri dan Negeri-Negeri Selat yang termasuk di dalamnya dan mengenai wilayah-wilayah Persekutuan itu atau wilayah-wilayah mana-mana Negeri atau Negeri Selat yang termasuk di dalamnya, dan mengenai pegawai yang bersamaan yang memegang jawatan di bawahnya atau pihak berkuasa atau badan yang bersamaan di dalam atau bagi Persekutuan itu;

(b)

berhubung dengan bila-bila masa sebelum Perjanjian tersebut mula berkuat kuasa (setakat yang dibenarkan oleh konteksnya) sebagai sebutan mengenai mana-mana negara, wilayah, jawatan, pihak berkuasa atau badan yang pentafsiran sebutannya telah dibuat peruntukan oleh Fasal 135(2) Perjanjian tersebut, mengikut mana-mana yang sesuai.



(6) Sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai apa-apa tempoh hendaklah ditafsirkan, setakat yang dibenarkan oleh konteksnya, sebagai termasuk sebutan mengenai suatu tempoh yang bermula sebelum Hari Merdeka.

(7) Sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 hendaklah ditafsirkan, kecuali jika konteksnya menghendaki makna yang lain, sebagai sebutan mengenai Perjanjian itu sebagaimana yang berkuat kuasa sebaik sebelum Hari Merdeka.

_____________________________________________
CATATAN

Per. 160:

Lihat Per. 162(2).

Fasal (2):

Takrif "Anggota Pentadbiran": Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 5, berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan dipinda oleh Akta 19/1964, subseksyen 5(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963, dengan menggantikan perkataan "atau Menteri Muda" dengan "Menteri Muda, Setiausaha Parlimen atau Setiausaha Politik" dan dengan memotong perkataan "dan termasuklah di Singapura setiausaha-setiausaha politik dan juga setiausaha-setiausaha Parlimen" yang tedapat di hujung Fasal. Perkataan "Menteri Muda" digantikan dengan "Timbalan Menteri" oleh Akta A31, seksyen 10, berkuat kuasa dari 24-3-1971.

Takrif "Dewan Undangan": Takrif yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 5, berkuat kuasa dari 16-9-1963; dan menggantikan takrif yang asal yang berbunyi seperti yang berikut:

' "Dewan Undangan" kecuali dalam Jadual Ketujuh dan Kelapan, termasuklah Majlis Mesyuarat Negeri;'.

 

Per. 160(2)

Takrif "Gabenor": Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 5, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akat 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, memotong perkataan "dan Yang di-Pertuan Negara Singapura" yang terdapat di hujung takrif dan memebtulkan kesilapan dalam Cetakan Semula tahun 1964 dengan menggantikan perkataan "Yang di-Pertuan Negara Sabah" dengan "Yang di-Pertua Negara Sabah".

Takrif Gabenor" Dipotong oleh Akta A354, seksyen 41, berkuat kuasa dari 27-8-1976. Takrif yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:

' "Gabenor" ertinya Ketua Negeri, tidak kira dengan apa jua gelaran dia dikenali, di sesuatu Negeri yang tidak

mempunyai Raja (dan khususnya termasuklah Yang di-Pertua Negara Sabah);'.


Takrif "Jawatan berpendapatan" 1. Takrif yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 5, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Takrif yang dahulu, sebagaimana yang terdapat pada tarikh pemansuhan, berbunyi seperti yang berikut:

' "Jawatan berpendapatan" ertinya apa-apa jawatan sepenuh masa dalam mana-mana perkhidmatan awam, dan

termasuklah jawatan Hakim Besar atau hakim lain Mahkamah Agung. Ketua Audut Nengara, anggota Suruhanjaya Pilihan Raya atau mana-mana Suruhanjaya Bahagian X terpakai baginya, dan apa-apa jawatan lain yang ditetapkan sebagai jawatan berpendapatan melalui Akta Parlimen;'.

2. subseksyen 18(2) Akta A566 memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

3. Perkataan "Mahkamah Agung" digantikan dengan perkataan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 38, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Takrif "Jawatankuasa Kedah" : Takrif ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963:

' "Jawatankuasa Kaedah" ertinya Jawatankuasa Kaedah atau pihak berkuasa lain yang mempunyai kuasa di bawah

undang-undang bertulis untuk membuat kaedah-kaedah atau perintah-perintah yang mengawal selia amalan dan tatacara Mahkamah Agung;'.

Takrif "Kadar Tempatan" : Takrif ini yang ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, berbunyi seperti yang berikut:

' "Kadar Tempatan", berhubung dengan Singapura, termsuklah cukai harta yang dilevikan bagi maksud-maksud

tempatan oleh oleh Negeri;'.

Takrif "kekosongan luar jangka" : Perkataan "yang berlaku dalam Dewan Negara dengan apa-apa sebab selain habis tempoh jawatan seseorang ahli, atau sesuatu kekosongan" yang terdapat selepas "ertinya kekosongan" dipotong oleh Akta 31/1965, subseksyen 2(2), berkuat kuasa dari 1-7-1965.

Takrif "Ketua Menteri" dan "Menteri Besar" : Takrif yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 5, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Takrif itu dipinda oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, dengan memotong perkataan '(dan khususnya "Ketua Menteri" termasuklah Perdana Menteri di Singapura)' yang terdapat di hujung Fasal. Takrif yang asal berbunyi seperti yang berikut:

' "Ketua Menteri" termsuklah Menteri Besar,'.

Takrif "Majlis Mesyuarat Kerajaan" : Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 5, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Takrif "Majlis Undangan" Takrif ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963:

' "Majlis Undangan ertinya Majlis Undangan yang diteruskan di bawah Perkara 164;'.

Takrif "Maksud Negeri" Takrif ini dimasukkan oleh Akta 25/1963, subseksyen 5, berkuat kuasa dari 31-8-1957.

Takrif Maksud Persekutuan : Takrif ini dimasukkan oleh Akta 25/1963, seksyen 5, berkuat kuasa 31-8-1957, dan menggantikan takrif yang asal yang berbunyi seperti yang berikut:

' " Maksud Persekutuan" termasuklah segala maksud berkaitan dengan perkara-perkara yang mengenainya

Parlimen berkuasa membuat undang-undang selain menurut kuasa Perkara 76;'.

Takrif "Maksud Persekutuan" : Perkataan "Perlembagaan" selepas "Perkara 76" dipotong oleh Akta 31, seksyen 8, berkuat kuasa dari24-3-1971.

Takrif "Meminjam" : Perkataan "atau dengan membuat apa-apa perkiraan yang menghendaki apa-apa cukai, kadar, royalti, fi atau apa-apa bayaran lain dibayar sebelum tarikh genap masanya atau dengan membuat apa-apa perjanjian yang menurutnya Kerajaan kenalah membayar balik atau memulangkan balik apa-apa faedah yang telah dinikmatinya di bawah perjanjian itu" dimasukkan selepas "pemberian anuiti" oleh Akta a31, seksyen 8, berkuat kuasa dari 24-3-1971.

Takrif "Negara Komanwel" : Takrif yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 31/1965, subseksyen 2(2), berkuat kuasa dari 1-7-1965. Takrif yang dahulu, sebagaimana yang terdapat pada tarikh pemansuhan, berbunyi seperti yang berikut:

' "Negara Komanwel" ertinya United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand, India, Pakistan, Ceylon, Ghana,

Nigeria, Cyprus, Seirra Leone, Tanganyika dan mana-mana negara lain yang ditetapkan melalui Akta Parlimen sebagai negara Komanwel dan "bahagian Komanwel" ertinya mana-mana negeri Komanwel, mana-mana tanah jajahan, tanah protektorat atau negara naungan atau mana-mana wilayah lain yang ditadbirkan oleh Kerajaan mana-mana negara Komanwel;'.

Takrif "Orang asli" : ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Takrif "Orang Melayu" : Perkataan "atau di Singapura" yang terdapat selepas "Persekutuan" (di tiga tempat) dalam perenggan (a) dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Takrif "Peguam Negara" : Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 5, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Takrif "Peruntukan Diraja" : Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Takrif "Pihak berkuasa awam" : Perkataan Mahkamah Besar" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976. Kemudian pula, subseksyen 18(2) Akta A566 memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung. Perkataan "Mahkamah Agung" digantikan dengan perkataan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 38, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Takrif "Undang-undang persekutuan" : Lihat Per. 162(2).

Takrif "Yang di-Pertua Negeri' : Dimasukkan oleh Akta A354, seksyen 41, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas