PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN XIIA - PERLINDUNGAN TAMBAHAN BAGI NEGERI SABAH DAN SARAWAK




Perkara 161E. Perlindungan kedudukan dari segi perlembagaan mengenai Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Mulai dari lulusnya Akta Malaysia, tiada pindaan kepada Perlembagaan ini yang dibuat berkaitan dengan penerimaan masuk Negeri Sabah atau Sarawak ke dalam Persekutuan boleh dikecualikan daripada Fasal (3) Perkara 159 disebabkan Fasal (4) (bb) Perkara itu; dan juga tiada apa-apa ubah suaian yang dibuat tentang pemakaian Perlembagaan ini bagi Negeri Sabah atau Sarawak boleh dikecualikan sedemikian melainkan jika ubah suaian itu ialah ubah suaian yang akan menyamakan atau mengasimilasikan kedudukan Negeri itu di bawah Perlembagaan ini dengan kedudukan Negeri-Negeri Tanah Melayu.

(2) Tiada pindaan boleh dibuat kepada Perlembagaan ini tanpa persetujuan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri Sabah atau Sarawak atau tiap-tiap satu daripada Negeri Sabah dan Sarawak yang berkenaan itu, jika pindaan itu ialah yang akan menyentuh perjalanan kuat kuasa Perlembagaan ini berkenaan dengan mana-mana perkara berikut:

(a) hak orang-orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara oleh sebab perhubungan mereka dengan negeri itu, dan (kecuali setakat yang peruntukan yang berlainan dibuat oleh Perlembagaan ini sebagaimana yang berkuat kuasa pada Hari Malaysia) layanan sama rata, berkenaan dengan kewarganegaraan orang lain, bagi orang yang lahir atau bermastautin di Negeri itu dan bagi orang yang lahir atau bermastatutin di Negeri-Negeri Tanah Melayu;

(b) keanggotaan dan bidang kuasa Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dan perlantikan, pemecatan dan penggantungan hakim-hakim mahkamah itu;

(c) perkara yang mengenainya Badan Perundangan Negeri boleh (atau Parlimen tidak boleh) membuat undang-undang, dan kuasa eksekutif Negeri itu dalam perkara itu, dan (setakat yang berhubungan dengan perkara itu) perkiraan kewangan antara Persekutuan dengan Negeri itu;

(d) agama di dalam negeri itu, penggunaan apa-apa bahasa di dalam Negeri itu atau di dalam Parlimen dan layanan istemewa bagi anak-anak negeri Negeri itu;

(e) peruntukan bagi Negeri itu, di dalam mana-mana Parlimen yang dipanggil bermesyuarat sebelum akhir bulan Ogos 1970, suatu kuota ahli-ahli Dewan Rakyat yang tidak kurang, mengikut perkadaran jumlah yang diuntukkan bagi Negeri-Negeri lain yang menjadi anggota Persekutuan pada Hari Malaysia, daripada kuota yang diuntukkan bagi Negeri itu pada Hari Malaysia.

(3) Tiada pindaan kepada Perlembagaan ini yang menyentuh perjalanan kuat kuasanya berkenaan dengan kuota ahli Dewan Rakyat yang diuntukkan bagi Negeri Sabah atau Sarawak boleh dikira bagi maksud Fasal (1) sebagai menyamakan atau mengasimilasikan kedudukan Negeri itu dengan kedudukan Negeri-Negeri Tanah Melayu.

(4) Berhubung dengan apa-apa hak dan kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah atau Sarawak berkenaan dengan kemasukan ke dalam Negeri itu dan kemastautinan di dalam Negeri itu dan perkara yang berkaitan dengannya (sama ada atau tidak undang-undang itu diluluskan sebelum Hari Malaysia), Fasal (2) hendaklah terpakai, kecuali setakat yang diperuntukkan sebaliknya oleh undang-undang itu, seolah-olah undang-undang itu telah termaktub dalam Perlembagaan ini dan hak dan kuasa itu telah dimasukkan antara perkara yang disebut dalam perenggan (a) hingga (e) Fasal itu.

(5) Dalam Perkara ini "pindaan" termasuklah tambahan dan pemansuhan.

____________________________________________
CATATAN

Per. 161E:

1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 66, berkuat kuasa 16-9-1963.

2. Lihat Per. 159(1), (4)(bb), 159A.

3. Nota Bahu dan Fasal (1): Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" dan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuatkuasa dari 27-8-1976.

4. Fasal (2): Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976, dan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" dan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

5. Fasal (2)(b): Perkataan "Borneo" digantikan dengan "Sabah dan Sarawak" oleh Akta A885, seksyen 41, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Fasal (3) dan (4): Perkataan "sesuatu negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas