PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 4 - Tanah




Perkara 85. Pemberian kepada Persekutuan tanah yang dirizabkan bagi maksud persekutuan.

(1) Jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri dirizabkan bagi apa-apa maksud persekutuan, maka Kerajaan Persekutuan boleh menghendaki Kerajaan Negeri, dan kemudiannya menjadi kewajipan Kerajaan itu, untuk menyebabkan tanah itu diberikan kepada Persekutuan untuk selama-lamanya tanpa sekatan tentang kegunaan tanah itu, tetapi tertakluk kepada pembayaran premium yang hendaklah ditentukan mengikut Fasal (2) dan kepada pembayaran cukai tanah yang berkenaan pada tiap-tiap tahun.

(2) Premium yang disebut dalam Fasal (1) hendaklah sama banyak dengan nilai pasaran tanah itu ditolak--

(a) nilai pasaran bagi apa-apa pemajuan yang dibuat (selain atas perbelanjaan Negeri) semasa tanah itu digunakan bagi maksud persekutuan; dan

(b) amaun, jika ada, yang telah dibayar oleh Persekutuan, atau yang telah dibayar sebelum Hari Merdeka oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, berkenaan dengan kos pengambilan apa-apa kepentingan mengenai tanah itu oleh Kerajaan Negeri.

(3) Tanpa menjejaskan Fasal (1), jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri dirizabkan bagi apa-apa maksud persekutuan, maka Kerajaan Persekutuan boleh menawarkan untuk melepaskan tanah itu kepada Negeri dengan syarat bahawa Negeri itu membayar kepada Persekutuan nilai pasaran dan amaun yang disebut dalam perenggan (a) dan (b) Fasal (2); dan jika Kerajaan Negeri itu menyetujui terima tawaran itu, maka perizaban itu hendaklah terhenti.

(4) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara ini, tanah di sesuatu Negeri yang dirizabkan bagi maksud persekutuan tidaklah terhenti daripada dirizabkan sedemikian, dan segala tanah yang dirizabkan sedemikian hendaklah dikawal dan diuruskan oleh atau bagi pihak Kerajaan Persekutuan, dan Kerajaan Persekutuan boleh memberikan apa-apa hak menduduki, mengawal atau menguruskan, atau suatu penyewaan atau pajakan, keseluruhan atau mana-mana bahagian tanah itu, kepada mana-mana orang--

(a) bagi orang itu menggunakan tanah itu untuk apa-apa jangka masa bagi maksud persekutuan yang baginya tanah itu dirizabkan, atau bagi apa-apa maksud yang berdampingan atau bersampingan dengannya; atau

(b) jika Kerajaan Persekutuan tidak dapat kerana apa-apa sebab menggunakan tanah buat sementara bagi maksud persekutuan yang baginya tanah itu dirizabkan, bagi orang itu menggunakan tanah itu bagi apa-apa maksud selain maksud persekutuan, untuk apa-apa jangka masa dan atas apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.

(5) Dalam Perkara ini sebutan mengenai tanah di sesuatu Negeri yang dirizabkan bagi maksud persekutuan termasuklah--

(a) mana-mana tanah yang telah dirizabkan sebelum Hari Merdeka mengikut peruntukan mana-mana undang-undang yang ketika itu berkuat kuasa di dalam Negeri itu bagi apa-apa maksud yang telah menjadi suatu maksud persekutuan selepas Hari Merdeka.

(b) mana-mana tanah yang dirizabkan bagi apa-apa maksud persekutuan selepas Hari Merdeka mengikut peruntukan mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa di dalam sesuatu Negeri;

(c) mana-mana tanah Negeri yang disebut dalam Fasal (4) Perkara 166 yang telah dimansuhkan; dan

(d) mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang dirizabkan bagi maksud persekutuan menurut kuasa Fasal (7) Perkara 83.



_________________________________
CATATAN

Per. 85:

1. Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut digantikan oleh Akta A704, seksyen 5, berkuat kuasa dari 10-6-1988:

 

"85. (1) Jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang dirizabkan bagi apa-apa maksud persekutuan tidak lagi dikehendaki bagi maksud itu, maka Kerajaan Persekutuan hendaklah menawarkan untuk melepaskan tanah itu kepada Negeri itu dengan syarat bahawa Negeri itu membayar kepada Persekutuan-

 

(a)

nilai pasaran bagi apa-apa pemajuan yang dilakukan (selain atas perbelanjaan Negeri itu) semasa tanah itu digunakan bagi maksud persekutuan; dan

(b)

amaun, jika ada, yang dibayar oleh Persekutuan, atau yang dibayar sebelum Hari Merdeka oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, berkenaan dengan kos pengambilan apa-apa kepentingan mengenai tanah itu oleh Kerajaan Negeri itu,

 

dan jika Kerajaan Negeri itu menyetujui terima tawaran itu, maka perizaban itu hendaklah terhenti.

(2) Jika Kerajaan Negeri tidak menyetujui terima tawaran yang dibuat mengikut Fasal (1), maka, melainkan jika melalui persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri itu tanah itu dirizabkan bagi suatu maksud persekutuan yang lain, Kerajaan Persekutuan boleh menghendaki Kerajaan Negeri itu, dan kemudiannya menjadi kewajipan Kerajaan Negeri itu, menyebabkan tanah itu diberikan kepada Persekutuan untuk selama-lamanya tanpa sekatan tentang kegunaan tanah itu, tetapi tertakluk kepada pembayaran suatu premium yang sama banyak dengan nilai pasaran tanah itu tetapi dikurangkan sebanyak amaun yang sepatutnya kena dibayar kepada Persekutuan di bawah Fasal (1) jika tawaran tersebut disetujui terima, dan juga tertakluk kepada pembayaran cukai tanah yang berkenaan pada tiap-tiap tahun; dan jika pemberian sedemikian dibuat kepada Persekutuan, maka Kerajaan Persekutuan boleh menjual dan memindahmilikkan atau memajakkan tanah itu mengikut apa-apa terma dan syarat yang difikirkannya patut.

(3) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara ini, tanah di sesuatu Negeri yang dirizabkan bagi maksud persekutuan tidaklah terhenti daripada dirizabkan sedemikian, dan segala tanah yang dirizabkan sedemikian hendaklah dikawal dan diuruskan oleh atau bagi pihak Kerajaan Persekutuan.".

 

2. Lihat Per. 86(2) dan (5), 88.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas