PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 1 - Pembahagian kuasa perundangan




Perkara 74. Hal perkara undang-undang persekutuan dan Negeri.

(1) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama (iaitu Senarai Pertama atau Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan).

(2) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.

(3) Kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan oleh Perkara ini boleh dijalankan tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan yang dikenakan oleh Perlembagaan ini mengenai mana-mana perkara tertentu.

(4) Jika ungkapan am dan juga ungkapan khusus digunakan pada memperihalkan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai-Senarai yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan maka keluasan ungkapan am itu tidak boleh dikira sebagai dihadkan oleh ungkapan khusus itu.


______________________________________
CATATAN

Bahagian VI-Lihat Per. 154(2).

Per. 74:

1. Lihat Per. 159(4)(b).

2. Fasal (2): Perkataan "Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain," yang terdapat di permulaan Fasal dimasukkan oleh Akta 25/1963, subseksyen 2(2), berkuat kuasa dari 31-8-1957.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas