PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 8 - Pemakaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak




Perkara 95C. Kuasa untuk memperluas kuasa perundangan atau eksekutif Negeri melalui perintah.

(1) Tertakluk kepada peruntukan mana-mana Akta Parlimen yang diluluskan selepas Hari Malaysia, Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui perintah, membuat berkenaan dengan mana-mana Negeri, apa-apa peruntukan yang boleh dibuat melalui Akta Parlimen--

(a) bagi memberi kuasa Badan Perundangan Negeri itu membuat undang-undang sebagaimana yang disebut dalam Perkara 76A; atau

(b) bagi memperluas kuasa eksekutif Negeri itu, dan kuasa atau kewajipan mana-mana pihak berkuasa Negeri itu sebagaimana yang disebut dalam Fasal (4) Perkara 80.

(2) Sesuatu perintah yang dibuat menurut kuasa perenggan (a) Fasal (1) tidaklah boleh memberi kuasa Badan Perundangan sesuatu Negeri meminda atau memansuhkan sesuatu Akta Parlimen yang diluluskan selepas Hari Malaysia, melainkan jika Akta itu memperuntukkan sedemikian.

(3) Fasal (3) Perkara 76A dan Fasal (6) Perkara 80 hendaklah terpakai berhubung dengan sesuatu perintah masing-masing di bawah perenggan (a) dan perenggan (b) Fasal (1) Perkara ini sebagaimana Fasal-Fasal itu terpakai berhubung dengan sesuatu Akta Parlimen.

(4) Jika sesuatu perintah di bawah Perkara ini dibatalkan oleh suatu perintah yang kemudian, maka perintah yang kemudian itu boleh mengandungi peruntukan bagi meneruskan kuat kuasa (pada amnya atau setakat atau bagi apa-apa maksud yang dinyatakan dalam perintah itu) mana-mana undang-undang Negeri yang diluluskan menurut kuasa perintah yang dahulu itu atau mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat atau perkara yang dilakukan di bawah mana-mana undang-undang Negeri itu, dan mana-mana undang-undang Negeri yang diteruskan kuat kuasanya dengan demikian itu hendaklah berkuat kuasa sebagai undang-undang persekutuan mulai dari permulaan kuat kuasa perintah yang kemudian itu:

Dengan syarat bahawa tiada peruntukan boleh diteruskan kuat kuasanya menurut kuasa Fasal ini jika atau setakat yang peruntukan itu tidak boleh dibuat melalui Akta Parlimen.

(5) Apa-apa perintah Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara ini hendaklah dibentangkan di hadapan setiap Majlis Parlimen.

_____________________________________________
CATATAN

Per 95C:

Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 38, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Fasal (1):

1. Perkataan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "mana-mana Negeri" di baris empat oleh Akta 31/1965, seksyen 2(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963.

2. Lihat-

(a) Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa Perundangan) 1963-P.U. 17/1964;

(b) Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa Perundangan) (Senapang patah) 1963-P.U. 38/1964;

(c) Perintah Sarawak (Kuasa Perundangan) 1965-P.U. 22/1965;

(d) Perintah Sarawak (Kuasa Perundangan (No.2) 1965-P.U. 106/1965.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas