PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 4 - Badan Perundangan Persekutuan




Perkara 55. Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

(4) Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen.

(6) (Dimansuhkan).

(7) Sesuatu Rang Undang-Undang yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4A) Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau pembubaran Parlimen.


_________________________________
CATATAN

Per. 55(4):

Lihat Per. 118A.

1. Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 19-9-1966, memasukkan perkataan "di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu dan sembilan puluh hari di dalam Negeri-Negeri Borneo" dan menggantikan perkataan "sembilan puluh" dengan perkataan "satu ratus dua puluh".

2. Perkataan "Negeri-Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah dan Sarawak" oleh Akta A354, seksyen 43, dan Akta A514, seksyen 19, kedua-duanya berkuat kuasa dari 27-8-1976.

3. Perkataan "di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu dan sembilan puluh hari di dalam Negeri Sabah dan Sarawak" dipotong oleh Akta A585, perenggan 22(a), berkuat kuasa dari 14-4-1984.



Per. 55(5), (6) & (7):

1. Ditambahkan oleh Akta A585, perenggan 22(b), berkuat kuasa dari 14-4-1984.

2. Fasal (6) dimansuhkan oleh Akta A885, seksyen 6, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas