PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 4 - Badan Perundangan Persekutuan




Perkara 53. Keputusan tentang kehilangan kelayakan.

(1) Jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli suatu Majlis Parlimen telah hilang kelayakan untuk menjadi ahli, maka Majlis itu hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad:

Dengan syarat bahawa Perkara ini tidak boleh dikira sebagai menghalang amalan Majlis Parlimen menangguhkan sesuatu keputusan bagi membolehkan diambil atau ditentukan apa-apa prosiding yang mungkin menyentuh keputusannya (termasuklah prosiding bagi membatalkan kehilangan kelayakan itu).

(2) Jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen hilang kelayakan di bawah perenggan (e) Fasal (1) Perkara 48 atau di bawah suatu undang-undang persekutuan yang dibuat menurut Fasal (2) Perkara 48, maka Fasal (1) tidaklah terpakai dan dia hendaklah terhenti menjadi ahli Majlis Parlimen itu, dan kerusinya hendaklah menjadi kosong, sebaik sahaja kehilangan kelayakannya berkuat kuasa mengikut Fasal (4) Perkara 48.


_______________________________
CATATAN

Per. 53:

1. Proviso ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 11(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Fasal (1): Dinomborkan semula oleh Akta A566, seksyen 7, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

3. Fasal (2): Dimasukkan oleh Akta A566, seksyen 7, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas