PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN XIIA - PERLINDUNGAN TAMBAHAN BAGI NEGERI SABAH DAN SARAWAK




Perkara 161. Penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda di Negeri Sabah dan Sarawak

(1) Tiada Akta Parlimen yang menamatkan atau menyekat penggunaan bahasa Inggeris bagi apa-apa maksud yang disebut dalam Fasal (2) hingga (5) Perkara 152 boleh mula berkuat kuasa berkenaan dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam apa-apa hal yang disebut dalam Fasal (2) Perkara ini sehingga sepuluh tahun selepas Hari Malaysia.

(2) Fasal (1) terpakai-

(a) bagi penggunaan bahasa Inggeris di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen oleh seseorang ahli bagi atau dari Negeri Sabah atau Sarawak; dan

(b) bagi penggunaan bahasa Inggeris bagi prosiding di dalam Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau di dalam suatu mahkamah rendah di Negeri Sabah atau Sarawak, atau bagi apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan sebagaimana yang disebut dalam Fasal (4); dan

(c) bagi penggunaan bahasa Inggeris di Negeri Sabah atau Sarawak di dalam Dewan Undangan atau bagi maksud rasmi yang lain (termasuk maksud rasmi Kerajaan Persekutuan).

(3) Tanpa menjejaskan Fasal (1), tiada Akta Parlimen sebagaimana yang disebut dalam Fasal itu boleh mula berkuat kuasa berkenaan dengan penggunaan bahasa Inggeris bagi prosiding di dalam Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau bagi apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan sebagaimana yang disebut dalam Fasal (4), sehingga Akta itu atau peruntukannya yang berkaitan telah diluluskan melalui enakmen Badan-Badan Perundangan Negeri Sabah dan Sarawak; dan tiada Akta sedemikian boleh mula berkuatkuasa berkenaan dengan penggunaan bahasa Inggeris di Negeri Sabah atau Sarawak dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam perenggan (b) atau (c) Fasal (2), sehingga Akta itu atau peruntukannya yang berkaitan telah diluluskan melalui suatu enakmen Badan Perundangan Negeri itu.

(4) Prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan yang disebut dalam Fasal (2 dan (3) ialah apa-apa prosiding atas rayuan daripada Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau seseorang hakimnya, dan apa-apa prosiding di bawah Fasal (2) Perkara 128 bagi memutuskan sesuatu soal yang telah berbangkit dalam prosiding di hadapan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau suatu mahkamah rendah di Negeri Sabah atau Sarawak.

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara 152, di dalam Negeri Sabah dan Sarawak sesuatu bahasa ibunda yang pada masa ini digunakan di Negeri itu boleh digunakan di dalam mahkamah anak negeri atau bagi apa-apa kanun undang-undang dan adat anak negeri, dan dalam hal Sarawak, sehingga diperuntukkan selainya melalui enakmen Badan Perundangan, bahasa ibunda itu boleh digunakan oleh ahli apabila berucap di dalam Dewan Undangan atau mana-mana jawatankuasanya.

___________________________________________
CATATAN

Bahagian XIIA:


Tajuk "DAN SINGAPURA" selepas "NEGERI-NEGERI BORNEO" dipotong oleh Akta 59/1966, Jadual seksyen 2, berkuat kuasa dari 19-9-1996, dan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.


Per. 161:

Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 61, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkara yang asal yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963.

"161. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Perlembagaan ini hendaklah mula berbuat kuasa pada Hari Medeka.".

Nota bahu: Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (2), (3), (4) dan (5) : Perkataan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (3) : Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Subseksyen 18(2) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1-1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.


Per. 161(4):

Subseksyen 18(2) Akta A566 memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

Per. 161(2)(a), (3) & (4):

Perkataan "Borneo" dan "Mahkamah Agung" masing-masingnya digantikan dengan perkataan "SAbah dan Sarawak" dan "Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 39, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas