PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 1 - Pembahagian kuasa perundangan




Perkara 79. Penjalanan kuasa perundangan bersama.

(1) Jika didapati oleh pegawai pengerusi mana-mana satu Majlis Parlimen atau pegawai pengerusi Dewan Undangan mana-mana Negeri bahawa sesuatu Rang Undang-Undang atau sesuatu pindaan kepada Rang Undang-Undang mencadangkan suatu perubahan dalam undang-undang yang berhubungan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama, atau dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri yang mengenainya Persekutuan sedang menjalankan fungsi mengikut Perkara 94, maka dia hendaklah memperakui Rang Undang-Undang atau pindaan itu bagi maksud Perkara ini.

(2) Sesuatu Rang Undang-Undang atau pindaan yang diperakui di bawah Perkara ini tidak boleh diteruskan sehingga empat minggu telah berlalu selepas penyiarannya, melainkan jika pegawai pengerusi itu membenarkan Rang Undang-Undang atau pindaan itu diteruskan atas alasan keterdesakan, setelah berpuas hati bahawa Kerajaan Negeri atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Kerajaan Persekutuan, telah dirundingi.


_____________________________________
CATATAN

Per. 79:

Lihat Per. 76A(3), 92(2), 149(1), 150(5).

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas