PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Perkara 1. Nama, Negeri-negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan.




Perkara 4. Undang-undang utama Persekutuan.

(1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

(2) Kesahan mana-mana undang-undang tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa--

(a) undang-undang itu mengenakan sekatan-sekatan ke atas hak yang disebut dalam Perkara 9(2) tetapi tidak berhubungan dengan perkara-perkara yang disebut dalam Perkara itu; atau

(b) undang-undang itu mengenakan mana-mana sekatan yang disebut dalam Perkara 10(2) tetapi sekatan-sekatan itu tidak disifatkan perlu atau suai manfaat oleh Parlimen bagi maksud-maksud yang disebut dalam Perkara itu.

(3) Kesahan mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan mana-mana Negeri tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa undang-undang itu membuat peruntukan berkenaan dengan apa-apa perkara yang berkenaan dengannya Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Bahan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, kecuali dalam prosiding untuk mendapatkan suatu penetapan bahawa undang-undang itu adalah tidak sah atas alasan itu atau--

(a) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Parlimen, dalam prosiding antara Persekutuan dengan satu atau beberapa Negeri;

(b) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri, dalam prosiding antara Persekutuan dengan Negeri itu.

(4) Prosiding untuk mendapatkan penetapan bahawa sesuatu undang-undang adalah tidak sah atas alasan yang disebut dalam Fasal (3) (iaitu prosiding yang tidak termasuk dalam perenggan (a) atau (b) Fasal itu) tidak boleh dimulakan tanpa kebenaran hakim Mahkamah Persekutuan; dan Persekutuan berhak menjadi satu pihak dalam mana-mana prosiding itu, dan begitulah juga dengan mana-mana Negeri yang akan atau mungkin menjadi satu pihak dalam prosiding yang dibawa bagi maksud yang sama di bawah perenggan (a) atau (b) Fasal itu.

____________________________________________
CATATAN:

Per. 4(1):

 

Lihat Per. 159A.

Per. 4(3):

 

Perkataan "dalam prosiding untuk mendapatkan suatu penetapan bahawa undang-undang itu adalah tidak sah atas alasan itu atau" yang terdapat sebelum perenggan (a) dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 40, berkuat kuasa dari 16-9-1994.

 

Per. 4(4):

1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 40, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Perkataan "Agung" digantikan dengan perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 2, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas