PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 4 - Tanah




Perkara 91. Majlis Tanah Negara.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Tanah Negara yang terdiri daripada seorang Menteri sebagai pengerusi, seorang wakil dari setiap Negeri yang hendaklah dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri, dan apa-apa bilangan wakil Kerajaan Persekutuan yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan tetapi, tertakluk kepada Fasal (5) Perkara 95E, bilangan wakil Kerajaan Persekutuan tidak boleh melebihi sepuluh.

(2) Pengerusi boleh mengundi atas apa-apa soal di hadapan Majlis Tanah Negara tetapi tidaklah mempunyai undi pemutus.

(3) Majlis Tanah Negara hendaklah dipanggil bermesyuarat oleh pengerusi seberapa kerap yang difikirkannya perlu tetapi sekurang-kurangnya satu mesyuarat hendaklah diadakan pada tiap-tiap tahun.

(4) Jika pengerusi atau seseorang wakil sesuatu Negeri atau Kerajaan Persekutuan tidak dapat hadir dalam sesuatu mesyuarat, maka pihak berkuasa yang melantiknya itu boleh melantik seorang lain untuk mengambil tempatnya dalam mesyuarat itu.

(5) Menjadi kewajipan Majlis Tanah Negara untuk membentuk, dari semasa ke semasa, dengan berunding dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain, dan untuk mentadbirkan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya; dan Kerajaan-Kerajaan Persekutuan dan Negeri hendaklah mengikuti dasar yang dibentuk sedemikian.

(6) Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri boleh merundingi Majlis Tanah Negara berkenaan dengan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan penggunaan tanah atau berkenaan dengan apa-apa perundangan yang dicadangkan mengenai tanah atau pentadbiran mana-mana undang-undang yang sedemikian, dan menjadi kewajipan Majlis Tanah Negara untuk menasihati Kerajaan itu mengenai mana-mana perkara yang sedemikian.

____________________________________________
CATATAN

Per. 91:

1. Lihat Per. 95E(1), (2) dan (5)(a).

2. Fasal (1): (a) Perkataan "tidaklah boleh melebihi sepuluh" yang terdapat selepas "dan apa-apa bilangan" dipotong dan perkataan "tetapi, tertakluk kepada fasal (5) Perkara 95E, bilangan wakil Kerajaan Persekutuan tidaklah boleh melebihi sepuluh" yang terdapat di hujung ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

(b) Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A354, seksyen 42, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas