PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 4 - Tanah




Perkara 90. Peruntukan khas yang berhubungan dengan tanah adat di Negeri Sembilan dan Melaka, dan tanah pegangan Melayu di Terengganu.

(1) Tiada apa-apa jua dalam Perlembagaan ini boleh menyentuh kesahan apa-apa sekatan yang dikenakan oleh undang-undang ke atas pemindahan hakmilik atau pemajakan tanah adat di Negeri Sembilan atau Negeri Melaka, atau pemindahan hakmilik atau pemajakan apa-apa kepentingan mengenai tanah itu.

(1A) Bagi maksud Fasal (1)--

(a) "pemindahan hakmilik" termasuklah apa-apa penggadaian, perpindahan atau peletakhakan, atau pewujudan apa-apa lien atau amanah, atau pemasukan apa-apa kaveat, atau apa-apa bentuk urusan atau pelupusan lain daripada apa-apa jua perihalan atau jenis; dan

(b) "pemajakan" termasuklah apa-apa penyewaan dalam apa-apa jua bentuk atau jangka masa.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, undang-undang yang sedia ada di Negeri Terengganu mengenai tanah pegangan Melayu hendaklah terus berkuat kuasa sehingga diperuntukkan selainnya oleh suatu Enakmen Badan Perundangan Negeri itu yang diluluskan dan dipersetujui sebagaimana yang diperihalkan dalam Fasal (1) Perkara 89.

(3) Apa-apa Enakmen Badan Perundangan Negeri Terengganu yang sedemikian boleh membuat peruntukan bagi tanah simpanan Melayu yang bersamaan dengan undang-undang yang sedia ada yang berkuat kuasa di mana-mana Negeri lain yang ber-Raja; dan dalam keadaan sedemikian Perkara 89 tersebut hendaklah berkuat kuasa berhubung dengan Terengganu tertakluk kepada ubah suaian yang berikut, iaitu:

(a) dalam Fasal (1), sebutan mengenai tanah yang merupakan tanah simpanan Melayu sebaik sebelum Hari Merdeka mengikut undang-undang yang sedia ada hendaklah digantikan dengan sebutan mengenai tanah yang sebaik sebelum lulusnya Enakmen tersebut itu merupakan tanah pegangan Melayu; dan

(b) tertakluk seperti yang disebut terdahulu, apa-apa sebutan mengenai undang-undang yang sedia ada hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Enakmen tersebut.

____________________________________________
CATATAN

Per. 90:

1. Lihat Per. 89(7).

2. Fasal (1A): Ditambahkan oleh Akta A566, seksyen 13, berkuat kuasa dari 16-12-1983.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas