PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN KEWANGAN
Bab 1 - Am




Perkara 97. Kumpulan Wang Disatukan.

(1) Segala hasil dan wang tidak kira bagaimana jua pun diperdapatkan atau diterima oleh Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan, hendaklah dibayar ke dalam dan menjadi satu kumpulan wang, yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

(2) Segala hasil dan wang tidak kira bagaimana jua pun diperdapatkan atau diterima oleh sesuatu Negeri, tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang, hendaklah dibayar ke dalam dan menjadi satu kumpulan wang, yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Disatukan bagi Negeri itu.

(3) Jika mengikut undang-undang Negeri atau, berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, mengikut undang-undang persekutuan apa-apa Zakat, Fitrah, Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya diperdapatkan, maka hasil itu hendaklah dibayar ke dalam suatu kumpulan wang yang berasingan dan tidaklah boleh dibayar daripadanya kecuali di bawah kuasa undang-undang Negeri atau undang-undang persekutuan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(4) Melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, apa-apa sebutan dalam Perlembagaan ini mengenai Kumpulan Wang Disatukan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

____________________________________________
CACATAN

Per. 97(3):

1. Perkataan "atau, berkenaan dengan Wilayah Persekutuan mengikut undang-undang persekutuan" dimasukkan selepas "mengikut undang-undang Negeri" di baris satu, dan perkataan "atau undang-undang persekutuan, mengikut mana-mana yang berkenaan" di masukkan selepas perkataan "undang-undang Negeri" di hujung Fasal itu oleh Akta A206, Jadual, berkuat kuasa dari 1-2-1974.

2. Perkataan "Wilayah Persekutuan" digantikan dengan perkataan "Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan: oleh Akta A585, Jadual, berkuat kuasa dari 16-4-1984.

3. Lihat Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].

4. Perkataan "Kuala Lumpur dan Labuan" digantikan dengan "Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya" oleh Akta A1095, seksyen 18, berkuat kuasa dari 1-2-2001.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas