PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN V - NEGERI-NEGERI




Perkara 71. Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri.

(1) Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu.

(2) Fasal (1) hendaklah, dengan ubah suaian yang perlu, terpakai berhubung dengan seseorang Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan sebagaimana Fasal itu terpakai bagi Raja sesuatu Negeri.

(3) Jika didapati oleh Parlimen bahawa di mana-mana Negeri, mana-mana peruntukan Perlembagaan ini atau mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri itu lazimnya tidak diendahkan maka, walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi memastikan pematuhan peruntukan itu.

(4) Jika pada bila-bila masa Perlembagaan mana-mana Negeri tidak mengandungi peruntukan-peruntukan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Kelapan, sama ada dengan atau tanpa ubah suaian yang dibenarkan di bawah Fasal (5) (kemudian daripada ini disebut "peruntukan-peruntukan perlu") atau peruntukan-peruntukan yang isinya mempunyai maksud yang sama, atau mengandungi peruntukan-peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan-peruntukan perlu itu maka, walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi menguatkuasakan di dalam Negeri itu peruntukan-peruntukan perlu itu atau bagi menghapuskan peruntukan-peruntukan yang tidak selaras itu.

(5) Peruntukan-peruntukan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Kelapan boleh diubahsuaikan dengan menggantikan seksyen 2 atau seksyen 4 atau kedua-duanya dengan peruntukan-peruntukan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual itu sebagai gantinya--

(a) dalam hal tiap-tiap Negeri, sehingga terbubarnya Dewan Undangan kedua yang ditubuhkan mengikut peruntukan-peruntukan itu atau peruntukan-peruntukan itu yang diubahsuaikan sedemikian;

(b) dalam hal negeri Perlis, sehingga apa-apa masa yang lebih lanjut sebagaimana yang ditetapkan oleh Dewan Undangan Negeri itu dan, berkenaan dengan peruntukan yang dinyatakan dalam seksyen 2 Jadual itu, sehingga masa yang belum lagi ditetapkan.

(6) Sesuatu undang-undang yang dibuat bagi sesuatu Negeri menurut Perkara ini, melainkan jika terlebih dahulu dimansuhkan oleh Parlimen, hendaklah terhenti berkuat kuasa pada hari yang ditetapkan oleh Dewan Undangan baru, yang ditubuhkan di Negeri itu selepas lulusnya undang-undang itu.

(7) Berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak--


(a) Fasal (5) tidaklah terpakai; tetapi

(b) sehingga akhir bulan Ogos 1975, atau sehingga apa-apa tarikh yang lebih awal sebagaimana yang diarahkan melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, dengan persetujuan Yang di-Pertua Negeri, Fasal (4) hendaklah terpakai seolah-olah sebutan mengenai ubah suaian yang dibenarkan di bawah Fasal (5) ialah sebutan mengenai ubah suaian yang dibuat oleh Perlembagaan Negeri itu sebagaimana yang berkuat kuasa pada Hari Malaysia.

(8) (Dimansuhkan).


____________________________________
CATATAN

Per. 71(1):

Lihat Per. 159(5).



Per. 71(4):

Akta 25/1963, seksyen 8, berkuat kuasa dari 29-8-1963, memotong perkataan "selepas tiga puluh hari bulan Jun, seribu sembilan ratus lima puluh sembilan" yang terdapat selepas "Jika pada bila-bila masa" dalam baris satu, dan perkataan "ternyata kepada Parlimen bahawa" yang terdapat sebaik selepas itu dipotong oleh Akta 26/1963, subseksyen 12(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963.



Per. 71(7):

1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 12(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Angka "1957" dalam perenggan (b) digantikan dengan "1975" oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976 dan perkataan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.



Per. 71(8):

Fasal ini yang berbunyi seperti yang berikut dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 12(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan dimansuhkan oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 16-9-1963:

 

"(8) Berhubung dengan Singapura Fasal (4) hingga (6) tidaklah terpakai, tetapi tiada enakmen Badan Perundangan Singapura yang membuat dalam Perlembagaan Singapura pindaan-pindaan yang berhubungan dengan apa-apa perkara yang diperkatakan oleh peruntukan yang dinyatakan dalam Bahagian I Jadual Kelapan (sebagaimana Bahagian itu terpakai bagi Singapura) boleh berkuat kuasa melainkan jika-

 

(a)

pindaan-pindaan itu tidak menyentuh secara material penguatkuasaan Perlembagaan berhubung dengan perkara-perkara itu; atau

(b)

kesan pindaan-pindaan itu dikhususkan untuk memasukkan peruntukan yang dinyatakan sedemikian atau peruntukan yang sebahagian besar isinya mempunyai maksud yang sama (sama ada atau tidak sebagai ganti peruntukan lain) atau untuk menghapuskan peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan yang dinyatakan sedemikian; atau

(c)

enakmen itu diluluskan oleh Akta Parlimen.".

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas