PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN XIIA - PERLINDUNGAN TAMBAHAN BAGI NEGERI SABAH DAN SARAWAK




Perkara 161B. Sekatan ke atas perluasan kepada bukan pemastautin hak untuk menjalankan amalan di hadapan mahkamah di dalam Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Setakat yang mana-mana peruntukan yang dibuat melalui atau di bawah sesuatu Akta Parlimen memberikan hak, dengan menghapuskan atau mengubah kelayakan kemastautinan untuk menjalankan amalan di hadapan mahkamah di dalam Negeri Sabah dan Sarawak atau di dalam mana-mana satu Negeri itu kepada orang yang dahulunya tidak mempunyai hak itu, maka peruntukan itu tidak boleh mula berkuat kuasa sehingga diterima pakai di dalam Negeri-negeri itu atau Negeri yang berkenaan itu melalui suatu enakmen badan perundangannya.

(2) Perkara ini hendaklah terpakai bagi hak untuk menjalankan amalan di hadapan Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan apabila bersidang di Negeri Sabah dan Sarawak dan melayani prosiding atau rayuan daripada Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau seseorang hakimnya atau prosiding di bawah Fasal (2) Perkara 128 bagi memutuskan sesuatu soal yang telah berbangkit dalam prosiding di hadapan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau sesuatu mahkamah rendah di Negeri Sabah atau Sarawak.

___________________________________________
CATATAN

Per. 161B:

1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 63, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Nota Bahu: Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa 27-8-1976.

3. Fasal (1) dan (2): Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" dan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuatkuasa dari 27-8-1976.

4. Subseksyen 18(2) Akta A566 memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebaia sebutan mengenai Mahkamah Agung.

5. Dalam Fasal (2), perkataan "Mahkamah Agung" dan "Borneo" masing-masing digantikan dengan perkataan "Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan" dan "Sabah dan Sarawak" oleh Akta A885, seksyen 40 berkuatkuasa dari 24-6-1994.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas