PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 1 - Pembahagian kuasa eksekutif




Perkara 80. Pembahagian kuasa eksekutif.

(1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini kuasa eksekutif Persekutuan meliputi segala perkara yang mengenainya Parlimen boleh membuat undang-undang, dan kuasa eksekutif sesuatu Negeri meliputi segala perkara yang mengenainya Badan Perundangan Negeri itu boleh membuat undang-undang.

(2) Kuasa eksekutif Persekutuan tidak meliputi apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri, kecuali setakat yang diperuntukkan dalam Perkara 93 hingga 95, dan juga tidak meliputi apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama, kecuali setakat yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri; dan setakat yang undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri memberikan kuasa eksekutif kepada Persekutuan mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama, undang-undang itu boleh berbuat demikian dengan menyingkirkan kuasa eksekutif Negeri itu.

(3) Setakat yang sesuatu undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (4) Perkara 76 membuat peruntukan bagi memberikan kuasa eksekutif kepada Persekutuan, undang-undang itu tidak boleh berkuat kuasa di mana-mana Negeri melainkan jika diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri itu melalui suatu ketetapan.

(4) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan supaya kuasa eksekutif sesuatu Negeri hendaklah meliputi pentadbiran mana-mana peruntukan tertentu dalam undang-undang persekutuan dan boleh bagi maksud itu memberikan kuasa kepada dan mengenakan kewajipan pada mana-mana pihak berkuasa Negeri itu.

(5) Tertakluk kepada mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri, perkiraan boleh dibuat antara Persekutuan dengan sesuatu Negeri bagi pelaksanaan apa-apa fungsi oleh pihak berkuasa pada satu pihak bagi pihak berkuasa pada pihak yang satu lagi dan perkiraan sedemikian boleh membuat peruntukan bagi pembayaran berkenaan dengan apa-apa kos yang dilakukan di bawah perkiraan itu.

(6) Jika, menurut Fasal (4), apa-apa fungsi diberikan oleh undang-undang persekutuan kepada mana-mana pihak berkuasa sesuatu Negeri maka Persekutuan hendaklah membuat apa-apa pembayaran kepada Negeri sebagaimana yang dipersetujui antara Persekutuan dengan Negeri itu atau sebagaimana yang diputuskan oleh suatu tribunal yang dilantik oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan jika tidak ada persetujuan.


______________________________________
CATATAN

Per. 80:

Lihat Per. 76A(3).

Fasal (4): Lihat Per. 95C(1)(b).

Fasal (6):

1. Perkataan "Hakim Besar" digantikan dengan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Kemudiannya pula, subseksyen 18(2) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1-1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

2. Lihat Per. 95C(3).

3. Perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung" digantikan dengan perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 9, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas