PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN XIIA - PERLINDUNGAN TAMBAHAN BAGI NEGERI SABAH DAN SARAWAK




Perkara 161A. Kedudukan istemewa anak negeri Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) (Dimansuhkan).

(2) (Dimansuhkan).

(3) (Dimansuhkan).

(4) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Sabah dan Sarawak boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan Perkara 153.

(5) Perkara 89 tidaklah terpakai bagi Negeri Sabah atau Sarawak, dan perkara 8 tidaklah menidakshakan atau melarang apa-apa peruntukan undang-undang Negeri di Negeri Sabah atau Sarawak bagi merizabkan tanah bagi anak negeri Negeri itu atau bagi memberikan hakmilik kepada mereka, atau bagi memberikan layanan keutamaan kepada mereka berkenaan dengan pemberian hakmilik tanah oleh Negeri itu.

(6) Dalam Perkara ini "anak negeri" ertinya-

(a) berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warganegara dan sama ada yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam Fasal (7) sebagai ras asli bagi Negeri itu atau yang berketurunan campuran yang berasal semata-mata daripada ras-ras itu; dan

(b) berhubung dengan Sabah, seseorang yang merupakan warganegara, ialah anak atau cucu kepada seorang daripada suatu ras asli bagi Sabah, dan telah lahir (sama ada atau tidak pada atau selepas Hari Malaysia) sama ada di Sabah atau dengan bapanya berdomisil di Sabah pada masa kelahiran itu.

(7) Ras-ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak bagi maksud takrif "anak negeri" dalam Fasal (6) ialah Bukitan, Bisayah, Dusun, Dayak, Dayak Laut, Dayak Darat, Kadayan, Kalabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melano, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabut dan Ukit.
___________________________________________
CATATAN

Per. 161A:

1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 62, berkuatkuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat Per. 89(7).

3. Fasal (1), (2) dan (3) yang dimansuhkan oleh Akta A30, seksyen 8, berkuatkuasa dari 10-3-1971, berbunyi seperti berikut:

"Kedudukan istemewa anak
negeri Negeri-Negeri Borneo

161A. (1) Tertakluk kepada Fasal (2), peruntukan Fasal (2) hingga (5) Perkara 153, setakat yang peruntukan itu berhubungan dengan perizaban jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam, adalah terpakai berhubungan dengan anak negeri mana-mana Negeri Borneo sebagaimana peruntukan itu terpakai berhubung dengan orang Melayu.

(2) Di sesuatu Negeri Borneo Perkara 153 hendaklah berkuat kuasa dengan

menggantikan sebutan mengenai orang Melayu dengan sebutan mengenai anak negeri Negeri itu, tetapi berkenaan dengan biasiswa, danasiswa dan keistemewaan dan kemudahan pendidikan atau latihan yang lain Fasal (2) Perkara itu tidak menghendaki perizaban bahagian yang ditetapkan untuk anak negeri.

(3) Sebelum nasihat diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong tentang perjalanan

kuasanya di bawah Perkara 153 berhubung dengan sesuatu Negeri Borneo, Ketua Menteri Negeri yang berkenaan hendaklah dirundingi.".

 

Fasal (4): Perkataan "dengan perubahan-perubahan yang dibuat oleh Fasal (2)" selepas "Perkara 153" dipotong oleh Akta A30, seksyen 8, berkuat kuasa dari 10-3-1971; dan perkataan "Negeri-negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri SAbah dan SArawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Nota bahu dan Fasal (5): Perkataan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 17-8-1976.

Catatan:

1. Fasal (5) Perkara 161 Perlembagaan hendahlah, setakat yang Fasal itu berhubungan dengan penggunaan bahasa ibunda di dalam mahkamah-mahkamah anak negeri atau mengenai apa-apa kanun undang-undang dan adat anak negeri, terpakai di dalam Wilayah Persektuan Labuan mengikut cara yang sama sebagaimana Fasal itu terpakai di dalam Negeri Sabah.

(2) Sebutan dalam Fasal (6)(b) Perkara 161A Perlembagaan mengenia "Sabah" hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan mengenai Wilayah Persekutuan Labuan. (Lihat Akta A585).

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas