PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN III - KEWARGANEGARAAN
Bab 1 - Pemerolehan Kewarganegaraan




Perkara 19. Kewarganegaraan melalui penaturalisasian.

(1) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati--

(a) bahawa--

(i) dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;

(ii) (dimansuhkan);

(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan

(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.

(2) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati--


(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;

(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan

(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.

(3) Tempoh pemastautinan di Persekutuan atau bahagiannya yang berkaitan yang dikehendaki bagi pemberian suatu perakuan naturalisasi ialah tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada sepuluh tahun dalam masa dua belas tahun sebaik sebelum tarikh permohonan bagi perakuan itu, dan tempoh itu termasuklah tempoh dua belas bulan sebaik sebelum tarikh itu.

(4) Bagi maksud Fasal (1) dan (2), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan; dan bagi maksud Fasal (2), kemastautinan di SIngapura sebelum Hari Malaysia atau dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan kemastautinan di Singapura selepas Hari Malaysia hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.

(5) Seseorang yang diberi perakuan naturalisasi menjadi warganegara melalui penaturalisasian mulai dari tarikh perakuan itu diberikan.

(6) (Dimansuhkan).

(7) (Dimansuhkan).

(8) (Dimansuhkan).

(9) Tiada perakuan naturalisasi boleh diberikan kepada mana-mana orang sehinggalah dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

____________________________________________
CATATAN

Per. 19:

1. Perkara yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 27, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965, membuat pindaan yang berikut kepadanya:

(a) Fasal (1):

(i) perkataan "Fasal (7) dan (9)" di baris satu digantikan dengan Fasal (9)".

(ii) perkataan "di luar Singapura" yang terdapat dalam subperenggan (a)(i) selepas "Persekutuan" dipotong;

(iii) subperenggan (a)(ii) yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan:

"(ii) dia telah bermastautin di Singapura selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;";

(b) Fasal (4): perkataan "di luar Singapura" yang terdapat selepas "Persekutuan" di baris empat dipotong dan perkataan "sebelum Hari Malaysia di Singapura" digantikan dengan "di Singapura sebelum Hari Malaysia atau dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan kemastautinan di Singapura selepas Hari Malaysia".

Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A354,seksyen 43, berkuat kuasa dari 27-8-1976;

(c) Fasal 6 hingga (8) yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan:

"(6) Seseorang yang diberi perakuan naturalisasi menjadi seorang warganegara Singapura jika tetapi hanya jika perakuan itu diberikan menurut kuasa perenggan (a)(ii) Fasal (1).

(7) Sesuatu perakuan naturalisasi sebagai seorang warganegara Singapura tidak boleh diberikan tanpa persetujuan Kerajaan Singapura.

(8) Mana-mana permohonan untuk penaturalisasian sebagai warganegara Singapura yang telah dibuat tetapi belum dibereskan sebelum Hari Malaysia hendaklah mulai dari hari itu dikira seolah-olah permohonan itu suatu permohonan yang telah dibuat dengan wajar untuk penaturalisasian di bawah Perkara ini, dan seolah-olah apa-apa jua yang dilakukan berkaitan dengannya sebelum hari itu di bawah atau bagi maksud undang-undang Singapura telah dilakukan sewajarnya di bawah atau bagi maksud Perkara ini.".

2. Perkara yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:

"19. Tertakluk kepada Perkara 21, apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih, maka Kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati--

(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan dalam masa dua belas tahun sebelum tarikh permohonan itu, selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada sepuluh tahun;

(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan jika diberi perakuan itu;

(c) bahawa dia berkelakuan baik;

(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu; dan

(e) bahawa dia telah bermastautin terus-menerus di Persekutuan bagi tempoh yang tidak kurang daripada satu tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu.".

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas