PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN III - KEWARGANEGARAAN
Bab 2 - Penamatan Kewarganegaraan




Perkara 24. Pelucutan kewarganegaraan kerana memperoleh atau menggunakan kewarganegaraan asing, dsb.

(1) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan), maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

(2) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah menuntut dan menggunakan dengan sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan apa-apa hak yang terdapat untuknya di bawah undang-undang negara itu, iaitu hak-hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara negara itu, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

(3) (Dimansuhkan).

(3A) Tanpa menjejaskan keluasan Fasal (2), penggunaan hak undi dalam mana-mana pemilihan politik di sesuatu tempat di luar Persekutuan hendaklah disifatkan sebagai penuntutan dan penggunaan yang sukarela suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu; dan bagi maksud Fasal (2), seseorang yang, selepas tarikh yang ditetapkan* oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah bagi maksud Fasal ini--

(a) memohon kepada pihak berkuasa sesuatu tempat di luar Persekutuan supaya pasport dikeluarkan atau dibaharui; atau

(b) menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu sebagai dokumen perjalanan,

hendaklah disifatkan dengan sukarela menuntut dan menggunakan suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu, iaitu suatu hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara tempat itu.

(4) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15 telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan oleh sebab perkahwinannya dengan seseorang yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan perempuan itu.

____________________________________________
CATATAN

Per. 24:

Akta 14/1962, seksyen 9, berkuat kuasa dari 1-10-1962, menggantikan perkataan "negara Komanwel" dengan "mana-mana bahagian Komanwel" dan perkataan "negara itu" dengan "bahagian Komanwel itu" dalam Fasal (3) dan menambahkan Fasal (3A), Akta 26/1963, subseksyen 33(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963, memotong perkataan "pada bila-bila masa selepas Hari Merdeka" yang terdapat selepas "mana-mana warganegara telah" dalam Fasal (1) dan (2).

Per. 24(2):

1. Perkataan "negara asing" digantikan dengan "mana-mana negara di luar Persekutuan" oleh Akta A354, seksyen 7, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

2. Lihat Per. 27(1), 28A(2).

Fasal (1): Lihat Per. 26A, 28(3).

Fasal (2): Lihat Per. 28(3).

Fasal (4) Lihat Per. 28A(3).

Per. 24(3):

Perkataan "negara itu" digantikan dengan "bahagian Komanwel itu" oleh Akta 14/1962, seksyen 9, berkuat kuasa dari 1-10-1962. Fasal ini yang berbunyi seperti yang berikut dimansuhkan oleh Akta A354, seksyen 7, berkuat kuasa dari 27-8-1976:

"Jika ada peruntukan yang berkuat kuasa di bawah undang-undang mana-mana bahagian Komanwel yang memberi warganegara di dalam bahagian Komanwel itu hak yang tidak terdapat bagi warganegara Komanwel lain, maka Fasal (2) hendaklah terpakai, berhubung dengan hak itu, ,seolah-olah bahagian Komanwel itu ialah suatu negara asing.".

Per. 24(3A):

Ditambahkan oleh Akta 14/1962, seksyen 9, berkuat kuasa dari 1-10-1962, dan dipinda oleh Akta A354, seksyen 7, berkuat kuasa dari 27-8-1976 dengan memotong "dan Fasal itu sebagaimana yang terpakai menurut Fasal (3)," dan memotong "dan Fasal itu sebagaimana yang terpakai seperti yang disebut terdahulu" yang terdapat selepas perkataan "maksud Fasal (2),".

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas