PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN III - KEWARGANEGARAAN
Bab 1 - Pemerolehan Kewarganegaraan




Perkara 19A. (Pemindahan kewarganegaraan ke Singapura atau dari Singapura -- Dimansuhkan)

(Dimansuhkan).

____________________________________________
CATATAN

Per. 19A:

1. Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 28, berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965:

"19A. (1) Apabila permohonan dibuat oleh mana-mana warganegara Singapura yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih, Kerajaan Persekutuan boleh mendaftarkannya sebagai warganegara yang bukan warganegara Singapura, jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa, kalaulah permohonannnya adalah untuk diberi suatu perakuan naturalisasi di bawah Perkara 19 sebagai warganegara yang bukan warganegara Singapura, syarat-syarat perenggan (a)(i), (b) dan (c) Fasal (1) Perkara itu bagi pemberian perakuan itu tetap akan ditunaikan.

(2) Berhubung dengan warganegara Singapura, Perkara 15 dan 15A hendaklah terpakai bagi memberikan hak kepada mereka atau membenarkan mereka didaftarkan sebagai warganegara yang bukan warganegara Singapura dengan cara yang sama sebagaimana Perkara-Perkara itu terpakai berhubung dengan orang yang bukan warganegara bagi memberikan hak kepada mereka atau membenarkan mereka didaftarkan sebagai warganegara, kecuali bahawa sebutan mengenai Perkara 18 dan juga Fasal (6) Perkara 15 tidaklah terpakai.

(3) Seseorang warganegara yang didaftarkan sebagai menjadi atau tidak menjadi warganegara Singapura menurut kuasa Perkara ini atau menurut kuasa mana-mana peruntukan yang bersamaan dalam Perlembagaan Negeri Singapura hendaklah menjadi atau tidaklah menjadi warganegara Singapura dengan sewajarnya dari hari dia didaftarkan sedemikian.

(4) Jika seseorang yang bukan warganegara Singapura telah didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perkara ini, dan Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa pendaftaran itu--

(a) telah didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material; atau

(b) telah dibuat dengan silap;

maka Kerajaan Persekutuan boleh membatalkan pendaftaran itu:

Dengan syarat bahawa Perkara 27 hendaklah terpakai berhubung dengan pembatalan itu sebagaimana Perkara itu terpakai berhubung dengan sesuatu perintah di bawah Perkara 24, 25 atau 26 yang melucutkan seseorang akan kewarganegaraannya.

(5) Jika pendaftaran seseorang yang bukan warganegara Singapura sebagai warganegara telah dibatalkan di bawah perenggan (a) Fasal (4), dan disebabkan oleh pendaftaran itu anak orang itu telah juga didaftarkan sebagai warganegara yang sedemikian menurut Fasal (2) Perkara 15 sebagaimana yang terpakai menurut Perkara ini, maka Kerajaan Persekutuan boleh juga membatalkan pendaftaran anak itu melainkan jika anak itu telah mencapai umur dua puluh satu tahun.

(6) Jika di bawah Perkara ini atau di bawah mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri Singapura pendaftaran seseorang sebagai warganegara di bawah mana-mana satu perihalan dibatalkan, hal itu tidaklah melepaskannya daripada liabiliti berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau tidak dilakukan sebelum pembatalan itu, tetapi kecuali berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau tidak dilakukan sedemikian dia hendaklah kembali kepada tarafnya yang dahulu sebagai seorang warganegara.".

2. Sebutan mengenai Perkara termansuh ini terdapat dalam Jadual Kedua Bahagian III, seksyen 4(3).

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas