PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 6 - Tinjauan Persekutuan, nasihat Persekutuan kepada Negeri dan pemeriksaan Persekutuan mengenai kegiatan Negeri




Perkara 94. Kuasa Persekutuan berkenaan dengan rakyat Negeri.

(1) Kuasa eksekutif Persekutuan meliputi kuasa menjalankan penyelidikan, mengadakan dan menyenggarakan stesen percubaan dan stesen tunjuk cara, memberikan nasihat dan bantuan teknikal kepada Kerajaan mana-mana Negeri, dan mengadakan pendidikan, publisiti dan tunjuk cara bagi penduduk mana-mana Negeri, berkenaan dengan mana-mana perkara yang mengenainya Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang; dan pegawai-pegawai pertanian dan pegawai-pegawai perhutanan mana-mana Negeri hendaklah menerima apa-apa nasihat profesional yang diberikan kepada Kerajaan Negeri itu di bawah Fasal ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Jabatan Pertanian, Jabatan Pesuruhjaya Tanah, Jabatan Hutan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sedia ada boleh terus menjalankan fungsi yang dijalankan olehnya sebaik sebelum Hari Merdeka.

(3) Tiada apa-apa jua dalam Perlembagaan ini boleh menghalang Kerajaan Persekutuan daripada menubuhkan Kementerian-Kementerian atau Jabatan-Jabatan Kerajaan untuk menjalankan fungsi Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 93 dan Perkara ini berhubung dengan perkara-perkara yang termasuk dalam kuasa perundangan sesuatu Negeri, dan perkara-perkara yang sedemikian bolehlah termasuk pemuliharaan tanah, kerajaan tempatan dan perancangan bandar dan desa.

_____________________________________________
CATATAN

Per. 94:

Lihat Per. 79(1), 80(2), 95E(1).

Fasal (1): Lihat Per. 95E(4).

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas