PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 4 - Tanah




Perkara 86. Pelupusan tanah yang terletak hak pada Persekutuan.

(1) Jika apa-apa kepentingan mengenai tanah terletak hak pada Persekutuan, atau pada sesuatu pihak berkuasa awam, bagi apa-apa maksud, maka Persekutuan atau pihak berkuasa awam itu boleh melupuskan kepentingan itu atau apa-apa kepentingan yang lebih kecil mengenai tanah itu kepada mana-mana orang yang didapatinya layak.

(2) Jika apa-apa kepentingan mengenai tanah di sesuatu Negeri dilupuskan oleh atau kepada Persekutuan atau mana-mana pihak berkuasa awam menurut Perkara ini atau Perkara 85, maka menjadi kewajipan Kerajaan Negeri itu untuk mendaftarkan pelupusan itu dengan sewajarnya.


__________________________________
CATATAN

Per. 86:

1. Fasal (6) Perkara ini yang berbunyi seperti yang berikut ditambahkan oleh Akta A585, seksyen 23, berkuat kuasa dari 14-4-1984:

 

"(6) Peruntukan-peruntukan yang tersebut di atas dalam Perkara ini tidaklah terpakai bagi apa-apa tanah atau kepentingan mengenai tanah di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Wilayah Persekutuan Labuan bagaimana caranya sekalipun diletak hak pada Persekutuan, dan Persekutuan boleh melupuskan tanah atau kepentingan itu.".

 

2. Perkara ini digantikan oleh Akta A704, seksyen 6, berkuat kuasa dari 10-6-1988. Perkara yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:

 

"86. (1) Jika apa-apa kepentingan mengenai tanah adalah terletak hak pada Persekutuan, maka, tertakluk kepada Perkara 84 dan kepada Fasal (2) Perkara ini, Persekutuan boleh melupuskan kepentingan itu atau apa-apa kepentingan yang lebih kecil mengenai tanah itu.

Tiap-tiap pelupusan kepentingan mengenai tanah yang sedemikian hendaklah dengan syarat bahawa tanah itu digunakan bagi suatu maksud persekutuan yang dinyatakan dalamnya, dan tiada pelupusan yang sedemikian boleh dibuat kepada seseorang selain suatu pihak berkuasa awam kecuali-

 

(a)

di bawah dan mengikut peruntukan undang-undang persekutuan: atau

(b)

melalui suatu perintah Yang di-Pertuan Agong yang dibentangkan dan diluluskan mengikut Fasal(3):

 

Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh terpakai bagi sesuatu pelupusan yang dibenarkan oleh Perkara 84 atau Perkara 85, atau bagi sesuatu pelupusan oleh Persekutuan kepada mana-mana orang bagi maksud melaksanakan apa-apa triti, perjanjian atau konvensyen dengan mana-mana negara lain, atau kepada mana-mana orang atas sifatnya sebagai wakil konsular atau wakil diplomatik mana-mana negara lain.


(3) Suatu perintah Yang di-Pertuan Agong di bawah perenggan (b) Fasal (2) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan tidaklah boleh berkuat kuasa sehingga diluluskan melalui ketetapan setiap Majlis Parlimen.

(4) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 84, tiada kepentingan mengenai tanah yang terletak hak pada sesuatu pihak berkuasa awam bagi maksud persekutuan, atau yang terletak hak pada mana-mana orang lain menurut sesuatu pelupusan di bawah Perkara ini, boleh dilupuskan oleh pihak berkuasa atau orang itu melainkan kepada Persekutuan.

(5) Jika apa-apa kepentingan mengenai tanah di sesuatu Negeri dilupuskan oleh atau kepada Persekutuan atau mana-mana pihak berkuasa awam menurut Perkara ini atau Perkara 84 atau 85, maka menjadi kewajipan Kerajaan Negeri itu untuk mendaftarkan pelupusan itu dengan sewajarnya.

(6) Peruntukan yang terdahulu dalam Perkara ini tidaklah terpakai bagi mana-mana tanah atau kepentingan mengenai tanah di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Wilayah Persekutuan Labuan tidak kira bagaimana jua pun tanah atau kepentingan itu terletak hak pada Persekutuan, dan Persekutuan boleh melupuskan tanah atau kepentingan yang sedemikian.".



2. Lihat Per. 88.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas