PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN III - KEWARGANEGARAAN
Bab 1 - Pemerolehan Kewarganegaraan




Perkara 16A. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang bermastautin di Negeri Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia).

Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan sebelum bulan September 1971 oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih dan yang biasanya bermastautin di Negeri Sabah atau Sarawak pada Hari Malaysia, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan--

(a) bahawa dia telah bermastautin sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu dan bermastautin selepas Hari Malaysia di Persekutuan selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada tujuh tahun dalam masa sepuluh tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, dan tempoh itu termasuklah tempoh dua belas bulan sebaik sebelum tarikh itu;

(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan;

(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan

(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris atau, dalam hal pemohon yang biasanya bermastautin di Sarawak, mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa ibunda yang digunakan pada masa ini di Sarawak, kecuali jika permohonan itu dibuat sebelum bulan September 1965 dan pemohon telah mencapai umur empat puluh lima tahun pada tarikh permohonan itu.

____________________________________________
CATATAN:

Per. 16A:

1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 26, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, memotong perkataan "di luar Singapura" yang terdapat dalam perenggan (a) dan (b) selepas "Persekutuan". Perkataan "Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

2. Lihat Per. 25(1), (1A), (2), 28A(4).

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas